PenghargaanSemasa

Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Abdul Nasser Ahmad

JOHOR: Seramai lima pegawai dan 209 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Abdul Nasser Ahmad diiringi Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja (KAD) di Padang Kawad Institut Kejuruteraan Medan Tentera Darat (IKEM) pada 14 Mei 2018.

Terdahulu dari itu, Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Abdul Nasser Ahmad menerima tabik hormat terakhir dari kontinjen perbarisan yang terdiri daripada empat detasmen diketuai Lt Kol Azwan Md Akhir bertujuan sebagai tanda penghormatan menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh beliau selama 40 tahun 11 bulan 17 hari berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya.

Dalam ucapannya, beliau berasa terharu serta berbangga di atas persembahan perbarisan yang mantap dan segak serta mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Sri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi yang sudi hadir dalam perbarisan penghargaan tersebut.

“Selama hampir 41 tahun saya memperhambakan diri kepada TD dan lebih satu per empat daripadanya atau 11 tahun sebagai Ketua Jurutera, pelbagai cabaran, pahit dan manis telah saya hadapi.

“Apabila saya mula memegang tampuk pemerintahan Kor RAJD, saya meletakkan objektif untuk membawa RAJD di peringkat  nasional dan mewujudkan satu struktur organisasi kor yang lebih kemas dan menyeluruh bagi membuka peluang peningkatan kerjaya kepada semua warga kor,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, beliau mengingatkan seluruh warga RAJD agar terus berkhidmat dengan penuh kebanggaan serta jaga nama baik RAJD dan TD sebilang masa kerana, sekiranya kita tidak mampu untuk membawa sesuatu kebaikan kepada organisasi, janganlah merosakkannya dengan melakukan sesuatu yang tidak baik.

Turut hadir Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Panglima 7 Bgd, Brig Jen Dato’ Mohd Hassan Loman, Pengerusi Kor RAJD, Brig Jen Dato’ Pahlawan Hj Ahmad Nasir Abdul Rahman, Pengarah Bahagian Geospastial Pertahanan (BGSP), Brig Jen Surveyor Dr Mohd Zambri Mohamad Rabab dan Pemangku Ketua Jurutera, Kol Ir Abdul Hamid Mohd Isa.

Gambar: LKpl Ainur Aisyah Yahaya dan Saifun Hakimi Zainon

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close