Bersama PemimpinSemasaSukan

Olahraga TD Cungkil Bakat Atlet Muda

KUALA LUMPUR: Markas Divisyen Keempat Infantri Malaysia (MK 4 Div) muncul Formasi Terbaik Keseluruhan dalam Kejohanan Olahraga Tentera Darat (TD) Ke-37 yang diadakan selama tiga hari dari 24 hingga 26 Jul 2018 di Stadium Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

MK 2 Div dinobatkan sebagai Johan antara formasi Kategori Lelaki dengan pungutan pingat tujuh emas, enam perak dan satu pingat gangsa manakala MK 4 Div Johan antara formasi Kategori Wanita dengan mengumpul tujuh emas, lapan perak dan tiga gangsa.

Gelaran Olahragawan dan Olahragawati TD dianugerahkan kepada SSjn Muhaizar Mohamad dan Kpl Norina Damnoen dari MK 4 Div manakala Peserta Terbaik Keseluruhan dianugerahkan kepada Kpl Iza Maryati Mohamad dari MPLDTD.

Majlis penutup kejohanan disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim yang turut menyertai acara novelti 4×100 meter yang mana menyaksikan tim dari 10 Bgd (Para) menjadi johan acara tersebut.

Kejohanan ini merupakan satu platform untuk menjana keutuhan keharmonian, kemuafakatan serta perpaduan di kalangan warga TD serta merupakan satu medan tempur bagi atlet-atlet TD menonjol dan menguji tahap pencapaian masing-masing di samping turut mencungkil bakat baharu atlet muda.

Dalam ucapan PTD beliau mengucapkan tahniah  atas kejayaan yang dicapai dan mengharapkan atlet yang terpilih terus berlatih mempertingkatkan lagi keupayaan untuk menghadapi kejohanan di peringkat yang lebih tinggi.

“Kejohanan olahraga menyaksikan penyertaan dari kesemua Formasi TD ini merupakan satu aspek kesukanan yang menguji tahap ketahanan mental dan fizikal setiap peserta dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh pucuk pimpinan masing-masing.

“Dalam organisasi ketenteraan, kita memiliki kelebihan untuk maju dalam bidang sukan olahraga iaitu dengan mempunyai kecergasan mental dan fizikal yang tinggi, infrastruktur serta kemudahan sukan olahraga yang baik kerana ini merupakan senjata utama dalam sukan dan dengan kelebihan ini sepatutnya latihan intensif di pusat cemerlang sukan dapat melahirkan lebih ramai atlet TD yang layak mewakili negara,” jelas PTD.

Tambahnya lagi kejohanan ini dapat dijadikan sebagai satu mekanisme untuk mengukuhkan tahap kesatuan, mempertingkat semangat juang dan daya saing selain memupuk nilai-nilai integrasi di kalangan atlet dan semua warga yang terlibat dalam menjayakan kejohanan olahraga TD kali ini.

Di samping itu, semasa sidang media beliau turut berpesan kepada orang awam bahawa menjadi satu kesalahan kepada orang awam yang memakai pakaian tentera kerana telah termaktub dalam undang-undang di mana mereka yang bukan anggota tentera di larang sama sekali memakai pakaian tentera yang telah diwartakan.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin dan Ketua Staf TD, Mej Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharudin.

Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close