Bersama PemimpinMK TDSemasa

‘ASAS’ Teras TD Baharu

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 detasmen melibatkan seramai  55 pegawai dan 904 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Tentera Darat (TD) dalam Perbarisan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-27, Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Kedua Rejimen Sempadan, Lt Kol Mohd Rasidi Abdul Rasid di Dataran PTD pada 5 Sep 2018.

Perbarisan ini bertujuan menyampaikan amanat dan Perintah Ulung PTD Ke-27 setelah mengambil alih tampuk pemerintahan TD daripada mantan PTD Ke-26, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim pada 3 Sep lalu yang berpandukan kepada empat teras ASAS yang digariskan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin agar TD kekal relevan sebagai sebuah ketumbukan utama benteng pertahanan negara.

Dalam ucapan Perintah Ulung PTD Ke-27, beliau menyeru kepada seluruh warga TD agar memasang niat bahawa kerja juga merupakan suatu ibadah dan menyeru agar semua mengorak langkah bersamanya bagi memperlihatkan TD terus cemerlang berdasarkan empat teras ASAS yang beliau gariskan.

Teras pertama yang ditekankan adalah Amal, dimana semua warga TD perlu mengamalkan ilmu kententeraan yang telah diajar di dalam perkhimatan ini selain menjadikan apa yang termaktub dalam Ikrar Kesatria sebagai pegangan dalam membentuk jati diri sebagai seorang anggota tentera sejati selain semua pusat latihan perlu mengamalkan perbarisan rejimental sepenuhnya serta setiap pemerintah perlu mengurus dan menjadi agen perubahan dalam mengembalikan back-to-basic ini.

Teras kedua adalah Sistem Pemerintahan Rejimental, yang mana warga TD perlu ikuti sistem ini agar sentiasa mempunyai mutu disiplin serta tatatertib yang tinggi kerana patuh pada peraturan dan adat resam TD adalah kunci kejayaan bagi setiap penugasan dalam organisasi ini selain memperkasakan perwatakan dan penampilan kerana setiap individu akan mencerminkan imej TD yang terkenal gah dari segi disiplinnya.

Tambahan daripada itu, beliau turut mengingatkan kepada setiap warga TD untuk menjaga kesihatan, paras Body Mass Index (BMI) serta kecergasan yang merupakan tanggungjawab setiap individu, selain menjaga aset serta fasiliti organisasi dengan sebaiknya.

Berkaitan aspek kebajikan pula, berdasarkan teras ini, pemimpin seharusnya mengenali dan mengambil tahu akan hal setiap anggota untuk terus mengekalkan semangat kekitaan serta menggunakan platform Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) sebaik mungkin untuk menjaga kebajikan dan moral keluarga warga TD selain diingatkan kepada semua warga TD untuk memperkukuhkan nilai kerohanian dan spiritual berteraskan agama masing-masing.

Teras ketiga Adaptasi, TD perlu sentiasa peka dengan bergerak mengikut peredaran semasa serta perubahan teknologi dan semua warga harus bersiap sedia dengan ancaman semasa selain sentiasa mengembangkan ilmu tidak terhad kepada ketenteraan sahaja sebaliknya juga kemahiran bersesuaian yang boleh digunakan untuk membantu organisasi ini.

Dalam konteks pemerintahan, PTD memandang serius aspek kepatuhan masa dimana kegagalan menepati masa dan waktu merupakan sikap tidak amanah, kejujuran, kecekapan, tatacara pengurusan dan soal integriti kerana sebagai organisasi yang bertanggungjawab TD mesti mempamerkan imej yang positif dan nilai-nilai murni yang sepatutnya dicontohi oleh masyarakat.

Teras keempat Siap Sedia, TD haruslah mempunyai tahap kesiagaan yang tinggi agar sedia menghadapi segala bentuk ancaman yang mana bagi memenuhi tuntutan ini setiap formasi perlu berlatih berdasarkan garis panduan kitaran latihan dan setiap pemerintah perlu memastikan perkara ini dilaksanakan.

Sehubungan dari itu, beliau telah menetapkan agar latihan medan peringkat briged dibawah pemerintahan medan barat dan timur akan dilaksanakan pada tahun hadapan sebagai salah satu aktiviti utama sambutan Hari TD yang akan datang.

Tambahan dari itu panduan Strategik TD army to 10 plus 10 akan diganti dengan Army 4next G kerana seiring dengan keperluan semasa dan beliau turut menegaskan walaupun peruntukan kewangan tidak mencukupi namun ia tidak menjejaskan misi dan visi TD juga selenggaraan, keselesaan anggota di dalam kem dan rumah keluarga angkatan tentera.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan, Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima Medan Timur TD, Lt Jen Datuk Stephen Mundaw dan pegawai kanan TD.

Gambar: SSjn Vijay Gaundar, Sjn Saiful Fazley dan Saifun Hakimi Zainon

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close