Bersama PemimpinSemasa

Mini Karnival MINDEF dan ATM Meriah

JOHOR: Seramai 3000 pengunjung hadir semasa Majlis Perasmian Mini Karnival MINDEF dan ATM 2017 yang dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein di Taman Sri Lambak Sembrong pada 15 Jul 2017.

Pameran yang diadakan selama tiga hari  bermula dari 13 hingga 15 Jul 2017 itu, merupakan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melibatkan kerjasama beberapa kementerian terdiri dari Kementerian Pertahanan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Kerajaan Negeri Johor serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sebanyak 20 aset ketenteraan ATM dipamerkan kepada orang awam sepanjang tiga hari karnival diadakan bermula seawal jam 9 pagi telah dibanjiri orang ramai khususnya di sekitar daerah Kluang bagi menyaksikan secara dekat aset tentera milik negara seperti Pelancar roket berganda ASTROS II MLRS, Kenderaan Gempita 8 X 8, Lipan Bara, Helikopter A109 Agusta, Helikopter Super Lynx, Dental Bus dan sebagainya.

Pada masa yang sama turut diadakan Demonstrasi Masakan di medan meliputi Demonstrasi Dapur Medan, Meal On Wheel, food truck dan Rangsum Tempur Bekalan Kering (RTBK) serta Demonstrasi Ikhtiar Hidup (survival) yang bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat berhubung kesukaran dan  pengorbanan anggota ATM ketika mengikuti operasi menjejaki musuh demi mempertahankan keselamatan negara.

Selain itu Program Jiwa Murni meliputi pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada pengunjung awam yang hadir serta turut melibatkan program gotong-royong dengan kerjasama ATM, Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) dan masyarakat setempat dengan aktiviti membersihkan tanah wakaf Taman Sri Lambak dan membersihkan Masjid Jamek Mardi Kluang.

Manakala bagi pengisian Persembahan Kesenian dan Kebudayaan,  Kementerian Pertahanan telah bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan Dan Seni Negara bagi mengadakan persembahan gabungan dan seni ketenteraan melibatkan anggota dari 10 Bgd Para yang mempersembahkan Para Dance manakala anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terlibat dalam kawad senyap dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terlibat dengan persembahan Drumliner.

Dalam ucapan Menteri Pertahanan, beliau amat berbangga dan berpuas hati dengan keterlibatan ATM sepanjang pameran diadakan dan yakin menerusi penglibatan seumpama ini, ia akan membuka lebih ruang dan peluang kepada masyarakat khususnya orang awam untuk lebih memahami aktiviti dan kaedah pengoperasian yang dilaksanakan anggota tentera.

“Perkara yang lebih penting, saya amat berharap agar seluruh rakyat Malaysia dapat mengetahui tentang betapa besarnya jasa dan pengorbanan anggota ATM selama ini demi memastikan keamanan dan kedaulatan negara kita terus terpelihara, ” ujar beliau.

Turut hadir  Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Ketua Eksekutif MiDAS, Lt Jen Dato’ Suhaimi Hj Mohd Zuki, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Panglima 4 Div, Mej Jen Datuk Mohd Zakaria Hj Yadi  dan Panglima 7 Bgd, Brig Jen Mohd Hassan Loman.

 

Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan

 

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close