Jaga Kesihatan Semasa Laksana OP PENAWAR – PTD

KUALA LUMPUR: Tentera Darat (TD) telah mengeluarkan tagline atau cogan kata Stay Healthy, Protect Yourself iaitu Jaga Kesihatan, Lindungi Diri buat warga TD yang melaksanakan OP PENAWAR bagi membendung penularan COVID-19 yang dilaksanakan bermula 22 hingga 31 Mac 2020.

Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi menegaskan semua anggota TD untuk menjaga kesihatan dan melindungi diri mereka dari dijangkiti wabak COVID-19 semasa melaksanakan OP PENAWAR.

PTD berpesan kepada anggota yang bertugas bahawa peraturan ditetapkan kepada yang bertugas merupakan langkah pencegahan bagi menggelakkan mereka dari dijangkiti yang mana boleh menyebabkan sesuatu fasiliti tentera dikuarantin.

“Kita mesti sihat dalam menjalankan tugas kita serta ikutlah prosedur yang telah diberi dan kita tidak mahu ada anggota yang positif (COVID-19) semasa melaksanakan tugas.

“Kita khuatir sekiranya kalau salah seorang daripada anggota kita positif (COVID-19) menyebabkan satu kem dikuarantin, maka eloklah kita buat langkah pencegahan sebelum kita menyesal,” kata PTD kepada pemberita selepas meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Ampang pada 23 Mac 2020.

Pelaksanaan OP PENAWAR telah melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada 18 hingga 31 Mac 2020.

Selain itu, PTD menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota ATM serta PDRM yang bertugas demi negara dan rakyat serta turut berpesan kepada anggota yang bertugas bahawa peraturan ditetapkan kepada yang bertugas merupakan langkah pencegahan bagi mengelakkan mereka dari dijangkiti.

Kerjasama diantara ATM dan PDRM ini dilihat sebagai salah satu usaha serius kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19 dimana atur gerak ini membolehkan penguatkuasaan PKP dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan rakyat mematuhi arahan yang telah dikeluarkan serta dapat melihat keberkesanan langkah ini melalui kolaborasi dua agensi keselamatan negara.

Gambar: Saifun Hakimi Zainon

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close
Close