PengorbananRencana

Si Tora 12 Komando Pertama RGK

Tentera dianggotai oleh insan-insan biasa. Insan-insan yang memiliki fitrah kemanusiaan, memiliki sifat belas, sifat kasihan, diperlengkap dengan jiwa penyayang, jiwa pengasih, jiwa romantis. Insan biasa ini telah dilatih fiziknya, dicanai mindanya, dibina ketahanannya, serta didedahkan kepada pelbagai senario, diperkenalkan dengan pelbagai senjata, dicabar dengan pelbagai ujian. Mereka melalui proses transformasi fizikal, minda dan spiritual, lalu akhirnya terbina kekuatan, terbina ketahanan, terbina ketabahan, terbina kecekalan, menghasilkan jati diri insan yang bersemangat waja dan berjiwa wira. Mereka dibangunkan dalam dimensi budaya ketenteraan yang mengutamakan disiplin yang menjunjung semangat kesetiaan yang mengamalkan ketaatan ketika melaksana misi. Mereka sedia berpanas, berhujan, mereka sedia bertempur, mereka sedia berperang. Mereka cekal jika perlu menamatkan riwayat insan lain dan pada masa yang sama turut cekal untuk ditumpahkan darahnya atau dicederakan tubuhnya, dikecaikan dagingnya mahupun dikorbankan nyawanya. Setiap keberanian dan segala kerelaan itu, dilakukan bukan untuk keperluan dirinya sendiri, tidak juga untuk kepentingan peribadinya, tetapi dilaksanakan menjunjung arahan, menjunjung perintah, memenuhi tugas demi memenuhi tanggung jawab. Mereka melakukan segalanya untuk membantu memenuhi hasrat untuk membantu mencapai matlamat, mengikut yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang lebih tinggi. Hasrat dan matlamat yang seringkali dan umumnya ditetapkan dari kalangan pimpinan atasan. Di situlah terletak menara ketaatan dan mercu kesetiaan anggota tentera terhadap setiap arahan dan keperluan kepimpinan organisasi dalam setiap operasi yang mereka ceburi.

Mohamad Zakaria Abas ( duduk kiri sekali bersama rakan-rakan sepasukan yang mengikuti Kursus Asas Komando pada tahun 1968)

Begitu jugalah dengan 4861 Allahyarham SSjn Mohd Zakaria Abas, yang merupakan salah seorang daripada 12 orang pengasas Rejimen Gerak Khas Malaysia (RGK). Kelainan yang menjadi identiti Allahyarham atau juga dikenali dengan gelaran Si Tora mahupun Singa Berantai dalam kalangan rakan-rakan sepasukan sewaktu perkhidmatan. Gelaran tersebut telah menjadi sebati disebabkan kerana sikapnya yang bengis dalam menjaga displin serta kawalan kepada anggota bawahannya dalam latihan mahupun operasi. Karier anak penoreh getah yang bersasal dari Kampung Sayong Tebing, Kuala Kangsar Perak ini bermula sebagai rekrut pada 25 Mei 1949. Selepas menamatkan latihan, beliau ditempatkan di Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD). Setelah mula berkhidmat di 4 RAMD, banyak kenangan pahit dan manis yang dialaminya sewaktu melaksanakan operasi di dalam negara mahupun di luar negara. Antaranya Allahyarham bersama seksyennya pernah terperangkap dalam kepungan tentera negara jiran sewaktu konfrantasi di Palaman Mapu, Serian pada tahun 1964 disamping bertempur ketika operasi mengesan dan memburu pengganas komunis. Salah satu kisah pertempuran yang masih diingati oleh rakan-rakan Allahyarham berlaku pada tahun 1950 an di Kampung Lengkong, Jambu Rias, Pahang apabila pasukan yang diketuainya berjaya membunuh seorang musuh yang merupakan anggota kepada Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) Musa Ahmad. Begitu juga pada tahun 1959 Allahyarham serta platunnya telah diarahkan bagi menjejak satu gerombolan pihak musuh yang diketuai oleh Ibrahim Baba di Tampin, Negeri Sembilan. Penjejakan itu berakhir dengan pertempuran di hutan Kuala Krau, Temerloh Pahang. Namun begitu platunnya gagal menemui Ibrahim Baba, tetapi berjaya membunuh seorang pengganas wanita. Pada tahun 1960, Allahyarham dihantar bertugas ke  Republik Congo di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama satu tahun bermula 13 Sep 1960 hingga 13 Jul 1961.

Penglibatan Allahyarham dalam Rejimen Gerak Khas bermula pada tahun 1965. Dimana penubuhan unit ini ketika konfrantasi yang melibatkan Persekutuan Malaysia dan Indonesia. Pada waktu itu, Allahyarham menjadi Platun Sarjan di 4 RAMD di Muar, Johor dengan berpangkat Sarjan. Apabila mengetahui pihak kerajaan melalui Kementerian Pertahanan pada masa itu ingin menubuhkan pasukan khas Allahyarham bersama 22 anggota 4 RAMD terus membuat permohonan untuk mengikuti pemilihan tersebut. Ketika permohonan dibuat, usia Allahyarham telah pun mencecah usia 35 tahun dan mempunyai tiga orang cahaya mata. Walaupun ada yang beranggapan beliau sudah tua namun beliau tetap tekad untuk menyertai pasukan elit tersebut dan tidak lama selepas itu Allahyarham diminta menjalani ujian pemilihan di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur. Memandangkan jumlah yang hadir mencecah 300 orang yang melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan, maka sesi temuduga dan pemilihan telah berlangsung selama empat hari berturut-turut. Untuk berjaya dalam pemilihan ini, Allahyarham perlu menjalani ujian saringan yang ketat dan memeritkan antaranya perlu lulus semua ujian kecergasan, merempuh halangan, berlari, berenang serta ujian ketahanan mental. Daripada 300 anggota yang memohon hanya 15 sahaja yang terpilih mengikuti Kursus Asas Komando selama enam minggu. Pada 25 Feb 1965 Allahyarham di minta untuk melapor diri bagi mengikuti latihan asas komando yang dikendalikan oleh Rejimen ke 40 Komando Marin Diraja British (40th British Royal Marine Commando) di Kem Majidee, Johor Baharu, Johor.

Mohamad Zakaria Abas

Maka bermulalah perjalanan karier Allahyarham sebagai salah seorang pengasas pasukan elit negara. Latihan yang dilaluinya diperingkat awal dikendalikan oleh Mej Bacons dan Kapt Seager begitu mencabar dan memeritkan antaranya latihan terjun maut, iktiar hidup, mendayung dan berenang menyeberangi Selat Tebrau pada waktu malam. Namun begitu tugas Allahyarham sebagai jurulatih di pasukan, sedikit sebanyak memudahkan beliau mengharungi setiap latihan dan lulus dengan cemerlang. Terdapat beberapa kenangan yang masih diingati oleh rakan-rakan Allahyarham sewaktu bersama menjalani latihan. Antara yang masih diingati adalah sewaktu membuat latihan memikul balak yang beratnya lebih 40 kg dan berlari sejauh 1.6 km sambil meredah kawasan lurah, bukit dan belukar serta perlu sampai ke kawasan penamat dalam masa yang ditetapkan dengan kayu balak yang dipikul tidak jatuh. Namun begitu kayu balak yang dipikul oleh kumpulannya terjatuh kira-kira 50 meter dari garisan penamat dan betul-betul dihadapan Ketua Jurulatih Mej Bacon. Dengan wajah bengisnya Mej Bacon telah mengarahkan kumpulan Allahyarham untuk ulang semula latihan itu. Disebabkan geram dan marah dengan arahan yang diberi, tiba-tiba sahaja Allahyarham naik minyak dan memikul balak seorang diri ke tempat permulaan. Mungkin kagum dengan semangat Allahyarham, Mej Bacon akhirnya menyuruh beliau berhenti daripada memikul balak meskipun ketika itu dirinya telah bergerak sejauh berpuluh meter.

Dari kiri, Kpl Zainal, Sjn Mohamad Zakaria Abas, Kapt Goh( Ajutan 4 RAMD dan LKpl Mat Lazim selepas menjadi juara keseluruhan pertandingan menembak antara pasukan tentera negara-negara Timur pada tahun 1956.

Selepas berhempas pulas, akhirnya seramai 12 daripada 15 orang yang melapor diri berjaya menamatkan Kursus Asas Komando termasuk Allahyarham. Bagi melengkapkan kemahiran dalam pasukan dan perkhidmatan beliau telah dihantar menjalani Kursus Jump Master di Batu Djajar, Bandung Indonesia. Sewaktu dalam komando, satu operasi yang tidak dapat dilupakan ialah ketika menjejak seorang komander Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) serta 13 anggotanya di sempadan Serawak-Kalimatan berhampiran Bau. Komander tersebut diketahui sebagai pengganas yang licik apatah lagi beliau pernah mendapat latihan asas di Batu Djajar, Bandung, Indonesia. Selama dua hari penjejakan dilakukan sambil dibantu oleh satu platun Rejimen Renjer Diraja (RRD) akhirnya kem musuh berjaya ditemui namun kesemua anggota pengganas berjaya melarikan diri setelah berjaya menghidu kehadiran pasukan keselamatan. Biarpun masa Allahyarham banyak dihabiskan dalam operasi yang dilakukan namun Allahyarham tetap dianggap istimewa oleh kebanyakan rakan-rakan seperjuangan dan pasukan kerana kecekapannya menembak dengan tepat serta tangkas mengendalikan senjata ringan sehinga diberi julukan Tangan Besi. Kehebatannya menggunakan senjata bukan sekadar di medan pertempuran, tapi turut membantu pasukan menjuarai pelbagai pertandingan menembak termasuk antara pasukan tentera negara-negara Komanwel dan negara-negara timur tengah. Disebabkan itu beliau telah terpilih sebagai salah seorang penembak tepat pasukan dan berkelayakan mengajar dalam bidang tersebut.

Allahyarham 4861 Mohd Zakaria Abas telah bersara dari perkhidmatan pada tahun 1970 dengan pangkat terakhirnya ialah SSjn dan selepas bersara Allahyarham telah ditawarkan berkerja di Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1990 yang mana ketika itu usianya telah mencecah 60 tahun. Pengorbanan beliau akan menjadi sumber ilham kepada anggota-anggota tentera khususnya anggota komando dalam menentang pencerobohan dan perbuatan angkara khianat musuh negara.Perjuangan yang tidak mengenal erti kalah dan jemu dan sentiasa menjujung tinggi cogan kata Grup Gerak Khas Cepat  dan Cergas malah sewaktu melaksanakan tugas, banyak darah dan keringat yang mengalir. Pengorbanan ini tidak mengharapkan apa-apa balasan, hanya keikhlasan demi negara tercinta. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.24 pagi, 23 Ogos 2015 sewaktu berumur 84 tahun.


Al Fatihah buat Allahyarham 4861 SSjn Mohd Zakaria Abas serta pejuang tanah air yang lain.

Artikel ini telah dikeluarkan pada keluaran Majalah BTDM Bil 205

 

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker