KebajikanSemasa

Jenazah Allahyarham Mej Mohd Zahir Armaya Selamat Dikebumi

PERAK: Jenazah Mej Mohd Zahir Armaya yang terkorban ketika membuat aksi gimik sempena pelancaran 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun pada 5 Sep 2019.

Suasana mendung dan gerimis selepas hujan lebat awal pagi tadi, mengiringi pengebumian jenazah kira-kira pukul 8.20 pagi yang sebelum itu disembahyangkan di kediaman ibu mentua Allahyarham di Taman Perpaduan, Tambun.

Upacara pengembumian Allahyarham Mej Mohd Zahir Armaya berlangsung dengan penuh istiadat ketenteraan dan turut diberikan tabik hormat terakhir sebelum diturunkan ke dalam liang lahad.

Bacaan Talkin dan Solat Jenazah disempurnakan oleh Pegawai Staf Agama, Markas 2 Briged, Lt Kol Titan Abd Wahap.

Terdahulu, jenazah arwah tiba kira-kira pukul 5.45 dari Kem Werdiburn, Jalan Genting Klang, setapak dengan disambut ahli keluarga, kenalan serta jiran tetangga yang menunggu seawal pukul 3 pagi.

Istiadat pengebumian selesai pada jam 8.45 pagi dengan serahan Jalur Gemilang kepada isteri Allahyarham, Nour Shafinar Harun oleh Pegawai Memerintah Rejimen 11 Gerak Khas, Kolonel Zulkinine Mohd Yunus.

Allahyarham Mej Mohd Zahir, 36, merupakan pegawai komando daripada pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia jam 9.20 pagi di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 4 Sep 2019.

Allahyarham Mej Mohd Zahir bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dan berasal dari Kuala Lumpur merupakan seorang bapa kepada lima anak berusia antara lima bulan hingga sembilan tahun.

Turut hadir Menteri Besar Perak Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Panglima 2 Bgd, Brig Jen Malek Razak Sulaiman dan ayah Allahyarham A.R Badol.

Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close