LatihanSemasa

Perajurit Muda Perlu Berpegang Teguh Ikrar Kesatria – PTD

NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi menyeru Perajurit Muda (PM) agar berpegang teguh kepada Ikrar Kesatria dan tidak sekali-kali mengkhianatinya disamping kejayaan seorang PM adalah hasil kepatuhan, kecekalan, ketabahan serta ketahanan yang menepati piawaian Tentera Darat (TD).

Selain itu PTD berharap PM dapat menyesuaikan diri di pasukan kelak dan berfungsi sebagai anggota yang efektif dan efisyen yang mana suasananya berlainan dengan tuntutan dan cabaran yang berbeza dan proses menimba ilmu serta pengalaman tidak terhenti di pusat latihan.

Nilai-nilai teras dan kepahlawanan yang diterapkan selama enam bulan merupakan tingkah laku organisasi yang diwarisi serta mencerminkan uniknya budaya ketenteraan yang penuh taat dan disiplin.

Beliau berkata demikian semasa ucapannya dalam Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 186/18 dan Wanita Siri 44/18 bertempat di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Bandar Tentera Darat pada 20 Okt 2018.

“Jagalah nama Tentera Darat dengan menjauhi perkara yang ditegah dan jangan sesekali mendekati atau mencuba sebarang gejala negatif kerana saya tidak akan berkrompomi dengan isu-isu disiplin dan integriti serta tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bermasalah,” tegas PTD.

Tambahnya lagi beliau turut mengingatkan bahawa nilai-nilai spiritual dan pegangan agama harus dijadikan teras pegangan kerana ianya akan membawa kepada pengukuhan jati diri dalam mewujudkan Khairul Ummah yang mempunyai keseimbangan aspek kerohanian dan fizikal serta tidak melupakan asal usul.

Pada siri kali ini, seramai 1485 Perajurit Muda (PM) lelaki dan wanita berjaya menamatkan latihan setelah di latih selama enam bulan bermula Apr 2018 yang mana PM diterapkan dengan keperibadian ketenteraan, pengetahuan asas ketenteraan, pembinaan kekuatan dan ketahanan fizikal serta mental sebelum di serap ke pelbagai kor dalam TD.

Kaedah latihan yang diterapkan memberi keutamaan kepada latihan praktikal yang mana mampu memberikan kefahaman yang lebih baik kepada PM selepas pengajaran secara teori dan latihan praktikal di medan dirangka sebagai kaedah mengukur serta menilai kefahaman PM dalam mengaplikasikan pelajaran yang telah dipelajari.

Pendekatan latihan yang diatur ke arah membentuk PM yang serba boleh dan mempunyai keupayaan mental serta fizikal yang tinggi dimana bentuk latihan berorientasikan kepada situasi mencabar dan realistik telah digarap bagi melahirkan PM yang mempunyai keyakinan diri, berketerampilan, berdisiplin dan patuh pada arahan.

Terdahulu ketibaan PTD disambut oleh Timbalan PTD, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah bersama Komandan PUSASDA, Kol Zambery Jefry Hj Darus lalu menerima tabik hormat dari kontijen perbarisan diketuai PM Dexter Libau Robert yang juga merupakan PM Keseluruhan Terbaik.

Perbarisan diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada PM yang meliputi beberapa kategori dimana PM Akedemik Terbaik diberikan kepada PM Mohd Akmal Faqih Radzi, PM Kawad Terbaik, PM Muhammad Asraf Roslan manakala PM Kecergasan Terbaik ialah PM Nur Izzudin Abdul Rahim dan PM Penembak Terbaik di berikan kepada PM Mohamad Zaihan Rosland.

Turut hadir Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin dan Panglima Latihan TD, Mej Jen Dato’ Wira Md Tajri Alwi.

Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close