PengorbananRencanaSemasa

SSjn Md Ali Ahmad PGB

Bunuh Dua Pengganas Komunis

This section contains some shortcodes that requries the Jannah Extinsions Plugin. Install it from the Theme Menu > Install Plugins.

[dropcap]S[/dropcap]aya memasuki tentera disebabkan semangat berkobar-kobar untuk mempertahankan tanah air pada 1970, unit asal saya ialah Artileri tetapi disebabkan tertarik dengan nama elit komando, saya memohon untuk menyertainya pada tahun 1971 kata SSjn (B) Md Ali Ahmad PGB semasa di wawancara oleh wartawan Berita Tentera Darat Malaysia Sjn Nurulhaswani Ruzaini bersama jurugambar BTDM, SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan di kediaman beliau.

Mengimbas kembali sejarah silam 44 tahun yang lalu pada tanggal 19 Apr 1974 ketika beliau menyertai Operasi Gonzales di Ipoh, keadaan pada waktu itu sangat kecoh apabila Platun Nombor 9 Batalion Ketiga Rejimen Renjer (3 Rjr) telah bertempur dengan pengganas komunis di Hutan Simpan Bukit Kinta berhampiran Sungai Siput Perak. Tpr Md Ali Ahmad ketika itu berusia 23 tahun dan baru dua tahun menyertai skuad elit berkenaan. Sebaik berita itu sampai ke telinga anggota Trup Nombor 9, Skuadron Z Rejimen Gerak Khas (RGK) yang berada di situ, mereka lantas mempersiapkan diri untuk melaksanakan operasi susulan bagi memburu musuh tersebut.

Pada 18 Apr 1974, kumpulan Md Ali berkekuatan seramai 32 anggota yang diketuai oleh Lt M Zainal Abidin Husein telah diterbangkan menggunakan dua buah helikopter Nuri ke kawasan pertempuran dan diturunkan menggunakan cara abseiling bagi membantu Platun 9 dari 3 Rjr.  Mereka turut dibantu oleh satu pasukan kombat dari Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) termasuk seekor anjing pengesan yang bernama Ben dan dikendalikan oleh Sjn Chandran Gaing.

Ketika dalam penerbangan menuju ke kawasan operasi, kesemua anggota terbabit melayan perasaan masing-masing dan tidak berbual diantara satu dengan yang lain kerana telah tersemat difikiran mereka untuk menghapuskan komunis yang membuat huru hara serta menimbulkan banyak kesengsaraan kepada penduduk setempat. Bagi mereka, keselamatan serta keamanan negara perlu diberi keutamaan. Setibanya di kawasan pendaratan yang ditetapkan berhampiran sebuah bukit, kesemua anggota skuadron tersebut terjun dari helikopter dengan kaedah teknik abseiling pada ketinggian kira-kira enam meter.

“Apa yang mencabar semasa Op Gonzales adalah kesemua anggota dalam skuadron ketika itu perlu bersiap sedia untuk diturunkan melalui helikopter  ke tempat operasi kerana komunis ketika itu menggunakan taktik hit and run”, jelas Md Ali.  Sejurus tiba di lokasi, beliau dan empat lagi rakannya diarah untuk terjun lebih awal dari helikopter bagi memastikan kawasan itu selamat sebelum helikopter menurunkan semua anggota yang lain.

“Baru beberapa anggota turun, kami terdengar bunyi tembakan. Terdetik di hati saya bahawa musuh sedang menanti kami,” katanya.  Apabila tiba giliran Tpr Md Ali Ahmad untuk turun, beliau terus bergegas terjun dari pesawat untuk mencari tempat perlindungan tanpa menggunakan tali yang disediakan. Beliau tercari-cari kawasan musuh yang sedang bersembunyi tetapi hampa kerana gagal menemuinya.

“Kami langsung tidak dapat mencari di mana arah bunyi tembakan yang dilepaskan. Selepas helikopter berlalu pergi, kami tidak lagi mendengar sebarang bunyi tembakan. Dan pada waktu itu, musuh telah berlari untuk mencari perlindungan dan kami pun mengatur strategi bagaimana untuk memburu mereka,” ujarnya lagi.  Selepas yakin bahawa musuh telah tiada, seorang demi seorang bangun untuk meninjau kawasan sekeliling, baru beberapa langkah bergerak tiba-tiba mereka dikejutkan oleh suara rakan yang menjerit. “Jerangkap samar! Jerangkap samar!”

Anggota tersebut ternampak beberapa wayar merintang di sekitar kawasan tersebut dan selepas diteliti rupanya ia tidak disambung ke mana-mana jerangkap samar, sebaliknya hanya helah musuh untuk menakutkan mereka yang diketahui akan mendarat disitu. Tidak lama selepas mendarat, mereka dimaklumkan pengganas komunis yang diburu telah bertempur dengan satu satu pasukan ronda dari Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) pada satu lokasi 15 kilometer dari kedudukan pasukan Md Ali.

Keesokannya ketika fajar telah menyinsing, Terup No 9 bersama anjing pengesan Ben meneruskan penjejakan dan kemudiannya bercantum dengan satu platun dari 5 RAMD. Selepas makan tengahari mereka mula melancarkan gerakan dengan didahului oleh Ben. Sepanjang perjalanan banyak jerangkap samar yang ditemui dan sebahagian daripadanya tidak dipasang dengan teliti mungkin kerana kesuntukan masa. Selepas melepasi kawasan jerangkap samar, mereka menemui banyak jejak-jejak musuh termasuk lorong yang dilalui oleh musuh yang dipercayai seramai 25 hingga 30 orang.

Lewat petang itu mereka akhirnya sampai ke satu kawasan kaki bukit yang mempunyai dua lorong dan disebabkan itu Lt M Zainal Abidin Husein memecahkan terup kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diketuainya sendiri manakala satu lagi diketuai oleh Lt M M. Anuwa Mohamad Daud.

Md Ali menyertai kumpulan Lt M Zainal Abidin Husein yang akan melalui satu kawasan lereng bukit manakala kumpulan satu lagi bergerak terus mengikuti permatang dan mereka dijangka berjumpa semula di atas bukit untuk bermalam. Pergerakan kumpulan Lt M Zainal Abidin Husein didahului oleh seorang anggota Orang Asli yang bernama Pbt Mat Amin. Setelah melalui lorong tinggalan musuh buat beberapa ketika mereka akhirnya sampai ke satu anak air.

Ketika Tpr Md Ali melangkah untuk melintasi kawasan tersebut, tiba-tiba mereka dihujani tembakan dari atas bukit sebelah kanan dan salah satu tembakan musuh telah mengenai Pbt Mat Amin. “Masa tu apa yang saya tahu kami telah memasuki kawasan serang hendap musuh dan jika lambat bertindak pasti kami semua akan mati,” ujarnya lagi. Sewaktu sibuk mencari tempat berlindung, entah bagaimana Lt M Zainal Abidin Husein telah cedera selepas lututnya terhentak batu dan mengakibatkannya sukar untuk bergerak. Selepas membantu ketua terup mencari tempat berlindung, Tpr Md Ali dengan berani bergerak ke depan sambil melepaskan tembakan senjata M16 ke arah kedudukan musuh dengan dibantu oleh rakan-rakan yang lain

Dalam keadaan cemas itu, tiba-tiba kedengaran Ben melolong akibat terkena dua das tembakan pengganas dan akhirnya mati dalam dakapan Sjn Chandan. Hati Tpr Md Ali semakin geram, berbekalkan pengalaman bertempur di Sibu, Sarawak setahun sebelum itu beliau terus mara ke atas bukit dengan lebih pantas tanpa menghiraukan tembakan musuh ke arahnya. Tpr Md Ali memanjat tebing curam seorang diri untuk memastikan beliau berjaya di atas bukit untuk membolehkannya melihat musuh dengan lebih jelas.

“Sewaktu itulah saya terserempak seorang musuh yang hendak melemparkan bom tangan ke arah rakan saya, jaraknya hanya tiga meter di depan saya. Melihat itu, saya terus melepaskan tembakan semburan dari senjata saya dan tepat mengenai kepalanya,” terang beliau lagi. Sebelum itu ada musuh yang melemparkan beberapa butir bom tangan tetapi yang anehnya semua tidak meletup.

Selepas musuh pertama berjaya ditumpaskan, Tpr Md Ali terus mara dan ternampak lagi seorang musuh lalu ditembaknya. “Musuh itu akhirnya mati juga selepas ditembak oleh saya dan beberapa rakan yang lain,” katanya.  Melihat dua rakan mereka telah mati, ketua musuh mengarahkan pasukan mereka berundur dan ketika itu juga, salah seorang daripada mereka telah bertembung dengan kumpulan Lt M M. Anuwa Mohamad Daud.

Md Ali Ahmad segak dengan seragam GGK

Dalam keadaan kelam-kabut itu, Tpr Abu Kasim telah cedera terkena sedas tembakan musuh. “Kemudian musuh didapati berlari menuju ke arah satu lereng curam dan terjun ke satu kawasan gaung untuk menyelamatkan diri. Saya dengar banyak bunyi benda terhempas, tak tahulah sama ada musuh terjatuh atau barang yang terhempas,” kata Tpr Md Ali lagi.

Biarpun begitu, seksyen yang diketahui oleh Sjn Rahmat Suratman sempat menembak ke arah dua orang musuh sehingga cedera sebelum mereka hilang di celah-celah pokok di dalam gaung. Sewaktu penggeledahan dilakukan, mereka kemudiannya menemui 20 beg galas musuh berisi pakaian, ubat-ubatan dan makanan serta dua laras senjata iaitu sepucuk senjata automatik Thompson Submachine Gun 45 model 1928 dengan tiga kelopak dan 65 butir peluru serta sepucuk Sten Gun bersama dua kelopak. Turut dijumpai 161 butir peluru 9 mm dan 30 butir peluru point 22, beberapa butir bom tangan serta tiga mayat musuh.

Pada malam itu, anggota terup terpaksa bermalam bersama mayat musuh sebelum manyambung tugas penjejakan selama seminggu disitu mulai esoknya. Namun, musuh gagal juga ditemui dan sekembalinya anggota terup ke Kem Tambun mereka disambut oleh Pegawai Memerintah RGK semasa itu, Lt Kol Borhan Ahmad.

“Dua perkara yang tidak boleh saya lupakan sehingga hari ini adalah kata-kata penghargaan daripada Lt Kol Borhan Ahmad dimana beliau menyatakan bahawa saya adalah hero beliau kerana berjaya menewaskan musuh selepas diserang hendap. Selain itu, saya tidak lalu makan selama seminggu selepas asyik terbayangkan rupa dan bau hanyir otak musuh yang berkecai selepas ditembak,” ujar beliau sambil mengimbau kembali nostalgia yang tidak akan dilupakannya.

[divider style=”solid” top=”20″ bottom=”20″]

[box type=”info” align=”” class=”” width=””]

Md Ali Ahmad menerima pingat PGB dari Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada tanggal 5 Jun 1974

SSjn (B) Md Ali Ahmad dilahirkan pada 23 Jan 1951, di Kg Serkam, Merlimau Melaka. Beliau memasuki Angkatan Tentera Malaysia pada 27 Jun 1970 ketika berusia 19 tahun dan unit asal beliau ketika itu adalah Artileri tetapi disebabkan tertarik dengan nama elit komando beliau membuat permohonan lalu menyertainya pada tahun 1972. Beliau ditempatkan dalam Skuadron Z, Regimen Gerak Khas (RGK) dan ditugaskan sebagai pasukan simpanan naungan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dan ditempatkan di Kem Tambun, Ipoh Perak Beliau dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada tanggal 5 Jun 1974 selepas dua bulan pertempuran Op Gonzales. Apa yang membanggakan adalah penganugerahan ini menjadikan beliau anggota komando termuda yang menerima pingat PGB ketika usianya 23 tahun. Tiga tahun selepas itu beliau bertukar ke Cawangan Penyiasatan Khas, Kor Polis Tentera sehinggalah menamatkan perkhidmatan dengan pangkat terakhir beliau SSjn pada tahun 1991. SSjn Md Ali Ahmad mendirikan rumah tangga bersama Rohaya Mohd Shah pada tahun 1977 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan dan tiga cahaya mata lelaki. Beliau yang merupakan anak jati Merlimau, Melaka meneruskan kehidupan dengan melakukan kerja-kerja kampung di usianya 67 tahun. Mata sebelah kiri beliau telah buta akibat kemalangan jalan raya. [/box]

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close