MINDEFSemasa

Mej Mohammad Jafizul Mohammad Jafferi Penuntut Terbaik Keseluruhan KPSM Siri 46/2017

KUALA LUMPUR: Seramai 163 penuntut kursus terdiri daripada pegawai dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga pegawai tentera luar negara terlibat dalam Majlis Penyampaian Diploma Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) Siri 46/2017 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Mohd Johari Baharum di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada 13 Dis 2017.

KPSM yang dilaksanakan selama 49 minggu bermula dari 9 Jan hingga 15 Dis 2017 adalah kursus anjuran Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bertanggungjawab mengkoordinasikan kursus ini setiap tahun kepada pegawai tentera ATM dan negara sahabat yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Malaysia serta pegawai PDRM dan APMM.

Objektif KPSM adalah melatih peserta kursus untuk menjawat jawatan Pemerintahan dan Staf di dalam perkhidmatan bersama, antaranya untuk melahirkan pegawai yang mempunyai keupayaan seperti menganalisa isu-isu penting berkaitan strategi dan pertahanan di peringkat nasional, serantau dan global.

Selain itu, penuntut perlu mentafsir faktor-faktor dan konsep dalam struktur pembangunan ketenteraan dan pengurusan organisasi pertahanan selain melaksanakan tugas sebagai Pegawai Staf dan Pemerintah dalam suasana kebersamaan di peringkat operasi dan strategik pertahanan serta menyelesaikan masalah dan bekerja secara efektif dalam persekitaran yang rumit dan tidak menentu.

Dalam ucapan Timbalan Menteri Pertahanan, beliau berkata kursus yang telah saudara saudari ikuti di kolej ini telah melengkapkan diri dengan kemahiran analitikal, kemahiran merancang dan kemahiran komunikasi yang diperlukan sebagai anjakan paradigma daripada pemikiran ketenteraan di aras taktikal ke aras operasi dan saudara saudari telah mengasimilasikan pengetahuan yang amat berguna dalam persekitaran keselamatan pelbagai dimensi masa kini.

Jaringan persahabatan yang terbentuk antara penuntut dalam dan luar negara akan memudahkan kerjasama profesional diperingkat strategik.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan kepada peserta terbaik kursus keseluruhan untuk penuntut dari TD, Mej Mohammad Jafizul Mohammad Jafferi memperoleh Anugerah UPNM (Modul Kajian Polisi dan Strategi), Anugerah Haigate (Modul Ketenteraan) dan Anugerah Lembaga MTAT manakala untuk peserta luar negara di anugerahkan kepada Lt Cdr Robert James Mc Caw (New Zealand) yang memperoleh Anugerah Komandan (Kertas Akademik), Anugerah Haigate dan Anugerah Lembaga MTAT.

Turut hadir, PAT, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi, PTD, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, PTL, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin, PTU, Jen Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan KS ATM, Lt Jen Dato’ Abdul Halim Hj Jalal.

Gambar: Sjn Gunantharan a/l Baskaran

Access Token not set. You can generate Access Tokens for your Page or Profile on fb.srizon.com. After generating the access token, insert it on the backend
Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close