Bersama PemimpinSemasa

Hari Pahlawan Memperingati Perwira Negara

KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XV, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2018 di Dataran Pahlawan Negara pada 31 Jul 2018.

Istiadat perbarisan terdiri daripada enam detasmen melibatkan 46 pegawai dan 823 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) gabungan daripada Angkatan Tentera Tentera (ATM) dan Polis Diraja  Malaysia (PDRM) diketuai Lt Kol Samhasri Samah  berkonsepkan perbarisan statik tanpa senjata.

Acara dimulakan dengan perarakan masuk Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Panji-Panji Rejimen dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) oleh Kawalan Kehormatan Utama 1 RAMD.

Sejurus keberangkatan tiba Tuanku, baginda menerima tabik hormat dari kontinjen perbarisan dan alunan lagu Negaraku dimainkan disusuli dengan 21 das Tembakan Meriam Kehormatan oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja.

Perbarisan diteruskan dengan Tiupan Paluan Akhir atau Last Post dengan Jalur Gemilang diturunkan sebagai simbolik untuk mengenang mereka yang terkorban di mana tiupan gebol digunakan sebagai media komunikasi untuk menandakan kedua-dua pihak yang berperang akan mencari saki baki anggota yang terkorban atau cedera untuk dibawa pulang ke pasukan masing-masing.

Hadirin kemudian diperdengarkan dengan deklamasi sajak bertajuk Pahlawan yang disampaikan oleh ASP, Rahimi Hamzah bersama Lt Farahanina Ismail TUDM dan persembahan pantomim yang memaparkan peristiwa pertempuran sebenar dalam OP IBLIS di kawasan Hutan Simpan Hulu Kinta, Perak oleh Batalion Ke-4 Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) diketuai oleh, Kapt Mohana Chandran Velayuthan.

Pantomim tersebut telah menceritakan tentang keberanian Kapt Mohana Chandran Velayuthan yang meneruskan serangan ke arah kedudukan pihak musuh walaupun menyedari kekuatan pasukan beliau kecil berbanding pihak musuh.

Dalam pertempuran tersebut  beliau sendiri terkorban manakala Rjr Bolhi dan Rjr Bajau mengalami kecederaan dan seramai tiga pengganas komunis berjaya ditembak dalam operasi pada 13 Jun 1971 itu.

Sungguhpun tiada legasi pewaris mendiang kini, namun nama beliau terpahat dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia dan di atas jasa dan pengorbanannya, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-V telah berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran Tertinggi Negara iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa secara posthumous pada 7 Jun 1972.

Terdahulu sambutan Hari Pahlawan ini adalah kalendar tahunan di peringkat kebangsaan yang mana ianya antara satu usaha dan keprihatinan kerajaan menetapkan satu hari khas bagi mengenang jasa-jasa perwira tanah air yang terkorban semasa mempertahankan kedaulatan negara.

Sejak tahun 1968, acara ini telah dianjurkan secara bergilir-gilir antara ATM dan PDRM dan pada tahun ini ATM menjadi penganjur.

Turut hadir Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan PM, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Menteri Pertahanan (MENHAN), Hj Mohamad Sabu, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin, Ketua Polis Negara Tan Sri Dato’ Sri Mohamed Fuzi Harun, Panglima ketiga-tiga cabang perkhidmatan Darat, Laut dan Udara serta Penasihat Pertahanan luar negara.

Gambar: SSjn Vijay Gaundar, Sjn Saiful Fazley Rusli, LKpl Ainur Aisyah Yahaya dan Saifun Hakimi Zainon

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close