RencanaSejarah

SEJARAH DAN HALA TUJU INSTITUSI MUZIUM KETENTERAAN DI MALAYSIA

 

Sambutan dan kehangatan bulan kemerdekaan ke 60 masih lagi hangat terasa dikalangan kita dan seluruh masyarakat amnya. Begitu juga dengan sambutan Hari Malaysia setiap 16 September yang disambut segenap lapisan masyarakat kita dan bagi warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menyambut Hari ATM pada tarikh yang sama.  Apabila musim ini kunjung tiba maka statistik pengunjung ke institusi muzium pasti akan meningkat, baik dari pelajar sekolah, institusi pendidikan, sektor korporat dan dari formasi ATM sendiri.  Kunjungan mereka ini berbagai ragam, mengisi pengisian jati diri dan semangat patriotisma, mengisi kalendar aktiviti, mengisi masa lapang atau riadah, ada yang melaksanakan sesi penggambaran mahupun meminjam prop bagi sambutan acara dimaksudkan. Justeru signifikan kewujudan institusi muzium ini amat sinonim pada musim-musim sebegini. Jangan marah ini sekadar pemerhatian penulis sahaja.

Kali ini penulis ingin berkongsi mengenai sejarah muzium ketenteraan di Malaysia khususnya di bawah pengurusan ATM. Sebelum kita pergi lebih jauh mengenai sejarah muzium ni elok rasanya kalau kita lihat dulu definisi muzium supaya penulis dan pembaca senada, bukan nak sekolahkan pasal definisi muzium pula maklumlah bercerita pasal muzium ni macam-macam definisi ada.  Kalau dalam fahaman setengah warga tentera kita ni, muzium ni tempat longgok barang usang termasuk tempat longgok orang hujung perkhidmatan atau dah tak ada future in service.  Penulis sendiri pernah kena raba kaki tahun 2002 dulu oleh seorang pegawai kanan bila ditanya ”Man, you kat mana sekarang?.  ”Kat Muzium TD Sir” balas saya.  ”Eh kenapa kaki you dah pakai besi ke dok muzium?”.  Itu hanyalah contoh persepsi institusi muzium pada ketika itu dan orang-orang yang layak duduk institusi muzium dan penulis berharap tanggapan itu biarlah kekal pada masa itu sahaja.

Asas definisi muzium ini berasal dari perkataan Greek iaitu “MOUSEION” yang bermaksud rumah suci “MUSE” iaitu lambang keilmuan dan kesenian.  Bidang muziologi atau pun sains muzium adalah merupakan satu pengkajian tentang sejarah dan latar belakang muzium, peranan muzium dalam masyarakat, sistem spesifik untuk penyelidikan, pemuliharaan, pendidikan dan organisasi, perhubungan dengan alam sekeliling serta klasifikasi ke atas jenis-jenis muzium yang berlainan.  Muziologi juga merupakan satu cabang pengetahuan berhubung dengan tujuan dan organisasi muzium. Ia juga berkonsepkan sebagai institusi yang mendidik masyarakat umum melalui aktiviti permuziuman dan persejarahan. Berbalik kepada definisi, terdapat pelbagai ungkapan dan takrifan menjelaskan definisi muzium merangkumi bidang yang luas dalam kepelbagaian aspek seperti pemeliharaan warisan budaya, sejarah kebudayaan, politik dan ekonomi serta sosial.

Menurut Artikel 2 Para 1, International Council of Museums mendefinisikan muzium sebagai “…a nonprofit making, permanent institution in the service of society and its development, and open to the public which acquires, conserves, researches, communicates and exhibits, for purpose of study, education and enjoyment, material evidence of people and their environment.”

Sebenarnya terdapat pelbagai definisi tentang muzium dan penulis berpandangan adalah penting untuk mengetahui maksud penggunaan ‘muzium’ secara tepat kerana konsep definisi sentiasa berkembang disebabkan faktor keadaan semasa sesebuah muzium, koleksi dan kehendak pengunjung. Sehingga kini, Muzium Ennigaldi dipercayai merupakan muzium purba tertua yang dibina pada tahun 530 SM oleh Puteri Ennigaldi, anak perempuan Raja Nabonidus iaitu raja terakhir Empayar Neo-Babylon.

 SEJARAH AWAL MUZIUM KETENTERAAN

 Institusi muzium ketenteraan terawal dunia bermula pada 1453 semasa zaman awal Kerajaan Othmaniyyah dengan pengumpulan peralatan perang dan persenjataan di tempat penyimpanan Perbendaharaan Imperial di Yenisehir, Bursa.  Edirne Mehmet II juga turut menjadikan gereja Byzantine lama St Irene di Sultanahmet sebagai idea muzium moden dalam proses penyimpanan koleksi senjata berharga selepas penaklukan Istanbul. Sewaktu pemerintahan Ahmet III, projek pengubahsuaian koleksi di St Irene telah dibuat menjadikannya sebagai sebuah muzium tentera pertama di dunia dikenali sebagai Dar-ul Esliha yang berjaya diinstitusikan pada tahun 1726.

Muzium ini tidak bertahan lama kerana terpaksa ditutup selepas rampasan dan rompakan semasa Pemberontakan Janissary ketika pemerintahan Selim III dan Mahmut II.  Muzium ini kemudiannya dibangunkan semula semasa pemerintahan Abdulmecit dan ia dikenali sebagai Muze-i Askeri (Muzium Tentera).  Institusi muzium tentera terawal ini turut mengalami beberapa perubahan nama mengikut pasang surut kepentingan permuziuman, semasa pemerintahan Abdul Aziz, muzium ini mulai suram dan kembali menjadi tempat penyimpanan persenjataan semata-mata. Selepas Pengistiharan Perlembagaan 1908, Perintah Sultan (Ferman), barulah institusi muzium tentera terawal ini terus berkembang sebagai sebuah muzium militari yang lengkap mengenai sejarah ketenteraan di Turki dan kini dikenali sebagai Askerî Müsee.

Perkembangan institusi muzium ketenteraan di England turut menarik perhatian penulis untuk disoroti mengambil kira kuasa kolonial ini yang pernah mendominasi negara kita menjadikannya terdapat persamaan dari segi tradisi dan rejimental ketenteraanya yang amat dekat jika dijadikan sebagai panduan dan perbandingan. Antara muzium ketenteraannya yang terawal seperti Royal Marine Museum yang terletak di Southsea, Portsmouth. Ia memaparkan sejarah pasukan Tentera Marin manakala Royal Naval Museum pula ditubuhkan pada tahun 1793 di Pangkalan Tentera Laut Diraja, Portsmouth  yang mempamerkan sejarah kegemilangan Tentera Laut Diraja British seawal era Tentera Laut Nelson, Tentera Laut Victoria, Perang Dunia Kedua dan Tentera Laut Moden. Royal Artillery Museum yang terletak di Woolwich dibina pada tahun 1778 di mana bangunannya direkabentuk seperti khemah Rotunda dan memaparkan sejarah perkembangan artileri awal abad ke 16 semasa pemerintahan oleh Henry VII I. Royal Air Force Museum pula ditubuhkan seawal tahun 1917 namun agak hambar perkembangannya kerana limitasi kewangan sehinggalah tahun 1963 ia mula dikembangkan secara aktif menggunakan dana awam. 

Begitu juga dengan Imperial War Museum yang ditubuhkan pada Mac 1917 bertujuan mempamerkan khazanah peperangan semenjak Perang Dunia Pertama dan penglibatan negara komanwel. Kini ia telah berkembang kepada lima cawangannya iaitu tiga di London, satu di Manchester dan satu lagi di Cambridgeshire melibatkan sejarah Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara, manakala Tank Museum pula ditubuhkan pada tahun 1947 di

Kem Bovington, Dorset mempamerkan koleksi berkaitan sejarah kereta perisai semenjak Perang Dunia Pertama sehingga sekarang. Ini adalah sekadar beberapa contoh perkembangan muzium utama di England yang wujud dan sehingga kini melibatkan 136 buah muzium berorientasikan ketenteraan telah menjadi produk tarikan utama berkaitan muzium ketenteraan.

Darurat Pertama. Secara ringkasnya ia mempunyai lebih dari 50 buah muzium berorientasikan ketenteraan mengikut taburan geografi Australia sendiri seperti Queensland yang mempunyai 19 buah muzium ketenteraan.  New South Wales pula mempunyai 13 buah muzium tentera termasuk Memorial Perang Australia, Bahagian Utara Australia mempunyai 3 buah muzium tentera, Selatan Australia mempunyai 3 buah muzium tentera, Tasmania mempunyai sebuah muzium tentera, Victoria mempunyai 12 buah muzium tentera dan Barat Australia mempunyai 2 buah muzium ketenteraannya.

Penulis merasakan cukup dahulu dengan melihat Turki, United Kingdom dan Australia sebagai asas kewujudan institusi muzium ketenteraan masa kini.  Takut meleret macam penulisan tesis nanti pembaca nak baca pun rasa berat kepala pula.  Tapi apapun penulis teringat kata-kata Usop Wilcha dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, ”…itu le pentingnya english education..”.  Begitu juga jika kita ingin meletakkan institusi muzium ketenteraan dilandasan yang sepatutnya dan menepati piawai permuziuman antarabangsa maka kita kena la ada museum education! Kena ada ilmu pengetahuan dan bukan main tangkap muat atas tiket general duties (GD) pasal kita warga tentera sememang sudah sebati dan pemikiran kita semua benda boleh buat. Malaysia boleh! Tapi adakah bolehnya itu mencapai standard yang digariskan kehendak permuziuman dan bukannya syok sendiri!

SEJARAH MUZIUM KETENTERAAN DI MALAYSIA

Antara muzium terawal yang diwujudkan oleh pemerintah kolonial British ialah Muzium Perak di Taiping pada tahun 1883, diikuti dengan Muzium Sarawak di Kuching pada tahun 1888 dan Muzium Selangor pada tahun 1899. Perkembangan ini memberi gambaran bahawa institusi permuziuman mempunyai pengertian yang amat besar kepada pemerintah kolonial British sama ada fungsinya kepada pentadbiran pemerintahan dan mengumpul segala khazanah sejarah , kebudayaan,  flora dan fauna di Tanah Melayu pada masa itu. Pada ketika ini banyak penyelidik kolonial yang kebanyakannya mempunyai latar belakang ketenteraan menjalankan penyelidikan dan mengumpul pelbagai jumpaan artifak di seluruh Tanah Melayu.  Sebahagian penyelidik ini pula begitu komited dalam menjalankan fungsi muzium sebagai pusat penyelidikan sejarah dan budaya dan ada yang digelar British Malayanist seperti Anker Rentse. Beliau terbunuh dalam nahas pesawat Dakota KN630 di Gua Musang, Kelantan pada 25 Ogos 1950 sewaktu misi guguran smoke marker bagi membantu operasi pengeboman kubu-kubu komunis.  Pihak Muzium TD dan penulis sendiri sebagai Ketua Penyelidik dan Pegawai Penyiasat telah berjaya mengeluarkan rangka manusia dari lokasi nahas pada 4 Nov 2008.  Senario ini menjelaskan bahawa institusi muzium itu bukan sahaja sebagai tempat pameran semata-mata, masyarakat tempatan pula hanya melihat muzium ini sebagai ‘Sekolah Gambar’ sahaja.

Kewujudan institusi muzium ketenteraan pula agak lewat iaitu hanya pada tahun 1930an bilamana pemerintah British menyatakan kepentingan menubuhkan sebuah badan yang bertanggungjawab terhadap aspek sejarah ketenteraan serta idea penubuhan rejimental muzium di dalam Singapore Volunteer Corp (S.V.C) yang berperanan mengumpul, menanda dan mempamer pelbagai koleksi artifak ketenteraan. Penulis ingin menjelaskan maksud dengan lebih mudah rejimental muzium ini iaitu hanya melihat kepentingannya sebagai  keperluan latihan bagi setiap anggota tentera semata-mata dan tidak dibuka kepada umum secara langsung.  Journal of the Society for Army Historical Research juga menyebut:

“…What are the uses of Regimental Histories and Museums? When one comes to think of it, the question and answer quickly resolve themselves into this: an integral part of soldier’s training is the creation of the subtle quality called ’esprit de corps’, which is as necessary for him in the long run as any part of his purely technical training. His ’esprit de corps’ consists of a knowledge of the traditions of his unit, what it has done in the past, as an incentive to what it may do in the present and in the future.”

Perkembangan institusi muzium di dalam ATM bermula dengan kelahiran Muzium Angkatan Tentera (Muzium AT) pada 23 Feb 1960 bilamana ia dirasmikan oleh Yang Berhormat Tun Abdul Razak, iaitu selepas hampir 30 tahun wujudnya Tentera Darat (TD).  Kewujudan muzium ini pada asalnya hanya berfungsi sebagai usaha pengumpulan awal beberapa artifak signifikan ATM dan di susun atur sebagai sebuah pameran di sebuah bangunan berek lama  di dalam kawasan Kementerian Pertahanan.  Ucapan oleh Jen Tan Sri Dato’ Mohd Ghazali bin Dato’ Mohd Seth, Panglima ATM (1961) yang menyatakan “…Muzium Angkatan Tentera (sementara) ini boleh dianggap sebagai satu pengakuan serius dan berazamnya ATM hendak mempunyai sebuah muzium.  Kepentingan sejarah ketenteraan ini turut menjadi keutamaan pucuk pimpinan tertinggi Tentera Darat (TD) bila mana keperluan mewujudkan  muzium  perkhidmatan  dibangkitkan pada tahun 1982 semasa mesyuarat kedua Lembaga Muzium AT, namun ia tidak dijadikan keutamaan. Pada tahun 1989, cadangan mewujudkan Muzium TD dibangkitkan namun tidak dapat dilestarikan kerana faktor  kegawatan  ekonomi dan cadangan membina Memorial Kemerdekaan Negara di sekitar kawasan Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun setiap kor TD telah pun melaksanakan langkah proaktif mewujudkan muzium kor yang tersendiri dengan menggunakan sumber pasukan yang amat terhad khususnya bagi mengumpul pelbagai peralatan dan artifak yang diperolehi melalui gerakan operasi terdahulu. Muzium Rejimen Renjer Diraja (Muzium RRD) merupakan antara muzium kor terawal yang telah ditubuh dan dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis pada 10 Okt 1977 bertempat di pasukan 2 RRD, Ipoh, Perak. Ringkasan taburan muzium/galeri ketenteraan di Malaysia diringkaskan seperti rajah di bawah:

 

Maklumat Taburan Muzium/Galeri Ketenteraan

Perkhidmatan/Agensi P.Pinang Perak N. Sembilan Melaka Johor Terengganu Kelantan WP Putrajaya WP K. Lumpur Sarawak Jumlah Muzium/Galeri
Tentera Darat Malaysia   4 4 4 4       3 1 20
Tentera Laut Diraja Malaysia   1                 1
Tentera Udara Diraja Malaysia           1     1   2
Agensi Awam/Korporat 1 2   2     1 1     7
Jumlah 1 7 4 6 4 1 1 1 4 1 30

Sehingga 2016, sebanyak 30 buah muzium atau galeri berorientasikan ketenteraan telah diwujudkan di Malaysia dengan 23 buah dikawal selia oleh ATM dan 7 buah dioperasikan oleh agensi awam/korporat. Penulis percaya mungkin ada dikalangan pembaca baru sedar banyak juga muzium/galeri ketenteraan di negara kita!. Senarai ini meliputi status muzium/galeri yang beroperasi dan dibuka kepada umum, yang ditutup sementara, yang dibekukan termasuk yang sedang dalam fasa pembinaan. Tertanya juga di fikiran penulis, kemana semua produk muzium ini dipacu? Apa hala tuju institusi muzium/galeri ini? Sekadar melengkapi kewujudannya atau sekadar gah dengan kuantitinya. Berdasarkan kajian penulis, hanya 2 buah muzium yang bersifat nasional iaitu Muzium TD di Port Dickson dan Muzium Tentera Udara Diraja Malaysia (Muzium TUDM) di Pangkalan Udara Sungai Besi. Muzium TUDM pula pada masa kini dalam proses perpindahan ke lokasi yang belum ditetapkan ekoran penutupan operasi Pangkalan Udara Sungai Besi. Terdapat 2 buah muzium/galeri yang dioperasikan oleh sektor korporat iaitu Muzium Perang di Pulau Pinang dan Galeri Banding di Perak, manakala selebihnya diuruskan oleh Kerajaan Negeri. Galeri Pahlawan yang sedang dalam proses pembinaan di Putrajaya bakal mengisi wadah kepahlawanan dari ATM dan Polis Diraja Malaysia kepada masyarakat apabila ia dibuka sedikit masa lagi.

HALA TUJU MUZIUM/GALERI KETENTERAAN

Bab ini penulis hanya menfokuskan kepada institusi muzium/galeri ATM sahaja mengambil kira terdapat 23 buah produk sedia ada dalam ATM samada berdaya saing atau cukup makan atau sekadar ada pasal orang dulu-dulu dah buat.  Untuk menilai hala tuju sesebuah muzium/galeri ini kita perlu melihat kepada aspirasi penubuhan sesebuah muzium/galeri itu sendiri khususnya misi, visi dan objektifnya. Kita perlu ingat setiap muzium/galeri yang wujud ini melibatkan kos! Kos pembinaannya dan kos pengoperasiannya.  Kos ini perlu sepadan dengan sasaran yang ingin dicapai atau return of investment (ROI) dalam dunia korporat. Mengurus muzium ini memerlukan mereka yang berfikiran korporat juga tetapi ROI bukanlah mendapatkan duit semata-mata. Jangan kata salah faham dengan definisi awal muzium iaitu sebuah organisasi tidak berprofit! Senario muzium masa kini telah jauh berubah, profit dimaksudkan samada dalam bentuk kewangan ataupun organization mileage ataupun dalam sebarang bentuk yang boleh mengembangkan sesebuah institusi muzium/galeri. Setiap muzium/galeri yang bersifat rejimental muzium (biasanya muzium-muzium Kor yang terdapat di pusat-pusat latihan TD) perlu dikaji semula. Adakah sasarannya hanya kepada warga tentera yang sedang berkursus sahaja? Kalau ia sebagai tools kepada latihan warga TD pula, siapa yang mengawal selia setiap rejimental muzium ini bagi memastikan ia kompeten sebagai supplement trainning tool dan siapa pula pihak yang kompeten mengawal selia muzium/galeri ini supaya berada dilandasan permuziuman yang betul. Jika muzium/galeri ini dibuka kepada masyarakat awam, adakah ia mematuhi garis panduan Kod Etika Professional yang digariskan oleh Majlis Muzium Antarabangsa?.  Pada tahun 2012 misalnya, terdapat 21 buah muzium persekutuan yang berada di bawah pengurusan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) yang mengurus dan mengoperasi semua muzium berdasarkan garis panduan khusus. Akta Muzium Malaysia masih lagi dalam proses kelulusan Kabinet termasuk cadangan mewujudkan Lembaga Akreditasi Muzium oleh JMM bertujuan memastikan setiap muzium/galeri berada di landasan piawai yang sebaiknya dalam kontek permuziuman.

Jika kita lihat jumlah muzium/galeri dalam ATM rasanya sudah lebih dari layak untuk mempunyai organisasi atasan yang turut kompetan dalam mengurus institusi muzium/galerinya. Bagi Angkatan Tentera Amerika Syarikat misalnya, mereka mempunyai teras polisi dan dasar  dokumen peraturan  Army Regulation 870-20,  Army Museums, Historical Artifacts, and Art dan Army Regulation  870-5, Military History, Responsibilities, Policies and Procedures yang dikeluarkan oleh Headquarters, Department of the Army, United States sebagai asas utama dalam mengurus muziumnya.

Penulis ingin menyentuh sedikit mengenai Muzium TD, penubuhannya diperingkat awal sememangnya tidak menyentuh fungsi rejimental muzium yang terdapat di kebanyakan pusat latihan kerana Muzium TD bersifat nasional bagi memartabatkan sejarah TD dan ketenteraan negara di mata dunia! Selain sebagai produk pelancongan ketenteraan baru yang memangkin sektor pelancongan Malaysia, Muzium TD telah menerima sejumlah 4,84,849,881 juta pelawat berakhir Dis 2016. Selain itu beberapa projek penyelidikan Muzium TD turut melibatkan kolaborasi antarabangsa telah meletakkan institusi ini dimata dunia seperti Op Gangga bersama pihak Defense POW/MIA Accounting Agency, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat yang membawa kepada surat penghargaan tertinggi dari Presiden Amerika Syarikat.

Sebagaimana digariskan Majlis Muzium Antarabangsa, institusi muzium perlu mempunyai governance body yang berperanan sebagai pihak berkuasa atasan dalam aspek polisi, pembangunan, kewangan dan pentadbirannya. Semestinya governance body ini mempunyai keupayaan hiraki pemerintahan dan tahap kompetansi yang sesuai dalam pelbagai aspek. Muzium ATM misalnya diperingkat awal dikawal selia oleh Majlis Keselamatan Negara dan Pengarahnya pernah disandang oleh Lt Jeneral Datuk Abdul Jamil Ahmad, ia menggambarkan betapa serius dan komitednya ATM pada masa itu.  Begitu juga dengan Muzium TD yang mempunyai Jawatankuasa Induk diperingkat Markas TD yang berperanan dan mengawal selia Muzium TD, namun kini fungsinya sudah tidak kemana apabila penstrukturan semula Muzium TD pada tahun 2012 yang mewujudkan ruang komplikasi dalam hala tujunya. Mungkin penulis agak sinis tapi itulah realitinya, helang di udara luas pemandangannya tapi helang lupa dibalik rumput kering ada cacing kerdil yang melihat helang terbang bebas.  Apabila kita ingin memastikan sesuatu kejayaan pastikan kita bersama dengan mereka di lapangan kerana mereka lebih arif selok beloknya lapangan itu.  Penulis masih teringat ketika di peringkat awal penubuhan Muzium TD telah menyuarakan kepada PTD Ke 18 pada ketika itu “…tugas kami untuk membina muzium ini amat sukar tetapi Tan Sri perlu ingat, untuk mengurus dan mengoperasi Muzium TD kelak 10 kali lebih sukar jika TD tidak bersedia dan menyediakan modal insan yang kompeten…”.  Begitu juga semasa penulis  menemu bual Jen Tun Ibrahim Ismail (B), Tun telah menyuarakan rasa sedihnya kerana Muzium AT telah ditutup, penulis pula dengan spontan dan konfiden membalas “Benar Tun, elok Muzium AT ditutup sahaja…”.  Merah muka Pengarah penulis dan Kurator Muzium AT yang kebetulan minum bersama ketika itu tatkala Tun terus bertanya kepada saya “Kenapa Man berpendapat begitu?”  Saya menjawab dengan lebih tertib “Tun, sebenarnya memang Muzium AT sedia ada wajar ditutup dan kita perlukan sebuah ‘Muzium AT’ yang baru yang lebih realistik dan holistik seperti ini…..untuk itu Muzium AT ini perlu ditransformasikan supaya lebih bersifat sebagai gerak saraf berbanding duplikasi dengan muzium perkhidmatan..”.  Selepas panjang lebar menerangkan ke mana hala tuju sepatutnya baru lah Tun memahami niat sebenar kenyataan saya. “Siapa lagi yang tahu idea ini..”.  Itu adalah temu bual terakhir penulis kerana beberapa bulan selepas sesi itu, beliau pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Dalam memperkasakan hala tuju sesebuah muzium/galeri, penulis melihat dua aspek teras yang perlu difokuskan iaitu ‘doktrin permuziuman’ dalam sesebuah organisasi ketenteraan.  Apakah kepentingan permuziuman, pengarkiban dan persejarahan dalam ATM?  Sejauh mana semua institusi muzium ini digembeling sebagai satu produk berdaya saing yang boleh memberi imej sebagai satu angkatan kepada organisasi ATM itu sendiri.  Apakah yang perlu dilakukan oleh ATM terhadap semua muzium dan galeri ini sama ada melihatnya sebagai peluang kerana pelbagai usaha telah dilakukan oleh formasi dalam menghasilkan muzium/galeri atau membiarkan begitu sahaja dengan memfokuskan kepada muzium yang telah bertaraf nasional seperti Muzium TD dan Muzium TUDM.  Teras pertama yang perlu difokuskan ialah kesediaan melaksanakan transformasi pengukuhan institusi sedia ada, hasrat Kementerian Pertahanan untuk mewujudkan agensi pusat yang berperanan lebih luas dan spesifik berkaitan pemeliharaan dan pemugaran sejarah dan warisan ketenteraan wajar dilihat secara positif oleh semua pihak.  Mewujudkan sebuah agensi yang berperanan secara bersepadu dalam ATM bagi mengoptimumkan kepentingannya adalah perlu dan amat bertepatan dengan senario dan kehendak semasa dunia permuziuman.  Pemilihan Muzium TD sebagai institusi untuk di transformasi dengan mengguna pakai formula penubuhan Australian War Memorial kini sedang diteliti dan dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan.

Teras kedua ialah menyediakan polisi dan dasar berkaitan permuziuman, pengarkiban dan persejarahan meliputi pelbagai aspek dan ruang lingkup nya.  Ia perlulah saling mendukung dan bersepadu dengan peruntukan dasar atau perundangan sedia ada atau yang ditambah baik sesuai dengan fungsi dan peranan sesebuah muzium/galeri. Sememangnya peruntukan perundangan sedia ada dalam Akta Warisan Kebangsaan (Akta 645) menyatakan ia di bawah bidang kuasa Jabatan Warisan Negara (JWN), namun demikian perlu dilihat bahawa sejarah ketenteraan ini tidak seharusnya dilihat dari faktor sejarah semata-mata.  Ia mungkin satu isu yang sensitif jika ia disalah tafsir seolah-olah ATM ingin mengambil alih tanggungjawab JWN pula. Sebenarnya ia lebih bersifat mendokong kewujudan Akta 645 itu sendiri selain harus dilihat sebagai instrumen sokongan kepada JWN dalam menguatkuasakan kepentingan pemugaran sejarah ketenteraan negara.

KESIMPULAN

General S.Patton, seorang komander Tentera Amerika Syarikat secara tegas menyatakan “to be a successful soldier, you must know history.”   Ia memberi ruang kita untuk belajar  sesuatu dari kisah silam operasi ketenteraan sebagai proses pembelajaran dan penambahbaikan khususnya kepada komander dan pemerintah tentera. Selain itu, sejarah ketenteraan juga digunakan sebagai instrumen latihan, medium menyuntik dan menaikkan semangat dan moral anggota tentera dan masyarakat.  Untuk itu seharusnya kita warga tentera lebih mendekati dan mengetahui sejarah ketenteraan kita. Apa jua war relic yang boleh mengangkat dan memartabatkan sejarah dan warisan ATM kita perlu dipertahankan. Institusi muzium/galeri ini seharusnya berperanan sebagai institusi memugar kepentingan sejarah dan warisan ketenteraan Negara termasuk mempunyai sebuah agensi khusus yang mengawal selia semua muzium secara bersepadu.

Pemilihan Muzium TD sebagai ikon pelancongan ketenteraan di Malaysia oleh Kementerian Pelancongan Malaysia (KPM) pada 2008 merupakan penanda aras kepercayaan  KPM  terhadap  institusi  Muzium  TD  kerana menjadi  satu-satunya ikon dari kategori institusi muzium dari seluruh Malaysia. Pemilihan ini turut menjadi nilai tambah kepada Muzium TD dan Kementerian Pertahanan dan ATM sendiri perlu optimistik demi memastikan momentum institusi muzium/galeri ini terus berada di landasan yang betul dan dipacu kehadapan demi kelestariannya.  Ia jelas menggambarkan bahawa institusi muzium bersifat nasional seperti Muzium TD adalah sebahagian instrument hadapan ATM dalam memartabatkan sejarah dan warisannya kepada masyarakat dan mendidik berkaitan pembinaan jati diri dan semangat patriotisma.

 

 

 

 

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close