Latihan

Integriti Memartabatkan Profesion Tentera – PTD

This section contains some shortcodes that requries the Jannah Extinsions Plugin. Install it from the Theme Menu > Install Plugins.

NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim menyeru Perajurit Muda Tentera Darat agar mementingkan nilai integriti dalam kehidupan di dalam perkhidmatan tentera kerana ianya dapat memartabatkan profesionalisme, komitmen dan kecemerlangan TD sentiasa berada pada tahap tertinggi sebilang masa.

Ia ibarat kompas moral yang akan membawa individu dan organisasi mencapai apa jua yang diingini  dan perlu menghayati serta memperkukuhkan aspek ini agar setiap langkah yang diambil berteraskan integriti dan ketelusan selaras dengan pelancaran Pelan Integriti Organisasi TD (PIO TD) yang bertujuan mencegah serta membanteras segala bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam organisasi.

Beliau berkata demikian semasa Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (PM) Tentera Darat Siri 185/2017 yang melibatkan 1578 PM lelaki di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 7 Jul 2018 yang berjaya menamatkan latihan asas selama enam bulan.

Tambahnya lagi profesion ketenteraan sebenarnya menagih pengorbanan diri yang memerlukan keikhlasan dalam melaksanakan tugas, kegigihan bagi mencapai sasaran serta mengekalkan tahap disiplin yang baik pada sebilang masa agar sentiasa dipandang tinggi dan diyakini rakyat.

“Tanggungjawab yang bakal saudara galas selepas ini harus difahami dan dihayati sepenuhnya dan perlu disedari bahawa tanggungjawab sebagai seorang anggota pasukan keselamatan bukan untuk mengejar glamor  dengan pakaian seragam yang dipakai tetapi pengorbanan diri itu lebih penting di samping mempamerkan imej yang baik buat rakyat,” tegasnya.

PM telah menjalani latihan selama enam bulan bermula dari 9 Dis 2017  lalu dan latihan yang dilaksanakan adalah untuk melatih dan melengkapkan PM dengan keperibadian ketenteraan, pengetahuan asas ketenteraan, pembinaan kekuatan dan ketahanan fizikal serta mental sebelum di serap ke pelbagai kor dalam TD.

Pada masa sama latihan yang dijalani termasuklah pembinaan karakter, pengetahuan am ketenteraan, latihan jasmani, pengendalian senjata, kemahiran perang dan pengukuhan aspek kerohanian bagi melahirkan PM yang mempunyai keyakinan diri, trampil, disiplin dan kompeten.

Mengimbas sejarah PUSASDA, hasrat untuk menubuhkan satu pasukan pertahanan terdiri dari anak-anak Melayu bermula sejak tahun 1902  dan pada tanggal 23 Jan 1933 Persidangan Majlis Mesyuarat Persekutuan telah meluluskan Rang Undang-Undang Askar Melayu dan satu Kompeni Percubaan terdiri dari 25 anak watan telah memulakan latihan asas ketenteraan pada 1 Mac 1933 di Haig Lines Batu 5 Port Dickson.

Terdahulu ketibaan PTD disambut oleh Timbalan PTD, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi lalu menerima tabik hormat dari kontijen perbarisan  disusuli dengan nyanyian lagu TD dan pemeriksaan barisan oleh PTD serta persembahan Perbarisan Berjalan Lalu oleh PM.

Perbarisan seterusnya diteruskan dengan acara penyampaian lima anugerah khas kepada PM yang terbaik yang disempurnakan oleh PTD.

PM Keseluruhan Terbaik diberikan kepada PM Mohd Izwan Mohd Yusof, Akademik Terbaik disandang oleh PM Muhamad Arif Zainuddin, Kecergasan Jasmani Terbaik diberikan kepada PM Mohamad Saiful Rohaimie Rozeli manakala Kawad Terbaik dianugerahkan kepada PM Zulhazmi Hamdi dan Penembak Terbaik disandang oleh PM Mark Hayward Henary.

Turut hadir Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima Medan Timur TD, Lt Jen Dato’ Stephen Mundaw dan Panglima Latihan TD, Mej Jen Dato’ Wira Md Tajri Alwi.

[divider style=”solid” top=”20″ bottom=”20″]

Gambar: Lt Kol Hj Ahmad Nazran Ashari, PW II Mohd Shahril Mat Ali dan Saifun Hakimi Zainon

 

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close