MK Latihan & DoktrinSemasa
Trending

Perajurit Muda Legasi Pewaris TD

NEGERI SEMBILAN: “Berbekalkan komitmen, kesabaran, usaha gigih dan semangat juang yang tinggi selama enam bulan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat ini, impian saudara-saudara untuk menjadi seorang anggota Tentera Darat Malaysia telah menjadi realiti dan ini dapat dilihat menerusi satu perbarisan yang segak, kemas serta penuh berdisiplin yang menjadi bukti kepada keberkesanan latihan yang diterima,” kata Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim semasa ucapan beliau dalam Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 184/17 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas TD (PUSASDA), Bandar Tentera Darat pada 10 Feb 2018.

Seramai 1697 Perajurit Muda (PM) berjaya menamatkan latihan pada kali ini yang mana mereka telah menjalani latihan selama enam bulan bermula dari 6 Ogos 2017 lalu dan latihan yang dilaksanakan adalah untuk melatih dan melengkapkan PM dengan keperibadian ketenteraan, pengetahuan asas ketenteraan, pembinaan kekuatan dan ketahanan fizikal serta mental sebelum di serap ke pelbagai kor dalam TD.

Pada masa sama latihan yang dijalani termasuklah pembinaan karakter, pengetahuan am ketenteraan, latihan jasmani, pengendalian senjata, kemahiran perang dan pengukuhan aspek kerohanian bagi melahirkan PM yang mempunyai keyakinan diri, terampil, displin dan kompeten.

Terdahulu ketibaan PTD disambut oleh Timbalan PTD, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi bersama Komandan PUSASDA, Kol Khairul Azmizal Ahmad Natal lalu menerima tabik hormat dari kontijen perbarisan diketuai PM Muhammad Shafiq Romli  yang juga merupakan PM Keseluruhan Terbaik.

Selain itu dalam ucapan PTD beliau mahukan PM menambah beberapa elemen-elemen kepahlawanan seperti kesepaduan, perjuangan, kesetiaan, integriti dan tanggungjawab harus ada dalam diri PM agar menjadi pewaris legasi TD yang terus digeruni dan dihormati di mata masyarakat serta sentiasa peka kepada perkembangan yang berlaku berkaitan organisasi yang diceburi ini.

Perbarisan diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada PM yang meliputi beberapa kategori dimana PM Akedemik Terbaik diberikan kepada PM Muhammad Fazwan Hussin, PM Kawad Terbaik, PM Muhammad Aizuddin Aziz manakala PM Kecergasan Terbaik ialah PM Shahrul Nizam Maharup dan PM Penembak Terbaik di berikan kepada PM Nickole Maluna@Meluna.

Mengimbas sejarah PUSASDA, hasrat untuk menubuhkan satu pasukan pertahanan terdiri dari anak-anak Melayu bermula sejak tahun 1902  dan pada tanggal 23 Jan 1933 Persidangan Majlis Mesyuarat Persekutuan telah meluluskan Rang Undang-Undang Askar Melayu dan satu Kompeni Percubaan terdiri dari 25 anak watan telah memulakan latihan asas ketenteraan pada 1 Mac 1933 di Haig Lines Batu 5 Port Dickson.

Kini sejajar dengan perkembangan negara yang makin pesat membangun PUSASDA tidak ketinggalan dengan arus pembangunan negara yang mana pelbagai konsep dan pelaksanaan latihan diubah agar objektif latihan dapat dicapai dan legasi pewaris yang dilahirkan memenuhi kehendak TD kini.

Turut hadir Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima Medan Timur TD, Lt Jen Dato’ Wira Mohd Zaki Hj Mokhtar dan Panglima Latihan TD, Mej Jen Dato’ Wira Md Tajri Alwi.

Gambar: PW Mohd Shahril Mat Ali dan Saifun Hakimi Zainon

 

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close