RencanaSejarah

Sejarah Penubuhan Angkatan Tentera Malaysia

This section contains some shortcodes that requries the Jannah Extinsions Plugin. Install it from the Theme Menu > Install Plugins.

[dropcap]M[/dropcap]engimbau kembali detik-detik setahun yang lalu, banyak cabaran keselamatan berbentuk tradisional yang terpaksa dihadapi oleh negara kita. Keadaan ini telah mewujudkan suasana kelemahan, ketidaktentuan, kompleks dan kekaburan yang turut mencorakkan landskap geo-strategik global dan serantau. Sungguhpun demikian, kita bersyukur kerana ATM telah membuktikan kecemerlangannya sebagai angkatan yang kredibel dalam mengekalkan kedaulatan negara sama ada di daratan, di samudera raya mahupun di angkasa raya. Keunggulan ini turut diperkasakan lagi dengan keupayaan kita mewujudkan rangkaian diplomasi dengan angkatan tentera negara-negara ASEAN dan sahabat telah membuahkan hasil dan meredakan ketegangan keselamatan, khususnya di rantau ini.

Secara umumnya, sejarah Penubuhan Angkatan Tentera Malaysia dan sejarah Penubuhan Tentera Darat Malaysia bermula dengan usaha untuk menubuhkan satu pasukan pertahanan yang dianggotai oleh anak-anak Melayu. Usaha ini bermula semenjak tahun 1902 lagi, Banyak perbincangan oleh Raja-Raja Melayu dan Penasihat-Penasihat British telah dijalankan bagi mewujudkan pasukan ini. Dalam tahun 1913 Almarhum DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Muhamad Ibni Yam Tunku Antah, Almarhum DYMM Sultan Perak, Sultan Alang Iskandar Shah , Almarhum Raja Di Hilir Perak, Raja Sir Chulan dan Allahyarham Undang Rembau, Datuk Abdullah bin Haji Damad telah menyuarakan hasrat menubuhkan pasukan Askar Melayu.

Penubuhan Tentera Darat Malaysia

Hasrat Raja-Raja ini telah menjadi kenyataan apabila di dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Persekutuan pada 23 Januari 1933, Rang Undang-Undang Askar Melayu telah diluluskan dan dikenali sebagai Undang-Undang No. 11. Bagi menyahut seruan untuk mempertahankan ibu pertiwi, lebih dari seribu pemuda-pemuda Melayu tampil dari pelusuk tanahair telah tampil menawarkan khidmat mereka, tetapi hanya 25 orang sahaja yang berjaya dipilih sebagai pengasas Kompeni Percubaan Pasukan Askar Melayu. Mereka telah diarahkan untuk melapor diri ke Haig Lines (sekarang IPDA), Port Dickson untuk memulakan latihan pada 1 Mac 1933.

ramd
25 orang pemuda Melayu sebagai skuad percubaan Rejimen Askar Melayu pada 1 Mac 1933

Skuad Pertama ini telah menjalankan latihan dengan gigih dan penuh tabah dan pihak pegawai-pegawai British, selaku jurulatih sangat berpuas hati dengan kebolehan, kecekapan serta semangat keperwiraan yang ditunjukkan. Pada pertengahan tahun 1934, Kompeni Percubaan telah diishtiharkan sebagai berjaya dengan cemerlangnya dan layak diperbesarkan ke satu batalion yang lengkap. Seterusnya buat julung kali, pada 4 Nov 1936, seramai empat pemuda anggota Skuad Pertama telah ditauliahkan sebagai pegawai dengan pangkat Leftenan Muda. Mereka adalah No. 8 Ariffin bin Haji Sulaiman, No. 12 Ibrahim bin Sidek, No 13 Ismail bin Tahar dan No.25 Raja Lope Nor Rashid bin Raja Abdul Rahman. Rejimen ini terus berkembang menjadi satu batalion penuh yang dikenali sebagai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu pada 1 Jan 1938. Dengan tercetusnya peperangan di Eropah pada 3 Sep 1939, latihan anggota Askar Melayu telah dipertingkatkan dan kekuatannya diperbesarkan.

Penubuhan Tentera Laut Diraja Malaysia

Sejarah Tentera Laut Diraja Malaysia pula bermula dari Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-negeri Selat pada 27 April 1934 di Singapura. Pasukan ini diperbesarkan pada tahun 1938 dengan penubuhan cawangan Pulau Pinang dan ditukarkan nama kepada Pasukan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaya. Menjelang Perang Dunia Kedua, seksyen Melayu dalam Royal Navy telah ditubuhkan dan kekuatan pasukan ini mencapai jumlah 1430 anggota pada tahun 1941. Selepas kejatuhan Singapura pada tahun 1942, seramai 150 orang anggota Tentera Laut Malaya telah berundur ke Ceylon, India dan Afrika Timur. Anggota -anggota ini kembali ke Malaya apabila perang tamat. Malangnya disebabkan kekurangan kewangan selepas perang, Tentera Laut Malaya telah dibubarkan pada bulan April 1947. Apabila darurat tercetus pada tahun 1948, Tentera Laut Malaya telah dihidupkan semula dan diwartakan pada 4 Mac 1949.

navy
Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-negeri Selat

Tentera Laut Malaya dianugerahkan gelaran Diraja oleh baginda Queen Elizabeth II pada tahun 1952. Berasal dari sebuah kapal penyapu periuk api menggunakan arang batu bernama HMS PENYU dalam tahun 1954, TLDM sekarang ini telah dilengkapkan dengan kapal-kapal berenjin turbin gas yang laju, bersenjatakan peluru-peluru berpandu untuk peperangan dari permukaan ke permukaan, dari permukaan ke udara dan meriam-meriam jarak jauh. Kemasukan TLDM ke zaman peluru berpandu adalah satu langkah yang bersejarah dalam kemajuan TLDM di mana telah memang menjadi tradisi mempergunakan kemajuan perkembangan sains dan teknologi. Tentera Laut Diraja Malaya yang selama ini menjadi sebahagian daripada Royal Navy telah dipindahkan dari Singapura ke Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1958. Serentak dengan ini, panji-panji Royal Navy telah ditukarkan dengan panji-panji Persekutuan Tentera Laut Diraja Malaya. Selepas penubuhan Malaysia pada tahun 1963 ia dikenali sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia.

Penubuhan Tentera Udara Diraja Malaysia

Titik mula Tentera Udara Diraja Malaysia ialah dengan penubuhan Pasukan Sukarela Tentera Udara Negeri-negeri Selat (SSVAF) oleh British pada tahun 1936. Pasukan ini ditukar nama kepada Pasukan Simpanan Tentera Udara Malaya pada tahun 1940 tetapi telah dibubarkan selepas Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1950 pasukan ini telah dihidupkan semula sebagai Royal Air Force Malaya(RAF Malaya). Tentera Udara Malaya menjadi kenyataan pada tahun 1958 apabila pesawat Twin Pioneer pertama mendarat di pangkalan RAF Kuala Lumpur. Tentera Udara Diraja Malaya ditubuhkan dengan rasminya pada 2 Jun 1958 apabila sebuah pasukan (unit)  yang dikenali sebagai Tentera Udara DiRaja Persekutuan Tanah Melayu (Royal Federation of Malaya Air Force) ditubuhkan dengan rasminya. Bagaimanapun, sejarah awal pasukan udara di Tanah Melayu dikesan sejak tahun 1936 selaras dengan penubuhan Straits Settlement Volunteer Air Force (SSVAF) oleh pentadbiran British bagi membantu pertahanan Negeri-negeri Selat.

tudm
Sekumpulan pegawai dan anggota yang menjadi perintis Tentera Udara Diraja Persekutuan

Pasukan ini dilengkapi dengan pesawat Hawker Audax.  Pada tahun 1940 SSVAF diperbesarkan sebagai persediaan menghadapi ancaman perang dari Empayar Jepun yang telah mula memperluaskan pengaruhnya ke Tanah Besar China.  Sebuah pasukan yang dinamakan Malayan Volunteer Air Force (MVAF) yang dilengkapi dengan pesawat Tiger Mooth, Leopard Moth dan Dragon Rapide ditubuhkan.  Bagaimanapun pasukan udara ini dimusnahkan oleh Jepun di Sumatera pada tahun 1942. Kemudian, dalam tahun 1950, Malayan Auxillary Air Force (MAAF) ditubuhkan di Singapura pada tahun 1950. Unit ini turut membantu operasi ketenteraan semasa Darurat yang telah diisytiharkan pada tahun 1948. MAAF inilah yang menjadi tunggak penubuhan TUDM pada tahun 1958.

Pembesaran Tentera Darat Malaysia

Pada 1 Dis 1941, Batalion Kedua Askar Melayu telah ditubuhkan iaitu enam hari sebelum Perang Dunia Kedua bermula di Malaya, bagi menghadapi serangan Tentera Jepun yang sedang mara. Kompeni A, Batalion Kedua adalah unit Askar Melayu pertama menentang Tentera Jepun yang mendarat di Pantai Cinta Berahi (sekarang Pantai Cahaya Bulan), Kelantan pada 8 Dis 1941. Kedua-dua batalion ini telah menunjukkan kebolehan mereka dalam peperangan menentang tentera Jepun. Kekuatan Tentera Jepun yang berlipat ganda telah memaksa Kompeni tersebut berundur ke Kuala Krai dan seterusnya Singapura. Di Singapura, Batalion Pertama dan Kedua Askar Melayu telah berjuang bersama Tentera British menentang kemaraan musuh. Askar Melayu telah berjuang dengan penuh semangat di sekitar kawasan Pasir Panjang, Buona Vista Labrado dan Alexander.

Selepas perang, negara dilanda pula ancaman Komunis dan keadaan Darurat telah diishtiharkan pada tahun 1948. Keadaan ini memerlukan pembesaran angkatan tentera. Menjelang tahun 1950 kekuatan Rejimen Askar Melayu telah ditambah menjadi tujuh batalion. Pada zaman Darurat juga, angkatan tentera telah melihat penubuhan pasukan berbilang bangsa iaitu Rejimen Persekutuan dan Skuadron Kereta Perisai Persekutuan pada tahun 1952. Salah satu peristiwa yang sukar dilupai dalam sejarah Tentera Darat ialah peristiwa tindakan Tentera Jepun manawan Bukit Chandu yang dipertahankan oleh Platun No. 7, Kompeni C, Batalion Pertama Askar Melayu yang diketuai oleh Lt Adnan bin Saidi. Tentera musuh, setelah gagal dalam percuban yang pertama, mengulangi serangan dengan kekuatan yang berlipat ganda. Di dalam pertempuran yang sengit ini, anggota Platun No. 7 telah berjuang dengan semangat yang gigih tanpa mengaku kalah. Lt Adnan sendiri mengendalikan senjata Lewis Machinegun dan mara untuk memberi semangat dan perangsang. Walaupun mengalami kecederaan, namun beliau telah menunjukkan semangat untuk terus berjuang hingga ke titisan  darah terakhir. Akhirnya tentera mush telah berjaya menawan Bukit Chandu dan Lt Adnan telah ditikam dengan benet dan mayat beliau digantung kepala ke bawah di sebatang pokok.

Satu lagi peristiwa yang menyayat hati berlaku pada 28 Feb 1942, apabila seramai 8 orang pegawai Askar Melayu, setelah menjadi tawanan perang dibunuh di Pasir Panjang disebabkan keengganan mereka menanggalkan pakaian seragam tentera mereka. Selain dari anggota-anggota Askar Melayu, ramai lagi anak- anak Melayu menceburi diri sebagai anggota dalam Federation Volunteer Forces menentang tentera musuh dan ramai yang turut terkorban. Di samping itu, ramai anak-anak Melayu yang berkhidmat dengan Tentera British seperti Royal Army Service Corps (RASC), Royal Army Ordnance Corps (RACC), Royal Artillery (RA) dan lain-lain pasukan yang turut berjuang. Singapura jatuh ke tangan Jepun pada 15 Feb 1942 dan anggota Askar Melayu yang masih hidup telah menjadi tawanan perang. Apabila diperintah pulang ke kampung masing-masing ramai dari mereka meneruskan perjuangan menentang pemerintahan Jepun melalui pergerakan bawah tanah. Setelah negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Tentera Darat Malaysia telah berkembang maju dan lengkap untuk menjalankan opersi melawan insurgensi. Pada masa ini pasukan TD sedang pesat dipermodenkan sebagai satu pasukan tentera konvensional yang mampu untuk menghadapi cabaran masa depan.

Perbarisan HUT ATM Ke-82

perbarisan
             Sekitar Perbarisan HUT ATM Ke-82 (Untuk melihat foto yang lain sila lihat di galeri)

Bersempena Hari ATM ke-82 tahun ini, seramai 29 pegawai dan 488 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam Perbarisan Hari Ulang Tahun ATM Ke-82 yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Zulkifeli Mohd Zin dengan tema ATM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara bertempat di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi pada 17 Sep 2015. Sebanyak 15 panji-panji Rejimen/Skudron Perkhidmatan ATM terlibat secara langsung dalam perbarisan ini merangkumi Panji-panji dari 8 RAMD, 6 RRD, 2 KAD, 71 RSD, 2 DIV, 1 RAD (PARA) dan 72 KPD dari TD manakala bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Panji-panji yang terlibat dari KD Pelanduk, KD Malaya, KD Panglima Hitam dan KD Rajawali dan Panji-panji dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melibatkan pasukan No 1 Skudron, No 7 Skudron, No 15 Skudron dan Kolej Tentera Udara.

Perbarisan yang gilang-gemilang menggambarkan testimoni pengorbanan tidak ternilai yang telah dicurahkan oleh ATM. Ia mencerminkan manifestasi kesedaran dan kesediaan ATM untuk terus berikrar serta berkorban jiwa dan raga mempertahankan bumi pertiwi ini. Sebagai sebuah angkatan yang profesional dan berdisiplin, perbarisan merupakan nadi utama dalam menyuburkan lagi Sistem Pemerintahan Regimental kearah memantapkan konsep trilogi manusia, mesin dan metode. Dengan kehadiran detasmen dari Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara yang segak telah mempamerkan keunggulan elemen manusia, seterusnya kecanggihan dan kapasiti aset-aset yang dimiliki telah mempamerkan keupayaan elemen mesin, manakala gaya persembahan kawad pula menonjolkan kecemerlangan elemen metode. Dengan lain perkataan, perbarisan yang penuh bermakna ini telah menjelaskan falsafah synchronization trilogi yang menjadi halatuju ATM ke arah menjadi Angkatan Berspektrum Penuh (Full Spectrum Force) dan mampu mengadaptasi segala cabaran pada masa akan datang sejajar dengan tema HUT ATM Ke-82, ATM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara.

[box type=”info” align=”aligncenter” class=”” width=””]Perkataan Panji-panji membawa maksud lambang atau lambang-lambang yang dibawa oleh unit-unit tentera khususnya unit infantri. Bagaimanapun selepas itu, Panji-Panji ini juga digunapakai kepada lambang-lambang dan lencana tentera berkuda dan unit-unit berkenderaan. Dalam Bahasa Inggeris, Panji-panji dipanggil Colours yang mula digunakan sebagai panggilan kepada warna-warna cerah yang terdapat pada lambang infantri. Panji-panji telah digunakan sebagai satu cara pengenalan dan tanda tempat berkumpul atau markas pasukan semasa peperangan. Dengan perubahan yang berlaku dalam cara peperangan, Panji-panji telah dianggap sebagai satu simbol semangat dan tradisi pasukan yang membawanya. Bagi sesebuah pasukan tentera, Panji-panji merupakan simbol yang menjadi kemuliaan setiap warga pasukan dan ianya mesti dipertahankan dari jatuh ke tangan musuh. Panji-panji amat disanjung tinggi dan diberi penghormatan yang mulia oleh setiap anggota tentera. Apabila dibariskan, Panji-panji akan dibawa oleh pegawai muda dan diiringi oleh dua orang Sarjan Pengiring Panji-panji. Semasa Panji-panji yang dibariskan itu melintas lalu di hadapan, adalah menjadi adat resam yang menuntut supaya hadirin berdiri manakala mereka yang berpakaian seragam hendaklah memberi tabik hormat. Secara tradisinya hanya pasukan yang mempunyai rekod kecemerlangan dalam perkhidmatan sahaja akan dianugerahkan Panji-Panji. Sebagai tanda penghormatan kepada sesebuah pasukan, nama peperangan yang telah terlibat akan ditandakan atau  disulam di atas Panji-panji pasukan berkenaan. Tanda-tanda ini dikenali sebagai Penghormatan Perang atau Battle Honours. Sehingga kini, Penghormatan Perang yang tercatat di Panji-panji yang di-Pertuan Agong ialah Tanah Melayu 1941-1942, Singapura 1942, Darurat 1948-1960, Congo 1960-1963, Konfrantrasi 1963-1965, Namibia 1989-1990, Kemboja 1992-1993, Somalia 1993-1995 dan Bosnia Herzegovina 1993-1998. Panji-panji merupakan suatu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Seri Padukan Baginda Yang di-PertuanAgong kepada Rejimen/Kor/Skuadron dari Perkhidmatan Tentera Darat, Perkhidmatan Tentera Laut dan Perkhidmatan Tentera Udara. Sejarah telah mengakui bahawa pentingnya Panji-panji dalam mengekalkan semangat, moral dan identiti sesuatu perkhidmatan dan pasukan. Penganugerahan Panji-panji ini adalah sebagai mengenang jasa dan perkhidmatan cemerlang oleh perkhidmatan dan pasukan kepada negara.[/box]

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close