LatihanSemasa

Kpl Mohamad Zulfi Jaguh UKM TD 2018

MELAKA: Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi menyempurnakan acara penutup Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKMTD) di Lapang Sasar 400 meter Kem Terendak pada 25 Sep 2018.

Seramai 79 pegawai dan 459 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri dari formasi dalam TD terlibat  dalam UKMTD kali ini yang diadakan dari 17 hingga 25 Sep 2018 di mana Kpl Mohamad Zulfi Mohd Zulkifli  dari Trup TD 1 dinobatkan Jaguh UKMTD 2018 manakala Trup TD 1 menjadi  Johan Keseluruhan Formasi.

UKMTD 2018 merupakan pertandingan yang melibatkan formasi-formasi dalam TD serta merupakan acara tahunan yang bertujuan untuk menilai kemampuan dan tahap kemahiran individu mengendalikan senjata.

Selain itu, ia juga sebagai platform terbaik bagi mencungkil serta mengenal pasti bakat-bakat baharu dalam kepakaran menembak untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pada tahun ini, UKMTD menampilkan sedikit kelainan kerana ianya dilaksanakan mengikut praktis Asean Armies Rifle Meet (AARM) yang mana memberi sedikit kelebihan kepada peserta yang akan mewakili TD dalam AARM yang akan diadakan pada bulan Nov ini.

Pada masa yang sama UKMTD 2018 ini adalah landasan yang terbaik sebagai raptai dan persediaan TD sebagai tuan rumah untuk menghadapi kejohanan tersebut.

Dalam ucapan PTD, beliau berkata kejohanan ini adalah contoh terbaik untuk menilai kemahiran dan kecekapan warga TD hasil dari latihan yang dijalankan sama ada di peringkat pasukan mahupun formasi malah sebagai pemangkin untuk TD melahirkan jaguh-jaguh menembak.

Beliau amat menitik beratkan berkenaan latihan kerana tanpa latihan yang secukupnya belum tentu dapat melahirkan anggota TD yang terbaik yang mana ini sejajar dengan apa yang dinyatakan dalam Perintah Ulung beliau.

Selain itu, PTD mahukan aspek-aspek seperti teknik dan kemahiran menembak, tahap kecergasan fizikal serta faktor tekanan semasa pertandingan perlu diberikan tumpuan agar peserta yang akan mewakili TD ke AARM nanti mampu membawa pulang sesuatu dari kejohanan tersebut.

Terdahulu dari itu turut diadakan Pertandingan Akhir Jatuh Piring di antara Tim 3 Div menentang Tim Trup TD 1 di tapak tembak 300 meter dan Acara Menembak Novelti Pegawai Kanan.

Turut hadir Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Dato’ Azizan Md Delin, Panglima Medan Timur TD, Lt Jen Datuk Stephen Mundaw, Ketua Staf TD, Mej Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharuddin dan Panglima-panglima formasi TD.

 

Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close