AgamaRencana

MUHASABAH MELALUI TARBIAH MADRASAH RAMADHAN

Alhamdulillah kita telah sama-sama berjaya melalui suatu modul latihan selama sebulan dalam madrasah Ramadan.  Kita juga telah sama-sama melalui suatu tarbiah atau pendidikan fizikal dan rohani yang sangat mencabar.  Kini Ramadan telah berlalu dengan meninggalkan seribu satu kenangan manis.  Kita masih terasa keseronokan berada di bulan Ramadhan dengan pelbagai program dan aktiviti yang dilalui sama ada bersendirian, bersama keluarga mahupun bersama rakan dalam kariah di masjid atau surau. Masih terasa seronoknya berbuka puasa secara jama’i, bersedekah dan menyumbang makanan, bersolat jemaah dan tarawih, bertadarus Al-Quran, beriktikaf di masjid dan lain-lain aktiviti kebajikan. Semuanya seolah-olah hanya menjadi perbualan yang diulang-ulang bicaranya saban tahun. Persoalannya apakah itu yang dikehendaki melalui tarbiah Ramadan yang kita sama-sama lalui?

Para hukama pernah berkata: “Setiap hari yang dilalui oleh seorang mukmin hendaklah lebih baik daripada hari-hari sebelumnya, jika sekiranya ia sama sahaja atau lebih buruk daripada hari-hari sebelumnya maka ia adalah sesuatu yang membawa kebinasaan”.

Demikian juga yang kita harapkan agar madrasah Ramadhan yang kita lalui baru-baru ini mampu menjadikan kita sebagai muslim yang beriman dan lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. Bahkan mampu membawa kita ke jalan orang yang bertakwa di sisi Allah SWT.

Ramadhan yang berlalu banyak meninggalkan janji-janji manis kepada jiwa dan hati orang mukmin. Madrasah Ramadhan adalah pusat latihan bagi memupuk keimanan melalui tarbiah fizikal dan rohani. Secara zahirnya, fizikal orang yang berpuasa adalah lebih baik dari keadaan fizikal orang yang perutnya sentiasa kenyang. Rasulullah SAW sering memilih berpuasa atau mengosongkan perutnya untuk tujuan beribadah kepada Allah SWT. Ini kerana baginda menyatakan bahawa perut yang kosong akan memudahkan untuk mengawal hawa nafsu. Sesungguhnya kerosakan dan kebinasaan kepada kehidupan manusia di dunia ini banyak didorong oleh kebejatan hawa nafsu yang tidak terkawal. Hal ini telah diterangkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

مَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّي إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ

 “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku maha pengampun, lagi maha mengasihani”. (Yusuf: 53)

Solat adalah ibadah utama bagi setiap manusia yang beriman. Madrasah Ramadan telah mentarbiah kita supaya istiqamah dalam ibadah solat sunat di samping menunaikan solat yang fardu lima waktu. Ada juga yang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat lima waktu. Lebih malang lagi, ada juga yang menunaikan solat tarawih tetapi tidak istiqamah menunaikan solat lima waktu.

Demikian juga, ramai yang memenuhi ruang-ruang masjid bagi menunaikan ibadah pada bulan Ramadan, tetapi tidak meneruskannya selepas Ramadan. Mereka adalah orang yang rugi kerana gagal menghayati dan meraih keberkataan yang diturunkan oleh Allah SWT sepanjang bulan Ramadan.

Persoalannya kenapakah hal sebegini terjadi?

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:

“Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya”. (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Bulan Ramadhan juga merupakan bulan Al-Quran diturunkan. Al-Quran adalah kitab panduan untuk memandu hidup manusia didunia dan akhirat. Tidak dinafikan telah menjadi kelaziman masyarakat Islam bertadarus di bulan Ramadan untuk meraih pahala yang berganda. Tetapi perlu disedari bahawa Al-Quran bukan sekadar dituntut pada bacaan sahaja, bahkan perlu difahami, dihayati, diamali, ditekuni dan disebar luaskan ilmunya untuk mendapat keberkatan di dunia dan syafaat Ilahi di akhirat kelak. Lazimnya mentadarus Al-Quran hanya dilakukan pada bulan Ramadhan sahaja namun sebaliknya menjadi sunyi sepi pada bulan-bulan yang lain.

Bagaimanakah Al-Quran dapat dijadikan panduan dalam menjalani urusan kehidupan pada setiap masa jika ia hanya diulang baca pada bulan Ramadan sahaja. Bagaimana manusia dapat menjadikan Al-Quran sebagai hakim pemutus dalam segala permasalahan yang dihadapi oleh manusia kalau Al-Quran hanya ditadaruskan ayat-ayatnya untuk bacaan setahun sekali sahaja. Ingatlah firman Allah SWT:

فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

 “Maka demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”. (An-Nisa’: 65)

Hal ini dijelaskan oleh Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا. إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لاَ نُرِيدُ مِنْكُمْ جَزَاءً وَلاَ شُكُورًا

“Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidakberkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih”. (Al-Insan: 8-9)

Terlalu banyak perkara yang boleh dihayati melalui tarbiah madrasah Ramadan bagi mereka yang mahu meneladaninya. Ini kerana sesuatu ibadah yang didatangkan oleh Allah SWT dalam satu pakej seperti bulan Ramadan iaitu melalui kewajiban berpuasa, diturunkan Al-Quran dan terdapatnya malam Lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka kewajarannya bagi kita yang berakal untuk menyedari bahawa ia bukan suatu bentuk tarbiah yang boleh dipandang mudah seperti yang kita lalui selama ini.

Sering kali berlaku apabila Ramadan berlalu, maka masjid pun kembali sunyi, solat berjemaah di masjid kembali susut dan sepi, kitab Al-Quran hanya tinggal di rak tersusun rapi, silaturrahim di kalangan anak-anak kariah kembali merenggang, fakir miskin dan anak-anak yatim kurang dipeduli dan jarang disantuni lagi.

Persoalannya, kenapakah nafsu yang kita didik sepanjang Ramadan gagal untuk kita bawa di luar Ramadan? Sewajarnya tarbiah bulan Ramadan itu mampu meninggalkan kesan yang berskala besar kepada umat Islam yang melalui pendidikan Ramadan dengan penuh keimanan dan beramal dengan penuh keikhlasan. Setiap perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hambanya pasti ada suatu pengajaran dan pendidikan yang amat bermanfaat kepada manusia.

Firman Allah SWT:

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ الْقَصَصِ بِمَا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ هَذَا الْقُرْآنَ وَإِنْ كُنتَ مِنْ قَبْلِهِ لَمِنَ الْغَافِلِينَ

“Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang yang tidak pernah menyedari akan halnya”. (Yusuf: 3)

Mudah-mudahan kita tidak terlupa dengan segala nikmat ketika berada pada bulan Ramadan. Tingkatkanlah amal ibadah dengan mengekalkan momentum kesungguhan yang diperoleh melalui Ramadan. Perkukuhkanlah pegangan akidah dan padukan pengamalan syariah dan berakhlak dengan akhlak Islamiah pada setiap masa dengan melazimi sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah.

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close