Bersama PemimpinKebajikanMINDEFSemasa

Perkasa Perwira Identiti Perancangan Kebajikan MinDef

KUALA LUMPUR: Seramai 1600 hadirin hadir dalam Majlis Pelancaran Logo Perkasa Perwira terdiri dari anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Veteran ATM, Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan kakitangan awam MinDef yang dirasmikan oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada 15 Feb 2018.

Terdahulu ketibaan MENHAN disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Seri Abdul Rahim Mohd Radzi lalu dibawa masuk ke dewan.

Perkasa Perwira merupakan pusat sehenti bagi warga ATM yang ditubuhkan berdasarkan aspirasi negara untuk memperkasa setiap tentera, bekas anggota, dan keluarga dengan segala kemudahan serta faedah yang dinikmati oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Dalam ucapan MENHAN, beliau dan kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM telah memutuskan agar satu identiti diwujudkan bagi memastikan segala perancangan di Kementerian Pertahanan dan ATM mencapai objektif yang disasarkan.

“Identiti ini dinamakan Perkasa Perwira dan secara ringkasnya, perkataan Perkasa melambangkan usaha memperkukuh dan menambah baik manakala perkataan Perwira pula melambangkan pahlawan dan pejuang yang terdiri daripada warga ATM, veteran ATM serta warga awam Kementerian Pertahanan.

“Oleh demikian Perkasa Perwira membawa maksud pengukuhan kepada warga ATM dan Kementerian Pertahanan,” jelas MENHAN.

Tambahnya lagi inisiatif Perkasa Perwira ini merupakan inisiatif turun padang ke seluruh negara yang dilaksanakan dengan bersandarkan dua objektif utama.

Objektif pertama, bagi membolehkan MENHAN dan kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM memantau setiap projek, inisiatif dan program yang telah dirancang agar ia dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh oleh pihak yang telah diberikan amanah dan tanggungjawab.

Manakala objektif kedua, membolehkan MENHAN dan kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM berinteraksi hingga ke akar umbi agar segala perancangan yang dilaksanakan dapat dirasai, dihargai dan disokong oleh golongan sasar.

PTD bersama PAT dan MENHAN bergambar kenangan bersama anggota PLKN.

Di samping itu dari segi peluang pekerjaan, pendidikan, sara hidup mahupun kemudahan pembiayaan, adalah misi organisasi ini untuk memperkasa para perwira tanah air dan keluarga yang senantiasa berkorban jiwa dan raga mahupun nyawa demi menjaga kedaulatan dan keselamatan setiap rakyat Malaysia.

Misi dan visi Perkasa Perwira ialah memperkasa warga ATM dengan pelaksanaan teras kebajikan di bawah hala tuju MINDEF 2017 dan memperkukuh pertahanan negara dengan pemerkasaan kebajikan warga ATM.

Majlis diteruskan dengan upacara menekan button sebagai simbolik Pelancaran Logo Perkasa Perwira serta gimik pelancaran dari atlet Persatuan Bina Badan ATM.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Affendi Hj Buang.

Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close