95 Peratus Rakyat Patuhi Hari Kelapan PKP-PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencapai lebih 95 peratus pada hari kelapan penguatkuasaanya.

Perkembangan itu menunjukkan rakyat mengikut arahan dengan duduk di rumah dan tidak keluar sesuka hati.

“Hari ini adalah hari kelapan perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa, saya mendapat laporan daripada pihak polis lebih 95 peratus rakyat telah mematuhi perintah ini.

“Jalan-jalan raya lengang, pusat-pusat membeli belah ditutup, pusat-pusat rekreasi awam juga lengang dan ramai yang telah mematuhi nasihat duduk diam-diam di rumah,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pada 25 Mac 2020.

Bagaimanapun beliau berkata, terdapat juga laporan mengenai sejumlah kecil insiden pelanggaran perintah berkenaan yang mana pihak polis dan tentera telah dikerah untuk mengambil tindakan tegas bagi mengawal keadaan.

Ini termasuk menutup tempat-tempat awam yang masih dikunjungi oleh ramai orang dan menahan individu-individu yang ingkar.

“Tindakan tegas terpaksa diambil oleh pihak berkuasa demi memastikan perintah larangan pergerakan ini dipatuhi dan ia mencapai hasil yang dihasratkan, iaitu untuk membendung penularan wabak COVID-19.

“Saya hendak mengingatkan, jika perintah ini tidak dipatuhi, maka ianya tidak akan membawa apa-apa kesan positif dan segala tindakan kita akan menjadi sia-sia.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang rata-ratanya mempunyai kesedaran yang tinggi tentang kepentingan untuk duduk di rumah atau stay at home.

Malah, beliau menegaskan, keadaan mungkin akan lebih sukar kerana COVID-19 adalah wabak yang tidak pernah dihadapi negara.

“Saya hendak menyebut di awal-awal ini bahawa keadaan berkemungkinan menjadi lebih sukar dan COVID 19 adalah sejenis wabak yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini.

“Tidak pernah kita jangkakan bahawa kehidupan kita akan berubah dengan sekelip mata hanya kerana sejenis wabak yang menular bukan sahaja di tempat kita, tetapi di seluruh dunia dengan kadar jangkitannya begitu cepat,” katanya lagi.

Selain itu kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan PKP hingga 14 Apr 2020 susulan kes positif COVID-19 masih berlaku yang mana keputusan perlanjutan itu dimaklumkan lebih awal bagi memberi ruang kepada rakyat untuk membuat persediaan awal.

“Saya diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, pola semasa menunjukkan kes positif COVID-19 yang baharu masih berlaku.

“Pola ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun dan ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi satu tempoh yang lebih lama,” jelas beliau.

Tambah PM lagi, tempoh lanjutan kuat kuasa PKP akan dikaji dari semasa ke semasa dan sebarang keperluan untuk melanjutkan tempoh PKP itu, yang setakat ini dijadual berakhir pada 14 Apr 2020 akan diumumkan kemudian.


Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close
Close