Bersama PemimpinMK TDSemasa

Hari Pertama PTD Ke-27

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat Ke-27, Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi secara rasminya memulakan tugas sebagai PTD yang baharu pada hari pertama di Wisma Pertahanan pada 4 Sep 2018.

Sebaik sahaja tiba di perkarangan Wisma Pertahanan, PTD menerima tabik hormat lalu memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang terdiri daripada tiga pegawai serta 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Mohd Izham Ahmad Rashidi dan diiringi Pancaragam Pusat RAMD.

Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi telah mengambil alih tugas sebagai PTD Ke-27 dari PTD Ke-26, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim pada 3 Sep 2018 di Auditorium Kementerian Pertahanan disaksikan Menteri Pertahanan, Hj Mohamad Sabu dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin.

Mengimbas keperibadian PTD Ke-27, Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi berasal dari Kuala Kangsar, Perak dan menjalani latihan ketenteraan di Officer Cadet School, Portsea, Australia, seterusnya ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Dis 1981.

Beliau telah berkhidmat selama 37 tahun di alam ketenteraan dan jawatan terakhir adalah Timbalan Panglima Tentera Darat selama tempoh tujuh tahun sejak 1 Ogos 2011 selain berpengalaman terlibat secara langsung memerangi ancaman komunis di sempadan tanah air sehinggalah peletakan senjata Parti Komunis Malaya (PKM) pada 2 Dis 1989.

Turut hadir Asisten Ketua Staf (AKS) Cawangan Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Mardzuki Muhammad, AKS OPLAT, Mej Jen Dato’ Hj Ya’cob Hj Samiran, AKS Perancangan dan Pembangunan, Mej Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman  dan pegawai kanan MKTD.

 

Gambar: Sjn Saiful Fazley dan Saifun Hakimi

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close