1 Div2 Div3 Div4 DivBersama PemimpinSemasaTask Force 450

3 Div Johan Tilawah Al-Quran TD 2016

KUALA LUMPUR: Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (MK 3 Div) muncul Johan keseluruhan dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Tentera Darat (TD) yang mana majlis penutup disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada 5 Ogos 2016 bertempat di Dewan Dato’ Othman Harun.

Tilawah pada kali ini melibatkan penyertaan seramai 34 peserta dari tujuh formasi TD dan lima kategori dipertandingkan iaitu Kategori Qari dan Qariah Pegawai, Qari Lain-Lain Pangkat (LLP) lelaki, Qariah LLP wanita/BAKAT, Qari Saudara Muslim dan Qariah Saudara Muslim

Johan bagi kategori pegawai ialah Kapt Hjh Salha Shakila Alang Hashim dari MK 3 Div manakala Johan untuk kategori Qari LLP lelaki dimenangi Kpl Farid Abd Rashid dari Task Force 450 dan Johan Qariah kategori LLP wanita/BAKAT disandang oleh Rabiatul Adawiyah Ismail dari MK 3 Div.

Bagi dua kategori baharu yang diperkenalkan pada pertandingan kali ini iaitu kategori Qari Saudara Muslim dimenangi Sjn Abdul Wahab Ayup dari MK 3 Div manakala kategori Qariah Saudara Muslim  dimenangi oleh Kpl Nurul Ashikin Parasin Abdullah dari Task Force 450.

Dalam ucapan PTD, beliau menyeru agar warga TD mendukung pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan di atas alasan sebagai suruhan ajaran yang dituntut agama Islam bersesuaian dengan pemilihan tema pada tahun ini, Wasatiyyah Tonggak Kesatuan TD.

“Wasatiyyah menolak sebarang kefahaman atau tindakan yang melampau seperti yang ditonjolkan oleh DAESH dan mereka telah memanipulasikan kandungan ayat Al-Quran seperti istilah jihad bagi menyokong dan menghalalkan tindakan yang mereka lakukan.

“Kekeliruan dalam memahami konsep jihad boleh membawa seseorang kepada tindakan agak negatif sehingga boleh mencacatkan imej Islam dan diri sendiri serta tidak dapat dinafikan warga TD menjadi golongan sasaran kumpulan DAESH bagi mencapai cita-cita mereka dan ingin saya tekankan agar jangan sesekali terpengaruh dengan perjuangan mereka,” tegas PTD.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi dan Panglima Medan Barat Lt Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim.

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close