Bersama PemimpinMisi PengamanSemasa

MALBATT 850-6 Berlepas Ke Lubnan

KUALA LUMPUR: MALBATT 850-6 yang berlepas bagi menyertai misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) diminta menjaga akhlak, maruah dan disiplin ketika menjalankan tugas di luar negara.

Menteri Pertahanan, Hj Mohamad Sabu juga meminta setiap anggota terlibat agar komited dalam penugasan tersebut sekali gus menjulang martabat negara di peringkat antarabangsa.

“Saya menyeru supaya setiap anggota dapat mengekalkan semangat kerjasama sebagai satu pasukan supaya pasukan dapat berfungsi dengan efektif dan jangan lakukan kesilapan-kesilapan peribadi yang boleh menjejaskan nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan negara.

“Nama Malaysia setakat ini begitu harum di peringkat antarabangsa terutamanya kepimpinan dan disiplin ATM di luar negara dalam menyertai misi PBB yang mana Malaysia amat komited dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada negara yang memerlukan demi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-6 di Balai Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang pada 6 Sep 2018.

Kumpulan pertama pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-6 (MALBATT 850-6) berlepas ke Lubnan bagi menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) selama setahun diketuai Komander MALBATT 850-6, Kol Azhan Md Othman dan 215 pegawai serta anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).

MALBATT 850-6 akan diatur gerakkan ke negara berkenaan secara empat peringkat iaitu 6, 13, 20 dan 27 September ini membabitkan keseluruhan 850 anggota tentera termasuk 30 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang pegawai kewangan Kementerian Pertahanan.

Tambah MENHAN lagi, anggota MALBATT 850-6 menjalani latihan selama dua bulan di MALBATT Village di Port Dickson, Negeri Sembilan bagi menggantikan MALBATT 850-5 yang akan menamatkan misi UNIFIL pada 24 September 2018 setelah berkhidmat selama 12 bulan.

Beliau berharap mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik, mengelak daripada terpalit dengan sebarang perkara sensitif di negara tersebut, mengutamakan keselamatan dan patuh kepada segala peraturan serta prosedur yang digariskan UNIFIL.

Menurutnya, situasi keselamatan di Lubnan pada masa kini adalah tenang namun ia boleh berubah menjadi konflik pada bila-bila masa.

Terdahulu dari itu, beliau menyempurnakan acara pemakaian beret PPB yang dimulakan dengan pemakaian beret kepada Komander MALBATT 850-6, Kol Azhan Md Othman lalu menyerahkan bendera Malaysia sebagai simbolik bahawa MALBATT 850-6 siap untuk diatur gerak disaksikan pegawai-pegawai kanan ATM dan keluarga anggota MALBATT 850-6.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Halimi Abd Manaf, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan Duta Besar Brunei Darussalam, Dato Paduka Haji Alaihuddin

 

Gambar: Saifun Hakimi Zainon

 

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close