AgamaRencana

Patriotisme Dari Perspektif Islam

[jaw_dropcap]T[/jaw_dropcap]idak dapat dinafikan bahawa asal-usul patriotisme adalah daripada budaya masyarakat Barat yang mereka warisi secara turun-temurun. Perkataan patriotisme itu sendiri berasal daripada bahasa Yunani ‘Patria’ atau ‘Patris’ yang bermaksud tanah air (fatherland or homeland). Secara lebih lengkap maksud patriotisme ialah cintakan kepada tanah air dengan kesanggupan untuk menumpahkan hati budi kepadanya. Disebabkan perkataan ini berasal daripada bahasa Yunani dan kemudian digunakan oleh bahasa Inggeris maka secara khusus perkataan ini mempunyai hubung kait dengan sejarah perkembangan budaya masyarakat Eropah daripada zaman Yunani sehingga zaman Barat Moden. Bagaimanapun ini tidaklah menafikan kewujudan nilai yang sama dalam masyarakat Timur dan masyarakat Islam.

Nilai dan semangat patriotik yang menunjukkan kecintaan terhadap negara atau watan cukup banyak dipersembahkan melalui pengkisahan Al-Quran dan hadis. Sebagai contoh, Al-Quran merakamkan gambaran semangat cintakan tanah air Nabi Ibrahim a.s yang mengangkat tangan memohon doa kepada Allah SWT untuk keamanan dan kesejahteraan bumi Mekah. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan (ingatlah, ketika Ibrahim berdoa: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian”. (Al-Baqarah:126).

Demikian juga Nabi Muhammad SAW mempunyai nilai kasih sayang kepada tanah air yang cukup sebati terhadap bumi kelahiran baginda, iaitu Mekah. Hal ini kerap digambarkan oleh hadis baginda SAW. Antaranya dialog baginda dengan bumi Mekah tatkala terpaksa berhijrah ke Madinah:

“Engkau wahai Mekah merupakan satu bumi yang baik dan paling aku cintai, kalau  sekiranya kaummu  (pendudukmu)  tidak mengeluarkan aku darimu nescaya aku tidak akan menetap  di  mana-mana  tempat selain daripadamu”. (Riwayat  At-Tirmizi).

Menurut Prof. Emiritus Dr. Hisham Sharabi, patriotisme dalam Islam dikenali sebagai wataniyah yang diamalkan dalam sempadan sesebuah negara yang tidak akan sesekali membelakangi prinsip agama. Ini kerana dalam kerangka Maqasid As-Syariah atau matlamat syarak, agama senantiasa terletak pada kedudukan atau hierarki tertinggi dalam senarai kewajiban untuk dipelihara,  dipertahan dan dimartabatkan.

Dalam konteks ini, mempertahankan negara dengan maksud memelihara agama juga adalah sebahagian daripada maqasid. Ini kerana kebangkitan Islam dengan asbab wujudnya Madinah Al-Munawwarah sebagai Negara Islam yang pertama. Malah pembentukan perlembagaan pertama dalam sejarah tamadun manusia yang dikenali dengan nama Piagam Madinah oleh Nabi SAW juga adalah satu manifestasi kepentingan pemeliharaan agama melalui pembentukan negara bangsa yang  kuat.

Secara lebih mendalam, patriotisme sebenarnya merujuk kepada semangat jihad di jalan Allah. Bagaimanapun jihad bukanlah merujuk kepada satu kepentingan  yang  sempit  tetapi  meninggikan kalimah  Allah yang melibatkan kepentingan yang lebih sejagat. Jihad dalam konteks ini bertujuan untuk menegakkan peradaban manusia seluruhnya supaya berada di landasan yang diredai Allah.

Konsep jihad yang diutarakan ini seharusnya dilihat dari kaca mata yang positif, iaitu bertujuan untuk mewujudkan perdamaian dan keseimbangan, bukannya perbalahan dan melampau. Melalui semangat perjuangan, pemujaan kepada nafsu, perkara-perkara yang melampaui batas agama, kekejaman atau penindasan, pencabulan hak dan serangan musuh dapat dipatahkan atau dilenyapkan. Sekiranya tiada penghayatan konsep perjuangan kesemua perkara negatif tersebut akan bermaharajalela kerana tiada lagi kuasa pengimbang seterusnya terhapuslah keharmonian dan kesaksamaan dalam kehidupan sejagat.

Justeru, semangat patriotisme yang sebenar sejajar dengan kehendak syariah perlu ditanam, dibajai dan disuburkan di segenap sanubari warganegara tanah air yang tercinta ini. Segala elemen yang menggugat keamanan dan kestabilan hendaklah dibanteras dan dihapuskan.

Segala pertelingkahan yang merugikan juga perlu dielakkan. Kebersamaan dan kesepaduan dalam apa jua usaha untuk mencapai kebaikan untuk negara hendaklah diutamakan. Mudah-mudahan negara kita sentiasa berada di bawah lindungan Ilahi dengan dilimpahi segala bentuk kemakmuran.

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close