KebajikanMINDEFSemasa

SASaR Bantu Ringankan Beban Anggota Tentera

KUALA LUMPUR: Seramai 2,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Veteran ATM dan warga awam MinDef sekitar Lembah Klang hadir dalam Majlis Perasmian Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR), SATRIA Residensi yang dirasmikan oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein di Sungai Besi pada 11 Apr 2018.

Program SASaR ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada kuarters perumahan dan menggalakkan anggota tentera untuk memiliki rumah persendirian yang mana di bawah program ini pembinaan lebih 3,500 unit rumah mampu milik khusus untuk anggota, veteran ATM, warga awam MINDEF dan ahli keluarga mereka telah bermula tahun ini.

Selepas gimik perasmian, majlis diteruskan dengan penyampaian rumah SASaR secara percuma kepada anggota terpilih yang telah memenuhi ciri-ciri dan kriteria telah diberikan kepada wakil dari Tentera Darat iaitu Sjn Abdul Raset Maritus, wakil dari Tentera Laut Diraja Malaysia, Laskar Kanan Komunikasi Siti Zura Azawanie Abdullah serta wakil dari Tentera Udara Diraja Malaysia, Nor Fatimah Ibrahim yang merupakan balu kepada allahyarham Kapt Mansor Mahnul TUDM.

“Adalah tidak adil dan tidak wajar sekiranya, setelah mereka berkorban nyawa dan tenaga untuk membela negara ini dan kedaulatannya, kehidupan mereka serta keluarga kita biarkan dalam keadaan yang tidak selesa dan sempurna.

Dan di atas itu jugalah, saya berkeras bahawa agenda SASaR ini mesti kita laksanakan dan kita mesti cari jalan untuk menjayakannya dan tidak boleh ada alasan serta tidak boleh ada kompromi”, tegas MENHAN.

Tambahnya lagi, sekalipun program SASaR ini berskala besar, ia hanyalah sebahagian dari keseluruhan agenda perumahan MinDef serta pelbagai lagi inisiatif akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek perumahan khusus untuk warga MinDef dan ATM akan diberi perhatian yang menyeluruh.

Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Hj Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Dr. Loga Bala Mohan, Ketua Setiausaha Menteri Pertahanan, Dato’ sri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor serta Panglima-Panglima Perkhidmatan.

Gambar: Saifun Hakimi Zainon

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close