AgamaRencana

Marhaban Ya Ramadan

Ramadhan tiba lagi. Marhaban Ya Ramadhan.  Selamat datang wahai Ramadhan.  Demikianlah ungkapan syukur kerana dipanjangkan usia dan diberi peluang oleh Allah SWT untuk bersama lagi dengan Ramadhan tahun 1438H ini.  Seorang yang beriman pasti menyedari bahawa kedatangan Ramadhan merupakan curahan nikmat dan banjiran rahmat daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya.  Ramadhan bukannya hadir dengan tangan kosong bagi melengkapkan kalender tahunan.  Bahkan ia dipenuhi ganjaran dan dilimpahi dengan pahala berganda daripada Allah SWT.  Justeru, wajarlah keimanan diri setiap insan menerima kehadiran Ramadhan kali ini dengan berusaha memuliakannya dan memperbanyakkan amalan soleh.

Ramadhan merupakan bulan ibadah dan tarbiah iaitu bulan yang mendidik setiap individu muslim agar kembali mengabdikan diri kepada Allah SWT.  Ibadah puasa misalnya, bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga, bahkan ia juga berperanan mendidik mata daripada melihat perkara yang diharamkan, telinga daripada mendengar umpatan, lidah daripada menuturkan fitnah, berbohong dan cacian, tangan daripada melakukan dosa dan maksiat, kemaluan daripada melakukan kemaksiatan dan kaki daripada melangkah ke arah kejahatan dan kemungkaran.  Sesungguhnya puasa mendidik manusia bersifat ihsan dengan menjadikan kesemua anggota tubuh badan mereka beribadah kerana Allah SWT dan melaksanakan tuntutan agama dengan penuh keikhlasan.

Semoga kehadiran Ramadhan pada kali ini dapat mencapai matlamat puasa yang sebenar iaitu untuk menjadikan seorang insan yang bertambah imannya dan tinggi takwanya lebih daripada Ramadan yang lalu. Firman Allah SWT yang bermaksud:

 “Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)

 Pada setiap bulan Ramadhan, Allah SWT membuka peluang keemasan kepada orang yang beriman untuk meraih pahala berganda dan membuka seluas-luasnya pintu keampunan untuk menerima taubat mereka. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:

 “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dalam keadaan beriman dan mengharapkan keredaan (Allah SWT), maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Al-Bukhari).

Hadis ini menggambarkan betapa istimewanya bulan Ramadhan dan betapa luasnya kesempatan untuk meraih pahala dan keampunan daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa.

Sementara ibadat puasa dari sudut kesihatan pula merupakan kaedah terbaik bagi memelihara anggota badan daripada pelbagai penyakit.  Dr Hisyam Ibrahim Al-Khatib dalam bukunya ‘Al-Wafi Fi At-Tib’ menjelaskan bahawa puasa memberi peluang kepada organ-organ dalaman tubuh badan untuk memperbetulkan semula sistem penghadaman.  Ia juga menjadi penawar yang mujarab bagi penyakit-penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, pertambahan lemak dan peningkatan gula dalam darah. Lihatlah, betapa besarnya hikmah Allah SWT mewajibkan hamba-hamba-Nya berpuasa.  Selain daripada mampu meningkatkan keimanan dan ketakwaan ia juga memberi manfaat untuk kesihatan tubuh badan.

Di antara persediaan yang perlu dipersiapkan untuk menghadapi Ramadhan ialah:

Persediaan Ilmu.  Setiap individu muslim berkewajipan untuk menimba ilmu pengetahuan berkaitan ibadah, khususnya ibadah yang disyariatkan pada bulan Ramadhan. Persediaan ilmu sangat penting kerana ia memberi penjelasan tentang sah ataupun tidak ibadah seseorang di sisi Allah SWT. Dengan ilmu juga, seseorang dapat mengetahui kelebihan-kelebihan beribadah pada bulan Ramadhan serta rukhsah (keringanan) yang berkaitan dengan ibadah tersebut. Tanyalah para  alim ulama berkaitan sebarang hukum-hakam atau perkara yang tidak diketahui. Mintalah penjelasan mereka berkenaan perkara yang boleh menimbulkan kesamaran dan keraguan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli ilmu yang lebih mengetahui sekiranya kamu tidak tahu.” (An-Nahl: 43)

 Persediaan Rohani.   Persediaan ini melibatkan amalan penyucian jiwa dengan mengikhlaskan diri untuk bersedia mematuhi perintah Allah SWT, melakukan amalan sunat seperti solat sunat Tarawih, beristighfar, berzikir, membaca Al-Quran, berselawat, qiamullail, beriktikaf, berpuasa sunat dan sebagainya. Hal ini penting kerana ia akan memudahkan seseorang untuk meneruskan tuntutan rohaninya pada bulan Ramadhan. Kita juga dituntut agar bertaubat atas segala dosa yang dilakukan untuk mencari reda Ilahi. Firman Allah SWT yang bermaksud:

 “…dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang yang beriman, agar kamu berjaya.” (An-Nur: 31)

Persediaan Fizikal.    Bagi melaksanakan ibadah di sepanjang bulan Ramadhan, persediaan yang wajar berkaitan diri dan persekitaran secara fizikal perlu diambil perhatian. Kebersihan tempat tinggal, tempat ibadah dan tubuh badan perlu diberi keutamaan. Penjagaan kesihatan juga amat penting untuk memastikan pelaksanaan ibadat tidak tergendala meskipun dalam keadaan lapar dan dahaga. Orang beriman yang kuat dan mampu melakukan ibadah dengan sempurna akan lebih disayangi oleh Allah berbanding orang beriman yang lemah. Hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:

 “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada orang mukmin yang lemah.” (Riwayat Muslim)

Oleh itu, sempena dengan kedatangan bulan Ramadhan tahun ini setiap diri perlu berusaha memperkukuhkan keimanan dan memantapkan ketakwaan dengan memberikan fokus terhadap amalan-amalan berikut:

  • Menjaga kualiti ibadat puasa dengan menyempurnakan rukun dan syaratnya.
  • Menjaga diri daripada perlakuan dan tindakan yang boleh mengurangkan pahala ibadat  puasa.
  • Menyediakan jamuan berbuka kepada orang yang berpuasa, khususnya kepada sahabat,    jiran tetangga dan fakir miskin.
  • Melaksanakan solat fardu secara berjamaah di masjid atau di surau.
  • Menunaikan solat sunat Rawatib yang mengiringi solat fardu.
  • Menunaikan solat sunat Duha.
  • Menunaikan solat sunat Tarawih dan Witir.
  • Memperbanyakkan membaca Al-Quran dan meneliti  maksudnya.
  • Bertadarus Al-Quran secara berkumpulan.
  • Beriktikaf di dalam masjid.
  • Memperbanyakkan amalan bersedekah.
  • Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW.
  • Memanfaatkan masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah seperti mendalami pengetahuan mengenai fardu ain dan fardu kifayah.
  • Sentiasa menjaga tutur kata dan gerak-geri supaya tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.
  • Mengikis sifat hasad dengki daripada diri.
  • Tidak membiarkan diri berlarutan dalam perkara-perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah.
  • Memastikan hati sentiasa fokus terhadap ibadat dan sentiasa ingat kepada Allah SWT.

Semoga pakej Ramadhan yang disediakan oleh Allah SWT dapat menganjak paradigma ketakwaan mukmin sehingga menjadi hamba yang benar-benar taat kepada-Nya. Menunaikan hak-hak Allah dan menyempurnakan hak-hak manusia dalam kehidupannya.  Berjaya di sisi Allah dengan memperoleh redha dan ganjaran syurga-Nya yang penuh dengan nikmat yang hakiki. Ingatlah, bahawa orang yang berpuasa akan menikmati dua kegembiraaan sebagaimana yang disabdakan Nabi SAW.  Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika menenui Tuhannya.

“Ya Allah, jadikan kami sebagai orang soleh yang sentiasa menunggu-nunggu ketibaan Ramadhan. Kurniakanlah taufik kepada kami untuk mengimarahkan Ramadhan dengan ibadat seperti puasa, solat, bacaan Al-Quran, iktikaf, zikir dan munajat sebagai orang yang taat. Sucikanlah hati-hati kami daripada keladak mazmumah dan hiasilah ia dengan kilauan mahmudah. Kelak kami diiltizamkan dengan takwa selepas Ramadhan dan istiqamah di sepanjang kehidupan. Sehinggalah dipanggil kembali kepada-Mu dengan pangillan mutmainnah.”

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker