HUTSemasa

85 Tahun ATM Terus Utuh Menjaga Kedaulatan Negara

SELANGOR: Seramai 45 pegawai dan 1,163 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam perbarisan sempena Hari ATM Ke-85 disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin dengan tema ATM Teras Kedaulatan Negara di Pangkalan Udara, Subang pada 1 Okt 2018.

Terdahulu sebaik ketibaan PAT, beliau menerima tabik hormat dari 10 kontinjen perbarisan yang diketuai oleh Lt Kol Mohd Norazan Othman TUDM disusuli dengan lagu ATM dan diiringi Pancaragam Pusat ATM serta lintas hormat udara oleh empat buah pesawat helikopter yang membawa bendera ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dalam perbarisan ini turut menyaksikan seramai 46 warga ATM menerima Pingat Kedaulatan Negara (PKN) dan 10 kakitangan awam Kementerian Pertahanan menerima Sijil Kepujian PAT manakala penerima Anugerah Kesiagaan PAT bagi Perkhidmatan TDM dianugerahkan kepada 10 Bgd (Para) dan TLDM pula dianugerahkan kepada KD Sri Semporna serta perkhidmatan TUDM dianugerahkan kepada Rejimen TUDM.

Dalam ucapan PAT, beliau menyatakan pelbagai peristiwa pahit dan getir telah dilalui oleh mereka yang terdahulu sebelum kita di mana bermula dengan sebuah angkatan kecil iaitu 25 orang pada 1 Mac 1933, ATM telah berjuang bermati-matian demi kedaulatan negara, menentang musuh sama ada ketika pendudukan tentera Jepun, konfrontasi dan ancaman komunis di era darurat, sehingga peletakan senjata oleh komunis pada tahun 1989.

“Sebagai sebuah angkatan profesional, ATM berpegang teguh kepada prinsip atau amalan apolitical, iaitu tidak memihak kepada mana-mana parti politik mahupun terlibat dalam perjuangan parti tertentu yang merupakan asas terpenting yang perlu diamati oleh setiap warga ATM bahkan perlu difahami oleh seluruh rakyat Malaysia agar ATM tidak tercemar dan kekal sebagai sebuah angkatan profesional. 

“Analogi Soldier and The State akan terus diberi penekanan serta menjadi sumber utama kekuatan ATM dan ke arah itu, lima unsur kejiwaan yang menjadi identiti kita sebagai angkatan yang profesional iaitu Kesetiaan, Integriti, Kegigihan, Pengorbanan dan Keunggulan akan terus disuburkan menjadi teras pendukung kepada dimensi Kesiagaan Tempur dan Kualiti Hidup,” tegasnya.

Tambahnya lagi, beliau menyeru agar seluruh warga ATM bijak menilai segala informasi dan tidak sesekali terpedaya atau terjerumus dengan budaya palsu dan fitnah yang mana ATM bukan sekadar perlu mengikuti peredaran ini, malah seharusnya mendakap dan mendahului perubahan, khususnya dalam penggunaan teknologi serta pengendaliannya secara bijaksana.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Halimi Abdul Manaf, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badarudin, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang, mantan-mantan panglima ATM, Veteran ATM dan Penasihat Pertahanan Negara Asing.

Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan dan Sjn Saiful Fazley Rusli

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close