HUTSemasa

55 Tahun 4 Bgd Mekanize Gah Bersama TD

PAHANG: Seramai 21 pegawai dan 254 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) serta 28 buah kenderaan jenis A terlibat dalam Perbarisan Hari Ulang Tahun 4 Bgd (Mek) Ke-55 di ketuai Lt Kol Muhamad Shamsi  Abdul Latip di Padang Kawad Rejimen Pertama Kor Armor Diraja pada 15 Mac 2018.

Sejurus ketibaan Panglima 4 Bgd Mek, Brig Jen Dato’ Md Din Hj Abu, beliau menerima tabik hormat  dari kontinjen perbarisan yang terdiri dari enam detasmen lalu menaiki kenderaan ACV Adnan bagi memeriksa perbarisan diiringi Pancaragam Gabungan Platun Tambor Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mek).

Dalam ucapan Panglima 4 Bgd, beliau menyeru semua warganya agar meningkatkan tahap kesiagaan yang tinggi bagi menghadapi cabaran penugasan operasi yang memerlukan anggota dan aset di tahap terbaik kerana aset Bgd Mek terus mendapat kepercayaan pemerintah atasan TD.

“Bagi mencapai semangat kesepaduan di kalangan warga TD, saya mahukan seluruh warga Mek sentiasa mempamerkan semangat bersatu kukuh, berpegang teguh kepada nilai-nilai ketenteraan yang berteraskan elemen kesetiaan, kepatuhan, semangat setiakawan dan espirit de corp di mana ianya dapat meningkatkan imej 4 Bgd (Mek),” ujar beliau.

Selain itu beliau juga mahukan warganya mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi dan perlulah mengekalkan imej anggota tentera yang terlatih dan mahir serta tidak melibatkan salah laku yang boleh mencemarkan nama baik 4 Bgd (Mek) bagi mengekalkan kepercayaan rakyat kepada warga tentera.

Menyusuri sejarah ringkas 4 Bgd (Mek) ianya mula ditubuhkan pada 1 Mac 1963 di Fort Canning, Singapura sebagai Bgd Infantri Standard lalu pada tahun 1965 telah dipindahkan ke Kem Bentong bagi menangani ancaman komunis dan berlakulah beberapa kali perpindahan hinggakan yang terakhir pada tahun 1973 di pindahkan ke Kem Batu 10 Kuantan hinggalah sekarang.

Pada tahun 1994, 4 Bgd distrukturkan semula dari Bgd Infantri Standard ke Bgd Infantri Mekanize dan telah menerima pelbagai Kenderaan Jenis A antaranya seperti V150 Commando, Sibmas, ACV Adnan dan yang terkini 8 Kali 8 Gempita.

Terdahulu acara diteruskan dengan perbarisan berjalan lalu berkenderaan Jenis A dan Penyampaian Sijil Penghargaan Anugerah Kesiagaan PAT/APITD Tahun 2017 kepada pasukan di bawah naungan Briged Keempat Infantri Malaysia Mekanize.

Turut hadir Ketua Polis Pahang, Komisioner Polis Dato’ Sri Rosli Ab Rahman, Komander Pangkalan Udara Kuantan, Kol Wan Amin Hafiz Wan Mahmud TUDM, Ketua Staf AM MK 4 Bgd (Mek), Lt Kol Muhamad Juraimy Aripin, Ketua Staf Tadbir MK 4 Bgd (Mek), Lt Kol Abdullah Ali dan warga 4 Bgd (Mek).

Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close