LatihanSemasa

Trup TD 1 Johan Keseluruhan UKMHK TD 2018

KUALA LUMPUR: Trup Tentera Darat 1 dinobatkan sebagai Johan Formasi Keseluruhan Terbaik dalam Majlis Penutup Ujian Kemahiran Merentas Halangan dan Kawad Tentera Darat 2018 (UKMHK TD) yang diadakan di Kem Perdana Sungai Besi selama lima hari bermula  dari 19 hingga 23 Feb 2018.

Majlis penutup disempurnakan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim di Lapang Sasar B melibatkan peserta dari kesemua formasi dalam TD yang mana ianya merupakan ujian tahunan yang dipertandingkan meliputi empat kategori iaitu Pasukan Tempur, Pasukan Bantuan Tempur, Pasukan Bantuan Perkhidmatan dan Pasukan Wanita.

Bagi Kategori Tempur, Johan dimenangi oleh MK 1 Div, manakala Johan Kategori Bantuan Tempur dimenangi MK 4 Div, Johan Kategori Pasukan Bantuan Khidmat dimenangi Trup TD 1 dan Johan Kategori Pasukan Wanita dimenangi MK 4 Div.

Ketua Platun Terbaik Lelaki dianugerahkan kepada Lt M Wan Anas Wafy Wan Abdullah dari MK 1 Div manakala Ketua Platun Terbaik Wanita dianugerahkan kepada Kapt Norfaizah Hairi dari MK 4 Div.

Dalam ucapan penutup PTD, beliau melihat semangat juang yang luar biasa dan ikatan setia kawan yang tinggi telah dipamerkan oleh semua peserta demi memberikan yang terbaik untuk formasi yang diwakili dan lebih manis lagi edisi kali ini merupakan edisi kedua pertandingan yang turut disertai oleh anggota wanita TD.

“Ujian Kemahiran Merentas Halangan dan Kawad ini merupakan satu sukan lasak kegemaran saya kerana mempunyai ciri-ciri kriteria yang tersendiri di mana pertandingan ini menuntut daya usaha serta kewibawaan yang tinggi sama ada dari kalangan peserta itu sendiri mahupun di pihak pengurusannya.

Saya yakin dengan hanya berbekalkan kekuatan fizikal semata-mata, kejayaan sukar untuk dijulang, justeru itu pertandingan ini dengan sendirinya mewujudkan peluang kepada setiap lapisan pemerintah untuk membuktikan keunggulan dan kebijaksanaan masing-masing melalui satu penilaian yang saksama,” tegas PTD.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Ketua Staf Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharuddin dan panglima-panglima formasi.

Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali

[srizonfbalbum id=159]

 

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close