Hayati Sumpah Perajurit – PTD

NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi menyeru Perajurit Muda (PM) supaya menghayati sumpah perajurit dan berpegang teguh kepada ikrar kesatria yang telah berjasa kepada mereka yang terdahulu.

Selain itu PTD berharap PM bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tugas yang diamanahkan kerana suasana bekerja di pasukan adalah berbeza dengan dunia latihan.

“Amalkan apa yang dilatih dan dididik kerana itulah bekalan saudara di pasukan nanti kerana tiada lagi jurulatih yang akan membimbing dan menegur setiap kesalahan yang dilakukan” kata PTD semasa ucapan beliau dalam Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 190/2019 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas TD (PUSASDA), Bandar Tentera Darat pada 15 Feb 2020.

Tambah PTD lagi, tidak ramai orang awam sedia menghadapi cabaran serta mengabdikan diri demi menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan agama namun PM merupakan insan terpilih yang diamanahkan oleh tuhan untuk menggalas tugas ini.

“Setiap anggota perlu memiliki ilmu pengetahuan serta kemahiran dalam bidang masing-masing kerana kekuatan fizikal dan mental sahaja belum cukup untuk memacu Tentera Darat (TD) ke arah kecemerlangan,” ujar PTD.

Dengan ilmu dan kemahiran yang dimiliki tugas akan dapat dilaksanakan dengan sempurna mengikut perubahan persekitaran yang berlaku dan PTD turut berpesan supaya sentiasa berusaha dan merebut peluang menambah pengetahuan agar PM menjadi aset berguna bukan bebanan kepada TD.

Pengambilan PM pada kali ini turut mengutamakan kepada pemohon yang mempunyai akademik yang terbaik untuk menghasilkan keupayaan tenaga kerja yang berasaskan pengetahuan dan kemahiran ke arah askar pintar selain untuk meningkatkan kesiapsiagaan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan penyediaan aset dan kelengkapan yang diperlukan

Ianya sejajar dengan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentangkan oleh Menteri Pertahanan dalam Bab 4 iaitu Angkatan Masa Hadapan yang menyatakan bahawa Kerajaan akan membangunkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjadi angkatan yang bersepadu, tangkas dan berfokus yang mampu bertindak balas terhadap ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional semasa aman atau konflik dengan tahap kesiagaan yang tinggi untuk melaksanakan operasi ketenteraan dalam persekitaran yang tidak menentu.

Seramai 1809 PM yang berkeyakinan diri, berketerampilan, berdisiplin serta kompeten untuk mencapai kualiti sumber manusia yang terbaik sesuai dengan kehendak TDM berjaya menamatkan latihan selama enam bulan yang bermula pada 2 Ogos 2019 hingga 15 Feb 2020.

Terdahulu, ketibaan PTD disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah bersama Kol Zambery Jefry Hj Darus lalu menerima tabik hormat dari kontijen perbarisan diketuai PM Muhammad Alif Najmi Rabiul Shawal yang juga merupakan PM Keseluruhan Terbaik.

Perbarisan diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada PM yang meliputi beberapa kategori dimana PM Akademik Terbaik diberikan kepada PM Raymont Ma, PM Kecergasan Jasmani Terbaik ialah PM Mohammad Haizan Idris manakala PM Kawad Terbaik, PM Muhammad Ridzuan Maula Mohd Rezal dan PM Penembak Terbaik di berikan kepada PM Shahirul Hafizal Mohamad.

Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hj Mohd Nazir Hj Mami, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ Pahlawan (Dr) Md Amin Muslan dan Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Mohamad Ab Rahman.

Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan, Sjn Saiful Fazley Rusli dan Saifun Hakimi Zainon

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close
Close