Bersama PemimpinKebajikan

Lawatan Kerja MENHAN Ke PUSASDA

NEGERI SEMBILAN: Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu melakukan lawatan kerja beliau dengan berjumpa warga Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Hangar PUSASDA pada 21 Sep 2018.

Dalam perjumpaan yang berkekuatan seramai 1100 anggota itu, beliau telah menyampaikan ucapan dengan menasihat serta memberi semangat kepada seluruh warga PUSASDA agar terus berkhidmat dan jangan berhenti sehingga tamatnya tempoh perkhidmatan di mana kebajikan anggota tentera juga akan terus diberikan keutamaan walaupun mereka telah bersara kelak.

“Saya mahukan anda semua terus berkhidmat dalam perkhidmatan sehingga umur pesaraan dan tidak berhenti separuh jalan memandangkan dunia luar tidak semestinya menjanjikan kejayaan.

“Sebagai Menteri Pertahanan, saja juga berikrar akan terus memastikan bahawa kebajikan setiap anggota dan Veteran ATM sentiasa terpelihara,” tegas beliau.

Selain itu beliau mahukan setiap warga TD sentiasa sedar dengan tanggungjawab untuk menjaga keluarga serta mempertahankan tanah air dan jangan sesekali terlibat dengan najis dadah yang boleh merosakkan masa depan anggota itu sendiri.

Terdahulu dari itu, beliau turut menunaikan Solat Jumaat bersama warga PUSASDA diiringi Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi di Masjid Depot RAMD.

Beliau juga turut melawat Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sekitar Port Dickson serta meluluskan peruntukan kewangan sebanyak RM500,000 bagi membaiki kerosakan rumah dan prasarana agar mereka yang tinggal di RKAT PD mendapat keselesaan yang terbaik.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Mastura Ahmad Mustafa, Pengarah Pengurusan Latihan Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Brig Jen Dato’ Hj Hasim Jabar dan pegawai kanan TD.

 

Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan

 

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close