Bersama PemimpinMINDEFSemasa

Perbarisan Penghargaan PAT Ke-19

KUALA LUMPUR: Seramai 28 pegawai dan 900 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM terlibat di dalam Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-19, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, diketuai  Timbalan Komander 514 Askar Wataniah (AW), Lt Kol Mohamad Qadri Abu Bakar di Dataran Panglima Tentera Darat pada 20 Jun 2018.

Perbarisan Penghargaan PAT ini berkonsepkan Perbarisan Statik Tempur dengan penglibatan lapan detasmen terdiri daripada empat detasmen Tentera Darat Malaysia(TDM), dua detasmen Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM) dan dua detasmen Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) serta diiringi Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Mej (Dom) Abdul Aziz Abdullah.

Dalam ucapan PAT, beliau amat terharu dan berbangga dengan semangat juang yang tinggi dan setia kawan yang jitu sebagaimana yang dipersembahkan oleh setiap warga ATM melalui Perbarisan Penghargaan dan menghadirkan diri dalam satu pertemuan yang penuh bermakna, segalanya jelas menunjukkan ATM sentiasa menunjukkan semangat juang yang tinggi sebilang masa demi agama, bangsa dan negara tercinta.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah membuktikan keberadaanya sebagai sebuah angkatan keselamatan yang gah dan kukuh dan begitu membanggakan,” ujar PAT.

Tambahnya lagi, beliau berharap agar seluruh warga ATM meneruskan kecemerlangan dan kegemilangan yang dicatat pada hari ini dengan menghayati nilai-nilai sejarah dan pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu.

Serba ringkas keperibadiannya, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor telah dilahirkan di Kampung Raja Besut, Terengganu pada 20 Jun 1957 lalu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kampung Raja, Besut Terengganu.

Setelah menamatkan pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Ismail, beliau telah mengikuti latihan sebagai Bakal Pegawai Kadet di Pre-Officer Cadet Training Unit (Pre-OCTU) Sekolah Pegawai Kadet, Kem Sebatang Karah, Port Dickson dan seterusnya di Maktab Tentera Diraja sebagai Pegawai Kadet dan ditauliahkan sebagai Lt Muda ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 11 Mei 1977 dan setelah 42 tahun perkhidmatan dalam ATM, pada tanggal 16 Dis 2016 beliau telah diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera Ke-19.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat (PTD) Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affandi Buang TUDM.

Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali dan Saifun Hakimi Zainon

 

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close