MK Medan TimurProfil PasukanSejarahSemasaTask Force 450

AT 450 Dibubar, MK 5 Bgd Dipindahkan

SABAH: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi menyempurnakan Acara Menurunkan Bendera Angkatan Petugas 450 (AT 450) dan Paluan Berundur Markas Briged Kelima Infantri Malaysia (MK 5 Bgd) bertempat di Padang Kawad Rejimen Keenam Artileri Diraja (6 RAD), Kem Lok Kawi pada 3 Sep 2019.

Seramai 12 pegawai dan 685 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri daripada anggota di bawah naungan AT 450 terlibat dalam perbarisan tersebut diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD), Lt Kol Mohd Ridzwan Abdullah.

Upacara paluan berundur merupakan satu aktiviti rejimental ketenteraan yang mana ia bertujuan bagi memperingati dan menzahirkan sejarah sesebuah formasi atau pasukan yang mana MK 5 Bgd telah bertapak selama 49 tahun di Kem Lok Kawi sejak pada 9 Okt 1970 akan berpindah dan diaturgerak ke Kem Paradise, Kota Belud.

Dalam pada itu, perbarisan ini merupakan pertukaran AT 450 didesignasi kepada 5 Div dan ditempatkan di Kem Lok Kawi agar selaras dengan pemodenan dan penetapan oleh pucuk pimpinan TD bahawa tahun 2019 merupakan tahun latihan dan penjajaran.

Justeru itu, terdapat keperluan TD untuk menjajarkan semula struktur pemerintahan dan salah satu daripada keperluan penjajaran tersebut adalah memperkemas struktur organisasi TD di Sabah dengan menempatkan semula MK AT 450 di Kem Lok Kawi bagi mempertingkatkan kecekapan pemerintahan, kawalan dan komunikasi dalam menjaga keamanan dan keselamatan negeri Sabah.

MK AT 450 telah ditubuhkan pada 27 Mac 2014 di Kem Lok Kawi dan berpindah ke Kem Paradise pada 15 Apr 2015.

Ini berlanjutan daripada insiden Lahad Datu dan selari dengan perkembangan geo-strategik semasa di Sabah dimana ketumbukan ini merupakan elemen nukleus sebuah Div yang berfungsi untuk melaksanakan tugas merancang, memerintah dan mengawal semua operasi daratan di Sabah.

Kemuncak acara menyaksikan upacara menurunkan bendera AT 450 dan 5 Bgd dengan diiringi oleh tiupan paluan akhir (last post) sebagai simbolik pertukaran designasi MK AT 450 kepada 5 Div serta perpindahan MK 5 Bgd.

Bendera AT 450 diserahkan kepada PTD oleh Panglima 5 Div, Mej Jen Dato’ Mohamad Khir Abdullah sebagai tanda persemadian AT 450 dan Panglima 5 Bgd, Brig Jen Muhammad Hafizuddeain Jantan telah menyerahkan bendera 5 Bgd kepada PTD serta diserahkan kepada wakil anggota 5 Bgd sebagai simbolik untuk bendera berkenaan dikibarkan di Kem Paradise, Kota Belud.

Pada masa sama turut diadakan acara Pelancaran Kompilasi Buku Dari Meja Panglima Tentera Darat (DMPTD) Jilid Keempat dan Kompilasi Puisi DMPTD dengan menyaksikan demonstrasi dari 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) sebagai gimik pelancaran DMPTD Jilid Keempat.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hj Nazir Hj Mami dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Wira Zamrose Mohd Zain.

Oleh: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close