Semasa

HUT TD Ke-85 Peringkat 9 Bgd

SARAWAK: Seramai 40 pegawai serta 335 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pasukan-pasukan di bawah naungan 9 Bgd terlibat dalam Perbarisan Sempena Hari Ulang Tahun (HUT) Tentera Darat (TD) Ke-85 disempurnakan oleh Panglima 9 Bgd, Brig Jen Dato’ Dzulkafli Hj Mustaffa bertempat di Padang Kawad 3 Rejimen Renjer DiRaja (3 RRD), Kem Oya pada 1 Mac 2018.

Perbarisan diketuai oleh Pegawai Memerintah 3 RRD, Lt Kol Abdul Razak Hashim dengan sambutan pada kali ini berpandukan kepada lima teras yang berlandaskan kepada konsep Tentera Darat Satu, Kerana Bersatu.

Dalam ucapan PTD yang diwakili oleh Panglima 9 Bgd, beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong dan menghulurkan kerjasama kepada Tentera Darat Malaysia.

Beliau juga turut mengingatkan tentang pengorbanan dan perjuangan mereka-mereka yang terdahulu untuk mendapatkan keamanan serta kemakmuran yang dikecapi pada hari ini.

Acara pemakaian pangkat kepada 11 orang anggota juga turut berlangsung semasa perbarisan dan diakhiri dengan jamuan ringan dan acara pemotongan kek sebagai simbolik sempena sambutan HUT TD yang ke-85.

Turut diadakan program Civic Action Programme (CAP) bersempena dengan hari ulang tahun Tentera Darat yang ke-85 yang diadakan di perkarangan Dewan Oya 3 RRD.

Antara aktiviti yang telah diadakan ialah pameran-pameran ketenteraan seperti pameran RTBK daripada pasukan 9 Komp Angkut KPD, Pameran Kenderaan Tentera daripada pasukan 9 Wksp Bgd, Pameran Senjata daripada pasukan 3 RRD, Pameran Statik Peluru dan Bahan Letupan daripada pasukan 9 KOD, Pameran Polis Tentera daripada pasukan 9 KPTD dan juga perkhidmatan Pemeriksaan Kesihatan dan rawatan Pergigian daripada pasukan 803 RSAT dan 624 PGAT.

Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran veteran, BAKAT 9 Bgd, guru-guru dan murid-murid daripada Sekolah Batu 15 dan Tadika Kemas Kem Oya.

Turut hadir Ketua Staf Markas 9 Bgd, Lt Kol Jauhari Talib, ahli BAKAT 9 Bgd, Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak dan Pegawai-pegawai pemerintah di bawah naugan 9 Bgd.

Gambar: Sjn Donny

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close