Bersama PemimpinSemasa

Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Ke-XV

KUALA LUMPUR: Seramai 28 pegawai dan 550 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam Perbarisan Istiadat Mengarak Panji-Panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke- XV, Sultan Muhammad V sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda di Dataran Pahlawan pada 12 Sep 2018.

Terdahulu ketibaan baginda disambut oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail dan Pemangku Panglima Angkatan Tentera (PAT) merangkap Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi lalu menerima tabik hormat dari kontijen perbarisan diiringi alunan lagu Negaraku  dari Pancaragam Gabungan Pusat ATM disusuli 21 das tembakan oleh 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja.

Serentak dengan itu terbang lintas hormat oleh lima buah Helikopter ATM yang membawa bendera Jalur Gemilang, bendera ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di ruang udara Dataran Pahlawan.

Baginda yang berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat perbarisan tersebut dipersembahkan dengan perarakan yang melibatkan lima Panji-Panji diarak iaitu  Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), TLDM dan Panji-Panji TUDM.

Istiadat ini dilaksanakan pada setiap tahun di peringkat Persekutuan adalah satu upacara gilang gemilang di mana Panji-Panji ini merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaat setiaan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap Raja dan Negara.

Selain itu setiap sejarah penglibatan dan perjuangan ATM dalam mempertahankan kedaulatan tanah air demi  memastikan keamanan negara turut disemadikan coretannya pada hamparan panji-panji untuk tatapan generasi akan datang yang dikenali sebagai ‘Battle Honour’.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin dan pegawai kanan ATM.

Gambar: SSjn Vijay Gaundar, Sjn Saiful Fazley dan Saifun Hakimi Zainon

 

 

 

 

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close