Bersama PemimpinPasukan SimpananSemasa

Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Ke-35

KUALA LUMPUR: Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam Ke-35 bertempat di Padang Kawad Universiti Malaya pada 20 Ogos 2016.

Perbarisan pada tahun ini melibatkan 1675 Pegawai Kadet PALAPES Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terdiri daripada 774 Pegawai Kadet Lelaki bersama 901 Pegawai Kadet Wanita dari 18 IPTA seluruh negara.

Dalam titah ucapan Sultan Perak, Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh Pegawai Kadet PALAPES yang telah berjaya melalui pelbagai latihan dengan penuh kesabaran, tekun serta tabah bagi menjadi seorang pegawai muda yang berdisplin tinggi.

“Pada hari ini tercatat peristiwa penting dalam Takwim Islam iaitu bulan Zulkaedah yang mana berlakunya baiah diantara para sahabat Rasulullah untuk tidak meninggalkan medan perang serta setia berjuang bersama Rasulullah, justeru ambillah keberkatan peristiwa ini untuk meneruskan karier dalam bidang ketenteraan dan di pasukan kelak,” titah baginda.

Sebaik sahaja berakhirnya istiadat perbarisan, Pegawai Kadet Terbaik setiap universiti diperkenalkan kepada Sultan Perak dalam Majlis Ramah Mesra di Dewan Tunku Canselor dan istiadat diakhiri dengan Upacara Pengurniaan Watikah Tauliah.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Hj Zulkifeli Mohd Zin, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut, Laksamana Dato’ Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin, Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Sri Haji Affendi Buang dan Naib Canselor UM Kol (K) Tan Sri Profesor. Dr. Mohd Amin Jalaludin.

Gambar: Mohd Rizal Ghazali

 

Seterusnya

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close