3 DivSemasa

Eks Guruh Gempur/Ribut Api Uji Kesiagaan Pemerintahan Arti Div 3 Div

NEGERI SEMBILAN: Seramai 85 pegawai dan 732 Lain-Lain Pangkat (LLP) dari rejimen-rejimen di bawah Pemerintahan Artileri Divisyen, Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) telah terlibat di dalam Eksesais Guruh Gempur/Ribut Api Siri 1/2017 yang dilaksanakan di sekitar Kawasan Am Gemas hingga Muadzam Shah dan di kawasan am Lapang Sasar Gemas mulai 13 hingga 22 Nov 2017.

Pembukaan eksesais yang telah dirasmikan oleh Komander Artileri Divisyen 3 Div, Brig Jen Dato’ Nordin Hj Salleh bertujuan untuk mengukur tahap kesiagaan rejimen-rejimen artileri di bawah Pemerintahan Artileri Divisyen 3 Div selaku ketumbukan Bantuan Tempur di dalam formasi 3 Div. Latihan ini dilaksanakan selaras dengan latihan tembakan peluru hidup (live firing) kursus Ketua Bateri Siri 1/2017 Pusat Latihan Artileri (PUSARTI), iaitu Eks RIBUT API Siri 1/2017 yang merupakan latihan medan peringkat akhir bagi penuntut-penuntut kursus.

Latihan yang telah digabungkan ini berkonsepkan senario peperangan fasa defensif dan ofensif di dalam Operasi Gabungan Divisyen yang dijalankan melalui tiga fasa latihan iaitu latihan peringkat staf atau staff exercise (STAFFEX), aturgerak elemen-elemen Kumpulan Pemerintah Rejimen/Bateri (Skeleton Exercise) dan latihan tembakan peluru hidup melibatkan tembakan meriam 105 mm PH L5, 155 mm G5 dan 81 mm mortar.

Pemerintahan Arti Div 3 Div telah dibantu oleh aset dari formasi 3 Div iaitu Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (15 RAMD) melibatkan aset 81mm mortar, aset dari Briged Artileri Roket (BAR) iaitu 51 RAD – Sistem Roket Lancar Berganda (SRLB) dan 61 RAD-Bateri Pengesan serta aset dari 1 RAD (Para) telah terlibat secara langsung bagi melaksanakan latihan ini.

Dalam ucapan Komander Artileri Divisyen 3 Div, beliau menyatakan bahawa latihan ini merupakan latihan yang julung kali diadakan di peringkat Artileri Divisyen dan berharap agar semua pegawai dan anggota yang terlibat mengambil kesempatan ini untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan terutamanya dalam aspek ilmu-ilmu kemeriaman (gunnery).

Turut hadir lawatan kawasan latihan adalah Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Panglima 3 Div dan telah diberi taklimat pelaksanaan latihan oleh Lt Kol Ahmad Shukri Idris, Komandan PUSARTI selaku Pengarah Eksesais.

Gambar: Artileri Divisyen 3 Div

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker