Bersama PemimpinMINDEFSemasa

Eks PAHLAWAN Tingkat Kesiagaan ATM

PERAK: Seramai 2,314 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Darat, Laut dan Udara terlibat dalam Eksesais Pahlawan Siri 16/2019 bertempat di Lumut, Tg Hantu dan Teluk Intan bermula dari 23 Okt hingga 7 Nov 2019.

Eksesais yang dilaksanakan secara Latihan Pos Perintah (Command Post Exercise-CPX) dan Latihan Medan (Field Training Exercise-FTX) menggabungkan ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan keupayaan merancang dalam melaksanakan operasi oleh ATM.

Objektif yang digariskan sempena pelaksanaan eksesais ini adalah untuk menilai ATM dalam melaksanakan operasi secara bersama, menilai doktrin yang digunakan, menguji keberkesanan aset ATM dan meningkatkan tahap profesionalisme anggota ATM.

Selain itu eksesais pada kali ini adalah amat bertepatan kerana ia sejajar dengan hasrat ATM untuk menjadikan tahun 2019 sebagai Tahun Ketumbukan Bersama.

Eksesais yang dilaksanakan setiap empat tahun ini juga berbeza dengan eksesais sebelumnya dimana pada kali ini senario yang dibangunkan adalah berkonsepkan Peperangan Konvensional dan Peperangan Asimetri yang mana lebih merupakan ancaman semasa yang sedang dihadapi oleh kesemua negara.

Disamping tu ianya turut melibatkan penggunaan sistem simulasi dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan bagi menilai keupayaan serta kemampuan dalam mencapai objektif latihan yang ditetapkan serta menjadi platform terbaik bagi menguji dan mengemas kini setiap prosedur, publikasi, proses kerja dan sistem pemerintahan Operasi Bersama.

Pada masa sama eksesais ini turut melibatkan Markas Armada Barat TLDM selaku Joint Regional Command North (JRCN) yang bertindak menerajui komponen ketiga-tiga perkhidmatan mempertahankan utara tanah air selari dengan hasrat dan halatuju ATM untuk membentuk Pemerintahan Wilayah Bersama.

Acara penutup eksesais diakhiri dengan Latihan Medan melibatkan Operasi Menyelamat Tebusan oleh Pasukan Khusus ATM, Latihan Menyeberangi Sungai, Operasi Udara oleh 10 Bgd (Para), tembakan peluru berpandu dengan mengunakan Sistem Roket Lancar Berganda dan Operation in Build Up Area (OBUA).

Majlis penutup eksesais disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin di Kampung Parit Baharu dengan simbolik acara penutup ialah Upacara Menanggalkan TOHA kepada mereka yang terlibat.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Hj Mohamad Sabu, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan Exco Kerajaan Negeri Perak.

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close