Bersama PemimpinMINDEFSemasa

PTD Terima Pemasyuran MPAT Ahli Yang Keempat

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, YM Jeneral Tan Sri Raja Affandi Raja Mohamed Noor telah menerima Pemasyuran Ahli Keempat Hall Of Fame Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) yang disempurnakan oleh Komandan MPAT, Laksamana Pertama Dato’ Sabri Zali bertempat di Dewan Trisakti, MPAT Kuala Lumpur pada 16 Jun 2015.

Hall Of Fame telah dicetuskan melalui Mesyuarat Lembaga Gabenor Maktab (Board of Governors) ke 45 pada Disember 2013. Kriteria pemilihan penerima berdasarkan kepada faktor kecemerlangan alumni MPAT yang masih berkhidmat serta memegang jawatan tertinggi didalam perkhidmatannya. Pemasyuran ini ditetapkan melalui keputusan daripada Mesyuarat Lembaga Gabenor Maktab dan ianya merupakan penganugerahan tanda penghormatan tertinggi kepada alumni MPAT.

Dalam ucapan PTD, beliau menyatakan kejayaan bukan diukur pada pangkat, pingat serta penghargaan, tetapi apa yang kita lakukan untuk anggota, pasukan dan organisasi. Sikap sentiasa merendah diri dan menegur sapa anggota adalah sikap yang terbaik yang perlu ada pada pegawai atasan dan ianya akan menjadi contoh dan teladan kepada semua. Pandangan dan nasihat anggota bawahan juga boleh dijadikan sebagai panduan dalam membuat keputusan yang tepat, tambah beliau lagi.

“Saya sentiasa berpesan kepada diri sendiri supaya tidak terleka dengan pangkat serta penghargaan yang diberikan, malah apa yang penting adalah sumbangan kepada anggota, pasukan dan juga organisasi dan ini membuatkan kita sentiasa diingati dan dihargai. Sentiasa merendah diri dan melihat dari perspektif anggota bawahan dalam membuat keputusan kerana tanpa mereka kita tidak akan berada pada kedudukan sekarang ini”.

Semenjak wujudnya majlis Pemasyuran ini, penerima Hall Of Fame yang pertama adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Hj Zulkifeli Mohd Zain, penerima kedua, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Rodzali Daud, manakala penerima ketiga adalah Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish.

Turut hadir dalam majlis tersebut, pegawai-pegawai kanan ATM, alumni-alumni MPAT dan peserta kursus MPAT Siri 21/2001.

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close