LatihanSemasa

LKT Bukan Pembaziran-PTD

NEGERI SEMBILAN: Latihan Kuasa Tembakan (LKT) merupakan aktiviti tahunan bagi menguji keupayaan aset yang di miliki Tentera Darat (TD) di mana ianya bukanlah satu pembaziran sebaliknya merupakan medan untuk mengetahui tahap prestasi anggota TD dalam mengendalikan aset TD.

Tahun ini, LKT 2018 melibatkan kos sebanyak RM17 juta namun kos yang besar ini demi memastikan agar anggota TD dapat mempamerkan prestasi mereka yang sebenar dan sememangnya bajet untuk latihan ketenteraan memerlukan satu kos yang sangat tinggi kata Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim.

Beliau berkata kepada pemberita semasa LKT 2018 di Lapang Sasar Gemas pada 12 Jul 2018 melibat 32 jenis senjata dan aset milik TD dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta penglibatan seramai 222 pegawai dan 1,898 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).

Tambahnya lagi, perbelanjaan ketenteraan kebanyakan negara termasuk Malaysia biasanya besar kerana semua aset termasuk teknologi, senjata, peluru, misil dan bom membabitkan kos yang mahal dan LKT ini bukannya untuk menunjukkan aset dimiliki negara serta membuat perbandingan dengan negara luar sebaliknya  bagi memberi pendedahan kepada pihak yang mempunyai kepentingan di dalam negara ini berdasarkan keperluan pertahanan dan muka bumi Malaysia.

“Kita tidak nafikan, orang awam mungkin anggap puluhan juta ringgit yang digunakan untuk menampung kos latihan ini sebagai mahal tapi sebenarnya kita perlu melakukannya kerana itu adalah masa untuk menguji keupayaan dan keberkesanan senjata yang kita miliki.

“Di samping itu ianya dapat memberi pendedahan untuk pegawai serta anggota untuk melihat tahap kekuatan sesuatu aset agar dapat diaplikasikan penggunaannya dalam mengatur strategi taktikal semasa berperang.

“Jadi kalau tidak mengadakan latihan ini pun, kita tetap akan gunakan peruntukan besar untuk latihan dan ujian persenjataan,” kata PTD.

Mengulas lanjut, PTD tidak menolak kemungkinan lebih banyak pihak termasuk pasukan keselamatan atau agensi penguatkuasaan lain dibenarkan menyaksikan LKT tahun depan, namun menolak cadangan supaya orang awam dijemput menyaksikannya kerana faktor keselamatan.

Latihan ini yang dahulunya dikenali sebagai Demonstrasi Kuasa Tembakan (DKT)  antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada Siswa Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) berkenaan keupayaan pengendalian dan kuasa tembakan senjata serta kenderaan tempur TD.

Antara kenderaan tempur yang menarik perhatian dalam demonstrasi ini ialah ACV 300 Adnan,  AV8 Gempita dan PT91M Pendekar disamping tembakan Gattling Gun M134D oleh Helikopter Agusta A-109E  dan seterusnya memperlihatkan kemantapan Helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri yang memasuki lapang sasar dengan membawa Meriam 105mm PH L5.

Selain itu, penonton dikejutkan dengan ketibaan pesawat pejuang Hawk 208 dan Sukhoi 30 MKM yang menggegarkan Observation Post 3A (OP 3A) dengan memberi bantuan serangan dari udara sekaligus memukau semua penonton.

Terdahulu acara dimulakan dengan Panglima 3 Div, Mej Jen Hasagaya Abdullah memulakan ucapannya dengan mengalu-alukan kehadiran delegasi dari luar negara serta Penuntut MTAT dan berkata bahawa objektif LKT pada tahun ini adalah sebagai pertunjukan realistik terhadap pengoperasian yang melibatkan elemen Infantri, Artileri, Armor, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan akhir sekali penglibatan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Latihan ini diadakan dalam dua segmen iaitu Segmen Dinamik dan Pameran Statik serta Segmen Tembakan Tidak Langsung untuk melihat kuasa tembakan dan impak ke atas sasaran sistem persenjataan yang terdapat di dalam inventori TD termasuk keupayaan pesawat TUDM.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi dan Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin.

 

Gambar: Lt Kol Hj Ahmad Nazran Ashari, PW II Mohd Shahril Mat Ali dan SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan

 

 

 

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close