Bersama PemimpinSemasa

TD Bukan Tempat Mencari Kemewahan – PTD

NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi menegaskan bahawa profesion sebagai seorang anggota Tentera Darat (TD) bukanlah kerjaya yang mengejar kekayaan dan kemewahan tetapi adalah tugas mulia yang menuntut pengorbanan untuk negara.

“Kehidupan sebagai seorang tentera bukanlah mudah dan senang kerana anggota tentera mesti sentiasa mempamerkan sikap profesional semasa bertugas, berketerampilan dan menunjukkan akhlak yang baik lagi terpuji.

“Nilai-nilai spriritual dan keagamaan harus dijadikan teras pegangan kerana ianya akan membawa kepada pengukuhan jati diri dalam mewujudkan Khairul Ummah yang mempunyai keseimbangan aspek kerohanian dan fizikal,” tegasnya.

PTD berkata demikian semasa ucapanya dalam Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (PM) Tentera Darat Siri 189/2019 Lelaki dan Siri 45/2019 Wanita di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 5 Okt 2019.

Selain itu, beliau mengingatkan agar menjauhi sebarang bentuk gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah, pengaruh kawan dan media sosial yang tidak sihat, fahaman ekstremis berkaitan agama dan politik serta permainan judi online.

Tambahnya lagi, beliau tidak akan berkrompomi dengan isu-isu pelanggaran disiplin, integriti dan perbuatan tidak bermoral yang merosakkan nama baik TD.

“Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap anggota terbabit demi menentukan kekuatan dan keutuhan TD sebagai satu entiti,” jelas PTD.

Terdahulu ketibaan PTD disambut oleh Timbalan PTD, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah bersama Komandan PUSASDA, Kol Zambery Jefry Hj Darus lalu menerima tabik hormat dari kontijen perbarisan diketuai PM Muhammad Nuruddin Ishak yang juga merupakan PM Keseluruhan Terbaik.

Seramai 1764 PM terdiri daripada 1696 PM Lelaki dan 68 PM Wanita berjaya menamatkan latihan selam enam bulan bermula pada 29 Mac hingga 5 Okt 2019.

Perbarisan diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada PM Akademik Terbaik diberikan kepada PM Muhammad Izzauddyn Azleen dan PM Kecergasan Jasmani Terbaik dianugerahkan kepada, PM Mohd Rafi Yahya.

Manakala PM Kawad Terbaik diberikan kepada PM Syazwan Akif Razali, PM Penembak Terbaik dianugerahkan kepada PM Ezric Maizan Roslan dan Kompeni Terbaik siri ini dimenangi oleh Kompeni Delta.

PTD juga berbesar hati memberi penganugerahan khas iaitu Pemakaian Pangkat Pegawai dan Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) serta Penyampaian Sijil Kepujian PTD kepada dua pegawai dan 26 anggota LLP Tim 21 Grup Gerak Khas (GGK) yang berjaya muncul juara dalam pertandingan Special Force Ultimate Challenge 2019 di Kem Hobart pada 18 hingga 22 Sep 2019.

Majlis diteruskan dengan acara Pemakaian Pangkat Jurulatih dan Pemain Bola Sepak TD kepada 14 anggota LLP dimana tim bola sepak TD melakar sejarah apabila pertama kali menjuarai kejohanan bola sepak Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) pada 4 Ogos 2019 dan menjuarai Pertandingan Bola Sepak Antara Perkhidmatan Tahun 2019 pada 29 Jun 2019.

Penerima Sijil Kepujian PTD terakhir adalah Kpl Mohamad Khairul Md Saad dari Kompeni Pandura (Para) yang dianugerahkan Best Marksmanship bagi acara rifle dan pistol dimana TD dijemput buat julung kali menyertai Pertandingan International Military Skills Competition (IMSC) anjuran TD Australia di Brisbane, Queensland, Australia.

Seterusnya,simbolik penyerahan tongkat kuasa terima tugas Sarjan Mejar Rejimen (SMR) TD di antara PW I Hayazi Abdul Aziz dan PW I Mohd Pauzi Mohd Ali yang disaksikan oleh PTD.

PW I Mohd Pauzi Mohd Ali telah dilantik menjadi SMR TD Ke-8 menggantikan PW I Hayazi Abdul Aziz yang telah dilantik menjadi SMR Angkatan Tentera Malaysia yang pertama.

Pameran ketenteraan juga diadakan seperti Ikhtiar Hidup Pertempuran, Peralatan Khas TDM, Pameran Kerjaya, Hospital Bergerak, Peralatan Kejuruteraan, Peralatan Komunikasi, Meriam 105 Howitzer, Meriam 155mm MK III, Gempita, Lipan Bara dan Persenjataan Infantri.

Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hj Mohd Nazir Hj Mami dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman.

Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan, Sjn Saiful Fazley Rusli dan Saifun Hakimi Zainon

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close