Bersama PemimpinMINDEFSemasa

ATM Terima Sumbangan Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2017 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor merangkap Yang DiPertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) di Auditorium Kementerian Pertahanan pada 16 Jun 2017.

Majlis khas yang diadakan setiap tahun ini telah menjadi satu tradisi bagi menghargai dan merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih KEMENTAH diatas sumbangan ikhlas para penyumbang kepada warga ATM yang melaksanakan tugas operasi pada tahun ini terdiri daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan termasuk wanita yang melaksanakan tugas di perbatasan, kepulauan, samudera raya dan ruang angkasa di dalam mahupun luar negara, juga merangkumi  kawalan keselamatan setiap pasukan, kem dan unit agar  kedaulatan tanah air pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri kekal terpelihara.

Pada tahun ini, ATM berjaya mengumpul sumbangan kewangan sebanyak RM 1,431,700.00 daripada 47 buah syarikat penyumbang manakala terdapat juga 17 penyumbang menghulurkan sumbangan dalam bentuk barangan seperti makanan kering, kerepek, biskut hari raya dan pelbagai jenis makanan yang akan dijadikan hidangan serta juadah buat warga ATM yang bertugas di perbatasan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Di samping itu, turut diadakan penyerahan sumbangan wang zakat dari tiga badan korporat kepada Tabung Zakat ATM yang secara keseluruhannya berjumlah RM 1.2 juta terdiri daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berjumlah RM 350 ribu, Koperasi Tentera Berhad, RM 350 ribu dan Affin Islamic Bank Bhd, RM 500 ribu yang mana sumbangan ini akan disalurkan kepada asnaf-asnaf yang terdapat di dalam ATM bagi program dakwah, program saudara baharu, program peningkatan syiar Islam, bantuan prasarana masjid atau surau ATM serta sumbangan kesihatan kepada mereka yang layak selain turut diberikan kepada Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM.

Dalam ucapan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mengalukan kedatangan Yang DiPertua BAKTI, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor sejak dari tahun 1986 sehingga sekarang ke Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang turut memberi sumbangan kepada warga ATM.

“Komitmen tinggi Yang DiPertua BAKTI terhadap kebajikan warga ATM ini amat bermakna sekali terhadap kami warga ATM dan tentunya keprihatinan yang ditunjukkan Datin Paduka Seri, saya yakin diresapi dan dirasai oleh anggota tentera yang bertugas nanti.

“Saya juga mengalukan kehadiran para derwaman yang saban tahun menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan mereka kepada kita warga ATM dengan menderma dalam berbagai-bagai bentuk, ia jelas merupakan satu manifestasi yang bersandarkan kepada peribahasa yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing dan ia juga saya yakin diatas permuafakatan hati nyamuk sama dicecah hati gajah sama dilapah.

“Warga ATM sekalian, apa yang dapat kita tuai dari apa yang telah saya nyatakan tadi, ketahuilah apa yang kita abdikan, kita telah korbankan dan apa jua jerih yang kita curah dan yang dilalui sebenarnya sentiasa diamati dan jasa bakti kita tetap dihargai kerana itulah pengorbanan yang telah kita akurkan dan dimeterai dalam sumpah janji kita, namun begitu dalam pengorbanan ini tiada  istilah tagih penghormatan atau tagih sumbangan kerana itu semua kita luhurkan sebagai jasa dengan penuh ikhlas,” ujar PAT.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KEMENTAH Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Sri Zulkiple Haji Kassim, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin dan Timbalan  Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Sri Ackbal Hj Abdul Samad.

Gambar: LKpl Ainur Aisyah Yahaya

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker