Bersama PemimpinMINDEFSemasa

Solat Jumaat PAT Bersama Warga MinDef

KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin bersama  hampir 1500 warga Angkatan Tentera Malaysia daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan, kakitangan awam dan kariah masjid  hadir dalam Majlis Mahabbah Aidilfitri dan Solat Jumaat Bersama Warga ATM anjuran Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) di Masjid Khalid Al-Walid pada 6 Jul 2018.

Selesai Majlis Mahabbah Aidilfitri, acara diteruskan dengan Solat Jumaat Bersama Warga ATM dengan Khutbah Jumaat bertajuk Tanggungjawab Kepimpinan yang dibacakan oleh Pegawai Staf Satu Sel Masjid (KAGAT), Lt Kol Hj Hamzah Adam.

Khutbah yang dibacakan itu menuntut setiap umat Islam agar memberikan perhatian dan penekanan utama terhadap kepimpinan kerana tanpa adanya elemen kepimpinan, urusan pentadbiran individu, masyarakat dan negara tidak dapat dijalankan dengan baik dan sempurna di mana kepimpinan yang baik akan membawa kemakmuran dan keamanan kepada negara.

Pada masa yang sama, mimbar menyeru bagi merealisasikan tanggungjawab kepimpinan para ulama telah menetapkan beberapa syarat dalam menentukan kelayakan seseorang pemimpin, antaranya keupayaan jasmani, pengetahuan undang-undang, kelayakan ilmu, adil dan menguasai ilmu siasah, peperangan dan pentadbiran yang mana seorang pemimpin itu hendaklah mempunyai pemikiran yang tajam untuk menjaga siasah umat, pentadbiran yang menjamin kemaslahatan, berani, berupaya mempertahankan negara dan berjihad menentang musuh.

Di akhir khutbah, Khatib berpesan pemimpin juga mestilah mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk mentadbir dari sudut fizikal dan kesihatan, kemampuan berfikir dan menyelesaikan permasalahan, mempunyai daya kreativiti yang tinggi, mempunyai kebijaksanaan dan kemampuan melaksanakan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Selain itu, mestilah amanah dan tidak mengambil kesempatan dengan kedudukan diperoleh bagi kepentingan peribadi serta menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin serta jujur dalam kata-kata dan tidak memungkiri janji.

Turut hadir PTD, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Udara (PTU), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affandi Buang dan pegawai kanan ATM.

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close