Bersama PemimpinMINDEFSemasa

Anak Warga ATM Cemerlang Terima Anugerah

KUALA LUMPUR: Seramai 218 anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang cemerlang dalam pelajaran pada tahun 2017 menerima anugerah dalam Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM Ke-28 yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Malaysia (MENHAN), Hj Mohamad Sabu di Auditorium Wisma Pertahanan pada 6 Sep 2018.

Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan the caring and closely-knit society, anugerah ini diwujudkan secara tahunan sejak dari 25 Apr 1991 untuk memberi pengiktirafan kepada anak-anak anggota ATM yang cemerlang dalam PT3, SPM dan berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA selain sebagai satu insentif kepada anak-anak anggota ATM untuk lebih berazam dan berusaha mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merupakan penyumbang utama dan tunggal kepada kewangan anugerah kecemerlangan yang diberi berdasarkan kepada jumlah pencalonan pelajar cemerlang pada setiap tahun.

Dalam ucapan MENHAN, beliau menyatakan majlis seperti ini amat bermakna kepada anak-anak anggota ATM yang telah mempamerkan kesungguhan serta usaha gigih dalam mengharungi dunia persekolahan dan  kehadiran ibu bapa yang sudi meluangkan masa menyerikan lagi acara ini.

“Kepada anak-anak cemerlang dalam dewan ini, syabas saya ucapkan dan anugerah ini bertujuan menyuntik semangat serta meningkatkan motivasi anak-anak untuk terus berusaha dengan lebih gigih mencapai kejayaan cemerlang.

Alangkah bangganya jika penerima hari ini menjadi seorang yang mampu berdaya saing di arena global dan tidak mustahil suatu hari nanti mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa,” jelasnya lagi.

Beliau turut berpesan kepada anak-anak muda supaya jangan terlibat dengan pengaruh dadah yang boleh menghancurkan dan merosakkan masa depan mereka.

MENHAN juga memaklumkan bahawa ATM telah mewujudkan satu program sekolah kelas abad ke-21 di sekolah dalam Kem ATM yang bakal menyediakan kemudahan persekolahan seperti mengasimilasikan pembelajaran maya dan meningkatkan keupayaan anak-anak ATM untuk mengakses pelbagai makluman pembelajaran serta inisiatif pendidikan yang seterusnya adalah program tuisyen berpusat dan tuisyen Online ATM yang akan memperolehi kemudahan bimbingan pelajaran secara maya.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Pengerusi LTAT, Jen Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi Hj Zainuddin (Bersara) dan pegawai kanan ATM.

Gambar: Saifun Hakimi Zainon

 

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close