Bersama PemimpinMisi PengamanSemasa

Air Mata Iringi MALBATT 850-7

KUALA LUMPUR: Suasana sedih diselubungi dengan tangisan ahli-ahli keluarga tidak membantutkan hasrat kumpulan pertama MALBATT 850-7 untuk melaksanakan misi di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan penuh bersemangat walaupun terpaksa meninggalkan keluarga tercinta demi tugas dan tanggungjawab sebagai seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Hj Mohamad Sabu menyeru seluruh anggota MALBATT 850-7 yang menyertai misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) agar memastikan pengiktirafan ini terus terpelihara demi memartabatkan lagi maruah negara dan ATM di persada antarabangsa.

“Penglibatan ATM di peringkat antarabangsa membuktikan Malaysia komited dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada negara yang memerlukan demi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-7 di Balai Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang pada 1 Okt 2019.

Kumpulan pertama pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) diketuai oleh Komander MALBATT 850-7, Kol Khairul Anuar Soib bersama 57 pegawai dan 165 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) ATM dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei berlepas ke Lubnan bagi menyertai misi pengaman selama setahun.

MALBATT 850-7 berkekuatan seramai 850 anggota ATM termasuk anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang pegawai awam Kementerian Pertahanan akan diatur gerakkan ke negara berkenaan secara empat peringkat iaitu 1,8,15 dan 22 Okt ini.

Tambah MENHAN lagi, anggota MALBATT 850-7 menjalani latihan integrasi atau Force Integration Training (FIT) selama tiga bulan di MALBATT Village, Port Dickson bagi menggantikan MALBATT 850-6 yang akan menamatkan misi UNIFIL.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi perhargaan dan tahniah kepada seluruh keluarga MALBATT 850-7 yang telah memberi restu kepada suami, isteri, anak atau saudara mara masing-masing demi melaksanakan misi di luar negara.

Terdahulu dari itu, beliau menyempurnakan acara pemakaian beret PBB yang dimulakan dengan pemakaian beret kepada Komander MALBATT 850-7, Kol Khairul Anuar Soib lalu menyerahkan bendera Malaysia sebagai simbolik bahawa MALBATT 850-7 siap untuk diatur gerak disaksikan pegawai-pegawai kanan ATM dan keluarga anggota MALBATT 850-7.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj. Zulkifli Hj. Zainal Abidin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato Sri Hj Affendi Buang TUDM dan  Duta Besar Brunei Darussalam, Dato Paduka Haji Alaihuddin.

Gambar: Kpl Ainur Aisyah Yahaya

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close