Bersama PemimpinSemasa

Perbarisan Penghargaan Lt Jen Dato’ Pahlawan Mohd Razif Hj Idris

KUALA LUMPUR: Seramai 27 pegawai dan 318 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Kor Ordnans Diraja (KOD) terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Lt Jen Dato’ Pahlawan Mohd Razif Hj Idris di Padang Kawad, Kem Batu Kentonmen pada 17 Jun 2019.

Terdahulu dari itu, Lt Jen Dato’ Pahlawan Mohd Razif Hj Idris menerima tabik hormat terakhir oleh kontinjen perbarisan terdiri daripada lapan detasmen diketuai Lt Kol Md Idris Md Seh diiringi Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja bertujuan sebagai tanda penghormatan menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh beliau selama 40 tahun dua bulan dua hari berkhidmat di dalam ATM amnya dan TD khasnya.

Dalam ucapannya, beliau berasa terharu serta berbangga di atas persembahan perbarisan yang mantap dan segak serta mengucapkan terima kasih kepada Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi yang sudi hadir dalam perbarisan penghargaan tersebut.

“40 tahun merupakan satu jangka hayat yang agak panjang di atas segala khidmat bakti saya kepada ATM amnya dan TD khas sehinggalah ke titik noktah Perbarisan Penghargaan sebagai tanda menutup tirai persaraan saya pada pagi ini.

“Sebelum mengundurkan diri izinkan saya berpesan bahawa sentiasalah berbakti dan korbankan lah masa terhadap ibu bapa yang telah banyak mengorbankan masa dan usia mereka terhadap kita, sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangi dan menatang kita sewaktu kecil, lemah dan tiada pengalaman serta dengan berkat doa mereka sejak kita kecil sehinggalah sekarang ini merupakan pemangkin kepada kejayaan kita,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, perhubungan persahabatan perlu digilap bagai sebutir permata di mana kekuatan TD bergantung kepada perhubungan erat dan ketaatan kesetiaan antara satu sama lain di dalam satu ketumbukan.

Mengimbas keperibadian Lt Jen Dato’ Pahlawan Mohd Razif Hj Idris, beliau dilahirkan pada tanggal 18 Jun 1959 di Kuala Kangsar, Perak dan mula menyertai tentera dan ditauliahkan ke dalam KOD pada 2 Apr 1981 serta mendirikan rumahtangga dengan Datin Dr Nur Aireen Ismail dan mempunyai lapan cahaya mata.

Turut hadir Asisten Ketua Staf Logistik Pertahanan, Mej Jen Dato’ Hj Hashim Jaabar, Pengerusi KOD, Brig Jen Muhammad Arif Soo Abdullah dan Pengarah KOD, Brig Jen Hj Azelan Abu Bakar.

Gambar: Saifun Hakimi Zainon

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close