Bersama PemimpinPenghargaanSemasa

Perbarisan Penghargaan Mej Jen Datuk Adnan Hj Abu Bakar

NEGERI SEMBILAN: Seramai 24 pegawai dan 410 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Kor Armor Diraja (KAD) serta 29 buah kenderaan jenis A terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Datuk Adnan Hj Abu Bakar di Padang Kawad Rejimen Kedua KAD Kem Sunggala pada 9 Ogos 2019.

Perbarisan ini merupakan simbolik menghargai jasa, khidmat dan bakti yang telah dicurahkan oleh Mej Jen Datuk Adnan Hj Abu Bakar yang telah berkhidmat selama 40 tahun satu bulan dan dua hari di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya.

Terdahulu ketibaan Mej Jen Datuk Adnan Hj Abu Bakar disambut oleh Pemangku Pengerusi KAD, Brig Jen Dato’ Kamarol Fauzi Hj Mohd Said lalu dibawa ke Pentas Hormat untuk menerima tabik hormat terakhir daripada anggota perbarisan melibatkan enam detasmen dan sembilan ekor kuda dari 21 Skuadron Istiadat Berkuda.

Dalam ucapan Mej Jen Datuk Adnan Hj Abu Bakar, beliau merasa terharu di atas kesudian Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi yang sanggup datang dari Kuala Lumpur serta meluangkan masa memberi penghormatan terakhir walaupun dalam kesibukan tugas.

“Tanggal 9 Ogos 2019 adalah satu tarikh bersejarah kerana hari ini merupakan hari terakhir saya sebagai seorang tentera dan sepanjang 40 tahun perkhidmatan, Tentera Darat (TD) telah berjaya melatih serta membentuk saya menjadi seorang manusia yang cekal dan berhati waja,” jelas Mej Jen Datuk Adnan Hj Abu Bakar .

Selain itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pesara-pesara KAD tidak kira apa jua pangkat kerana mereka adalah guru yang pernah mendidiknya suatu ketika dahulu.

Mengimbas kembali keperibadian Mej Jen Datuk Adnan Hj Abu Bakar, beliau dilahirkan di Langkawi, Kedah pada 10 Ogos 1959 dan memasuki Maktab Tentera Diraja pada 7 Julai 1979 serta ditauliahkan sebagai Pegawai Tauliah Jangka Pendek pada 31 Mei 1980 ke dalam KAD.

Beliau berkelulusan Diploma dalam Pengajian Strategi dan Pertahanan (UM) dan Sarjana Sains Politik (UM), sebagai menghargai jasa dan sumbangan kepada Negara dan Perkhidmatan, beliau telah dianugerahkan pelbagai darjah kebesaran seperti Panglima Setia Diraja (PSD) pada tahun 2009 yang membawa gelaran Datuk.

Semasa menyandang jawatan sebagai Pengarah Armor, beliau menjadi tunjang utama kepada program penggantian Kenderaan Jenis A (KJA) KAD iaitu Kenderaan Perisai (KP) 8×8 GEMPITA dan beliau juga telah menjadi penggerak utama dalam mewujudkan satu piawaian pengukuran TD iaitu Malaysian Army Standard (MASt) semasa menjawat sebagai Inspektorat Jeneral TD yang masih digunapakai sehingga kini.

Mej Jen Datuk Adnan Hj Abu Bakar telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Zaruna Abd Rahman dan dikurniakan empat orang cahaya mata lelaki dan seorang cahaya mata perempuan.

Sebelum itu, kumpulan Nafiri mengambil kedudukan bagi melaksanakan charge call dimana ianya merupakan satu simbolik kepada anggota perisai Armor untuk keluar bertempur dan menggempur kedudukan musuh seterusnya kenderaan Jenis Alfa KAD berjalan lalu melintasi pentas hormat.

Majlis pagi ini diserikan lagi dengan Upacara Pemakaian Pangkat Pegawai KAD, Lt Nazirul Nazrin Muhammad yang dinaikkan pangkat Kapten berkuatkuasa pada 7 Mac 2019 merupakan juruiring kepada Mej Jen Datuk Adnan Hj Abu Bakar.

Turut hadir, Panglima 1 Bgd, Brig Jen Mhd Nazri Abdul Rahman dan Pengarah KAD, Brig Jen Dato’ Hj Reduan Hj Omar.

Gambar: Kpl Ainur Aisyah Yahaya

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close