Bersama PemimpinPenghargaanSemasa

Perbarisan Penghargaan Brig Jen Hussein Mud

JOHOR: Seramai 15 pegawai dan 209 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) diketuai Lt Kol Mohamad Ali terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Brig Jen Hussein Mud di Padang Kawad Institut Kejuruteraan Medan Tentera Darat (IKEM) pada 8 Mac 2018.

Sebaik ketibaan, Brig Jen Hussien Mud  menerima tabik hormat terakhir dari kontinjen perbarisan yang terdiri dari empat detasmen bertujuan sebagai tanda penghormatan menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh beliau selama 39 tahun berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya.

Dalam ucapannya, beliau berbangga di atas persembahan perbarisan yang mantap dan segak serta mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Panglima Tentera Darat (PTD), Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi yang sudi hadir dalam perbarisan penghargaan tersebut.

“Saya akan menamatkan perkhidmatan pada 10 Mac 2018  setelah berkhidmat selama 39 tahun dua bulan enam hari di dalam TD khususnya RAJD dan kerjaya saya bermula pada 12 Mac 1975 apabila mula menjejak kaki ke Cawangan Putera Maktab Tentera Diraja lalu menjalani latihan Pegawai Kadet di Royal Military College Duntroon, Canberra Australia serta ditauliahkan sebagai Pegawai Tauliah Jangka Tetap pada 2 Apr 1981.

“Manakala satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan sepanjang perkhidmatan ialah peristiwa anggota RAJD mengamuk dan melepaskan tembakan dengan peluru hidup di 92 Skn RAJD pada tahun 1983 di mana ketika itu saya berpangkat Lt serta masih bujang namun syukurlah anggota tersebut dapat ditenangkan dan menyerah diri setelah dipujuk,” katanya.

Tambahnya lagi beliau mengingatkan seluruh warga RAJD agar terus menjaga kesepaduan kerana warga yang bersatu akan mengekalkan kelangsungan dalam melaksanakan peranannya dengan lebih efektif dan efisien serta menyeru agar sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan sekarang sebagai satu angkatan dengan berpaksikan semangat setiakawan, saling bergandingan dan saling bertanggungjawab.

Dalam pada itu, TPTD turut memberikan ucapan balas dengan mengatakan beliau berbangga dan berterima kasih kepada Brig Jen Hussein Mud bagi pihak TD di atas perkhidmatan, jasa, bakti dan pengorbanan yang telah dicurahkan tanpa berbelah bahagi dan ini merupakan satu kehilangan yang tidak mungkin dapat diganti kerana pegawai kanan yang berkarakter seperti beliau sukar dicari ganti.

“Bagi pihak TD, jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh beliau amatlah besar dan sesungguhnya persaraan beliau ini merupakan satu kehilangan yang tiada gantinya di mana  pelbagai rintangan suka, duka dan dugaan serta cabaran ditempuhi sepanjang 39 tahun perkhidmatannya sehingga pencapaian tertinggi beliau adalah sebagai Timbalan Ketua Jurutera,” jelas TPTD.

Mengimbas keperibadian Brig Jen Hussien Mud, beliau dilahirkan pada tanggal 11 Mac 1958 di Simunjan Sarawak dan mula menyertai tentera pada 5 Jan 1979 selepas menamatkan pelajaran di Maktab Tentera Diraja lalu menjalani latihan Pegawai Kadet dan ditauliahkan ke dalam Kor RAJD serta mendirikan rumahtangga dengan Siti Junaidah Ali dan mempunyai lima cahayamata.

Majlis diakhiri dengan acara simbolik iaitu street lining bagi memberi penghargaan dan penghormatan terakhir kepada Brig Jen Hussein Mud yang ditarik oleh pegawai -pegawai dan anggota LLP RAJD bermula dari Dewan Ibrahim hingga ke Balai Pengawal IKEM.

Turut hadir, Pengerusi Kor RAJD, Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Abdul Nasser Ahmad, Panglima 7 Bgd, Brig Jen Dato’ Mohd Hassan Loman, Pemangku Ketua Jurutera, Brig Jen Ho Hin Chai,  dan Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Brig Jen Hj Ahmad Nasir Hj Abdul Rahman.

Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close