Bersama PemimpinSemasa

Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih

KUALA LUMPUR: Pemilihan tema Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih adalah bertepatan dengan semangat cintakan Negara dan usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membudayakan tadbir urus negara yang baik, berintegriti tinggi serta menolak secara total amalan jenayah rasuah.

Kemuncak sambutan adalah Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2019 yang memperlihatkan ribuan rakyat dari pelbagai kaum dan bangsa tanpa mengira usia membanjiri Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2019.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli untuk bersama-sama rakyat meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2019.

Sejurus keberangkatan tiba, Seri Paduka Baginda menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan sementara di ruang udara pula lintas hormat dari lima buah helikopter milik Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Turut menarik perhatian buat pertama kalinya di Putrajaya telah diadakan persembahan Grafik Manusia yang mempersembahkan pelbagai jenis grafik yang menarik dengan mesej-mesej selari mengikut tema dan acara yang berlangsung.

Persembahan ini melibatkan seramai 2250 pelajar dari 53 buah sekolah daripada negeri Selangor.

Secara keseluruhannya, 34 kontinjen ini telah dibahagikan kepada enam kontinjen utama terdiri daripada Kenegaraan, Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih, Perkhidmatan Awam, Kontinjen Ketenteraman Awam dan Keselamatan Negara.

Salah satu Kontinjen Keselamatan Negara adalah Kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disertai 151 pegawai dan 3620 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) disokong dengan 115 aset utama Darat, Laut dan Udara serta 68 pesawat udara memeriahkan lagi kemuncak acara perbarisan pada kali ini.

Program ini menjadi medan terbaik untuk rakyat Malaysia turun bersama-sama menzahirkan perasaan cinta kepada Negara dimana Kerajaan dan rakyat komited untuk menjadikan negara ini bersih daripada gejala rasuah.

Turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pertahanan, Hj Mohamad Sabu, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin dan Panglima-Panglima Perkhidmatan.

Gambar: SSjn Vijay Gaundar, Sjn Saiful Fazley, Saifun Hakimi Zainon

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close