2 DivKebajikanSemasaVeteran

Pendidikan Anak Anggota Dan Veteran ATM Terjaga

PERAK: Seramai 3000 anggota terdiri dari veteran dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hadir dalam Majlis Ramah Mesra MENHAN Bersama Veteran dan Warga ATM serta Lawatan Kerja ke tapak cadangan Hospital Veteran di Padang Kawad Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) pada 2 Feb 2018.

Terdahulu ketibaan Menteri Pertahanan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein di kem tersebut disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed  bersama Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim lalu MENHAN di perdengarkan taklimat berkenaan Hospital Veteran di Bilik Gerakan Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD).

Sejurus itu, beliau di bawa melawat ke tapak cadangan pembinaan Hospital Veteran ATM dan kemudiannya berjumpa serta bermesra bersama veteran dan warga ATM lalu menyampaikan amanat beliau.

Dalam ucapannya, beliau menitik beratkan hal-hal kebajikan anggota tentera berpandukan kepada Teras Kementerian Pertahanan yang mana salah satu perkara kebajikan yang diutamakan ialah keprihatinan kerajaan membela nasib dan kebajikan warga tentera khususnya dalam bidang pendidikan.

“Ini janji serta ikrar dan komitmen saya kepada anggota serta keluarga anda semua yang mana Pelan Tindakan Agenda Pendidikan Hala Tuju 2018-2022 merupakan  pelan tindakan yang dirangka sejak awal tahun lalu dan menjadi antara inisiatif utama untuk digerakkan di bawah Teras Kebajikan Kementerian Pertahanan yang dikelolakan Pasukan Khas Pendidikan.

Tambahnya lagi dengan adanya pelan yang dilancarkan itu, sedikit sebanyak dapat membantu  proses pembelajaran anak tentera dan veteran sentiasa terpelihara serta dijaga persekitarannya supaya anggota tentera dapat menumpukan tanggungjawab tanpa perlu bimbang persekolahan anak masing-masing.

Selain itu pelan pendidikan ini merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada warga dan veteran ATM untuk meningkatkan perkhidmatan pendidikan melalui inisiatif kebajikan pendidikan dan menaik taraf kemudahan prasarana pendidikan yang mana bagi mengiktiraf dan menghargai anggota dan veteran ATM akan diberi tajaan biasiswa kepada anak-anak mereka yang cemerlang bagi melanjutkan pelajaran ke IPTA.

Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

 

Gambar: Saifun Hakimi Zainon

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close