Bersama PemimpinMK TDSemasa

Pelancaran Filem BAKARA

KEDAH: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi telah merasmikan Majlis Pelancaran Filem Bakara di Padang Kawad Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) Mekanize, Kem Lapangan Terbang Sungai Petani pada 17 Jan 2020.

Pengarah Adrian Teh sekali lagi dipertanggungjawabkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menghasilkan filem ‘Bakara’, di atas kejayaan filem ‘Paskal The Movie’ dan ‘Wira’ yang memberi impak positif kepada industri filem tempatan.

Filem Bakara berdasarkan kejadian sebenar pertempuran di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia, pada 1993 dan adaptasi daripada filem ‘Black Hawk Down’ versi sebenar Malaysia.

Bakara turut memaparkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dalam operasi menyelamat pasukan tentera Amerika Syarikat yang dikepung ribuan pengikut Farah Aidid semasa pertempuran di Bakara Market, Somalia.

“Kita berharap filem ini dapat membawa sudut berbeza berbanding dengan apa yang ditunjukkan dalam sebuah filem antarabangsa sebelum ini,” ujar PTD

Tambahnya lagi, sebelum ini filem berkaitan pertempuran itu pernah diterbitkan Hollywood di bawah judul ‘Black Hawk Down’, namun hanya memaparkan pertempuran membabitkan tentera Amerika Syarikat sahaja, filem Bakara akan dibuat berdasarkan maklumat daripada anggota tentera Malaysia yang terbabit secara langsung dalam pertempuran itu.

“Kita harap filem ini akan menjadi salah sebuah filem yang boleh menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, sekali gus menaikkan jati diri serta semangat cintakan negara,”.

Filem yang menelan belanja lebih RM20 juta yang dinaung dibawah syarikat produksi Act 2 ini bakal membariskan pelakon tangkas Hairul Azreen, Bront Palarae, Shaheizy Sam, Remy Ishak, Fauzi Nawawi dan anggota ATM serta aset ketenteraan.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Dato’ Hj Mohd Nazir Hj Mami, Ketua Staf Markas TD, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi, veteran Tentera Darat, anggota yang pernah terlibat dalam pentempuran di Bakara Mogadishu serta masyarakat setempat.

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close
Close